𝟏𝟏.

2.4K 237 22
                                    

SEPASANG mata biru itu merenung kosong potret gambarnya yang terbentang luas di setiap billboard yang berada di sepanjang jalan raya itu. Keluhan dilepaskan. Sudah sebulan dia menjadi model untuk beberapa buah syarikat yang terkenal tetapi apa yang dia dapat hanya penat dan sakit. Ibunya sendiri tidak kisah tentang kesihatan serta perasaan Arabella, yang dia tahu wang sudah ada di tangannya.

Hayden pula, entahlah. Dia dan lelaki itu hanya bertemu pada waktu malam, itu pun jika Hayden tidak berada di bilik kerjanya. Arabella mula rindukan gurauan mesra bersama-sama Hayden tetapi dia tahu, Hayden pasti lebih selesa jika hubungan mereka kekal seperti ini. Jarang bertemu, tiada gurauan bodoh dan tiada lagi cerita daripada seorang Arabella.

Kepala disandarkan pada tingkap kereta sehingga matanya menangkap pemandangan taman hiburan yang pernah dia pergi dahulu. Badan kembali ditegakkan.

"Ace, boleh kita berhenti dekat sini sekejap?" Pinta Arabella sambil menunding ke arah taman hiburan di hadapan. Ace memandang Arabella dari cermin pandang belakang. Dia menggigit bibir. Jam di tangan dikerling. Hanya tinggal 30 minit sebelum penggambaran Arabella bermula.

"Tapi, puan—"

"Sekejap je. Saya janji." Arabella mengangkat sebelah tangannya tanda berjanji. Ace menghela nafas dan mengangguk. Stereng kereta dipusingkan menuju ke tempat parkir taman hiburan itu. Arabella sudah menepuk perlahan tangannya.

Sebelum keluar, topi serta topeng mulut dan hidung dipakai, tidak mahu peristiwa dahulu berulang lagi. Cukuplah, dia sudah trauma.

Ace membeli dua tiket buatnya dan Arabella lalu mereka masuk bersama-sama. Arabella memandang sekeliling. Di sebalik topeng, senyuman gembiranya terukir lebar. Selama ini dia hanya melihat gambaran taman hiburan itu di televisyen, sekarang dia dapat melihat dengan matanya sendiri.

Arabella berjalan menuju ke sebuah kedai menjual gula-gula kapas. Dia cuma berdiri di situ dengan wajah kagum melihat seorang kanak-kanak dengan gula-gula kapas berbentuk unikorn di tangannya. Ace yang perasan di mana perhatian Arabella tertumpu, turut memandang ke arah kanak-kanak itu. Dia ikut sama kagum.

"Puan, nak?" Tanya Ace. Arabella mengangguk laju.

"Saya nak bentuk beruang!"

"Okay." Ace memesan dua gula-gula kapas. Bentuk beruang buat Arabella dan bentuk unikorn seperti kanak-kanak tadi buat dirinya. Arabella terkebil-kebil memerhati gula-gula kapas milik Ace. Ace mengerling gula-gula kapas di tangannya dan Arabella bergilir.

"Saya pun suka unikorn." Ujar Ace sambil mencebik kemudian menyuapkan gula-gula kapas ke dalam mulutnya. Arabella mengangguk faham dan bergerak ke arah roda Ferris. Barisan panjang yang penuh dengan pasangan kekasih untuk menaiki roda Ferris itu diperhati sambil gula-gula kapas disuapkan ke dalam mulut.

Ace berdiri di belakang Arabella. Matanya turut memandang ke arah yang sama.

"Puan nak naik?"

Arabella mengangguk perlahan. "Tapi saya nak naik dengan Hayden." Jawabnya lemah membuatkan mata Ace jatuh pada wanita di hadapannya itu. Dia tersenyum kecil.

Telefon bimbit dikeluarkan. Dalam diam tanpa pengetahuan Arabella, gambar wanita itu diambil oleh Ace kemudian dihantar kepada Hayden. Sekarang itulah rutinnya setiap kali menemani Arabella di set penggambaran atas permintaan aneh Hayden. Lelaki itu mahu dia mengambil setiap gambar Arabella dan hantar kepadanya tanpa pengetahuan wanita itu.

"Sekarang, ni tempat kegemaran saya. Sebab tempat ni ada cotton candy!" Arabella mengangkat kedua-dua tangannya ke atas sambil bersorak kecil. Ace cuma memandang wanita itu dengan senyuman kecil sebelum matanya tertacap pada lengan kiri Arabella yang sedikit terselak. Senyumannya mati. Garis-garis merah serta parut yang berada di lengan putih gebu itu direnung lama.

ARABELLAWhere stories live. Discover now