𝟑𝟏.

3K 291 69
                                    

PEMANDANGAN bandaraya Itali yang masih dilitupi kabus pagi dan gerimis hujan yang bila-bila masa sahaja akan bertukar menjadi salji itu ditatap kosong. Secawan kopi di tangan yang pada mulanya panas sudah bertukar sejuk. Sejak setengah jam yang lepas, dia hanya menghabiskan masa mengelamun di hadapan cermin besar di dalam pejabatnya, sedikit pun tidak bergerak sehinggalah pintu biliknya diketuk oleh seseorang.

"Masuk."

"Selamat pagi, Tuan Hayden. Saya nak tanya kalau tuan masih tak nak turut serta dalam projek luar negara kita tu dan minta Ace terus gantikan tempat tuan?" Tanya Julia sambil menilik skrin Ipad di tangannya.

Hayden masih di tempatnya, tidak sedikit pun menjeling ke arah Julia. Dia mendiamkan diri, berfikir. Dia tidak lagi ke luar negara setiap bulan seperti dahulu semenjak kejadian yang menimpa Arabella, kerana dia mahu terus dekat dengan wanita itu, tetapi sekarang...dia tidak tahu jika Arabella juga mahu terus berada di sisinya seperti mana dia mahu terus setia di sebelah wanita itu.

"Saya akan bincang dengan Ace." Jawab Hayden mendatar.

Julia mengemam bibirnya rapat ketika mendengar intonasi suara Hayden. Tahulah dia, angin majikannya tidak baik pada pagi itu. Dari jarak sejauh ini pun dia sudah rasa menggigil. Sebelum dia beku di situ, lebih baik dia meminta diri dahulu.

"Baik, Tuan Hayden."

Pintu dibuka dan ditutup semula. Hayden menjatuhkan pandangannya ke arah kopi di dalam cawan. Pantulan wajah dingin di atas permukaan kopi yang sudah hilang buihnya itu direnung lama.

Perbualannya bersama dengan Arabella semalam, memberi impak besar kepada dia. Sudah jelas Arabella mahu pergi daripada hidupnya tetapi dia masih belum bersedia. Dia sudah terlalu sayangkan wanita itu lebih daripada segalanya. Jika dia perlu meninggalkan negara ini, kerjayanya, hidup mewahnya serta semua yang dia ada untuk terus hidup dengan Arabella, dia sanggup.

Tetapi tidak Arabella. Wanita itu mahukan yang sebaliknya.

Tok! Tok!

"Tuan, saya nak minta cuti."

Hayden menoleh. Ace yang sedang berdiri di muka pintu dengan sengihan tidak bersalah itu dipandang dengan wajah yang berkerut.

"Pelik. Sejak bila awak tahu perkataan cuti?" Sindir Hayden dan berjalan ke mejanya. Kopi sejuk yang tidak berusik di tangannya diletakkan di atas meja.

Ace masih tersengih-sengih, tidak membalas sindiran majikannya.

"Berapa lama?"

"Hm...sampai...sampai saya rasa nak balik sini semula?"

Sekali lagi, bicara Ace mendatangkan kerutan pada wajah Hayden.

"Awak ada masalah, Ace?" Tanya Hayden serius. Dia bersandar pada kerusi, mengimbas air muka Ace. Lelaki itu masih mendiamkan diri tetapi senyuman pada bibirnya perlahan-lahan memudar.

"Family commitments."

Kening Hayden terangkat. "You're going back to England?"

Ace lambat-lambat mengangguk. Hayden kembali mendiamkan diri. Matanya masih terus merenung wajah mendung Ace, cuba membaca apa yang sedang disembunyikan oleh pembantu peribadinya itu. Dia tahu ada sesuatu yang besar sudah terjadi di sana sehingga Ace mengambil keputusan untuk pulang, kerana mereka membesar bersama di Itali dan Ace tidak pernah sekali pun bercerita tentang keluarganya di England, pulang ke sana apatah lagi.

"Ace, you know you can tell me everything, right?" Lembut Hayden memujuk membuatkan Ace mendongak, membalas pandangan Hayden. Dia tersenyum hambar.

ARABELLAWhere stories live. Discover now