𝟐𝟒.

3.4K 333 33
                                    

ARABELLA duduk di atas katil sambil matanya ralit memerhati Hayden yang sedang menghidangkan makanan untuknya. Penampilan Hayden yang sudah bertukar daripada pakaian kasualnya kepada kemeja dan seluar pejabatnya itu dipandang lama.

"Awak nak pergi kerja?"

Hayden mengerling Arabella sekilas. Dia tersenyum tipis. "Lepas saya habis kerja, kita pergi taman, okay?"

Arabella mengangguk laju. "Awak tak makan sekali?"

"Saya makan balik nanti. Saya pergi dulu."

"Hati-hati. Cepat balik tau."

Hayden tersenyum. Rambut ikal mayang itu diusap perlahan sebelum bibirnya didaratkan lama pada dahi Arabella.

"Awak jangan lupa makan ubat."

"Okay."

Langkah dibawa keluar dari bilik. Saat pintu bilik Arabella ditutup semula, senyumannya serta merta mati. Keluhan dilepaskan dan kakinya terus diangkat keluar dari rumah. Ace yang sedang menunggunya di sisi kereta dihampiri.

"Puan Love tak ikut sekali?" Soal Ace ketika melihat Hayden yang hanya keluar bersendirian tanpa Arabella.

"Jangan beritahu Bella tentang Lucia. Biar saya sendiri yang beritahu dia nanti." Pesan Hayden dengan suara yang mendatar. Jam di tangannya dibetulkan, cuba untuk mengalihkan tumpuannya daripada terus serabut memikirkan perihal Lucia.

Ace memandang Hayden lama. "Tapi, Puan Love mesti happy kalau dia dah tahu yang Cik Lucia dah sedar. Mereka kan, adik beradik."

Hayden mendongak. Matanya tajam mencerlung Ace di hadapannya. "No." Balas lelaki itu tegas membuatkan Ace terdiam.

"Kita pergi sekarang. Cepat sampai, cepat balik." Hayden memalingkan tubuhnya dan meloloskan dirinya dahulu ke dalam perut kereta. Ace yang masih berdiri kaku di luar, cepat-cepat berlari masuk ke tempat pemandu.

Suasana di dalam kereta, ditemani sepi. Hayden terus melemparkan pandangannya ke luar tingkap, dia termenung kosong. Selama ini dia terlalu selesa akan hidupnya bersama dengan Arabella sehingga terlupa bahawa hari ini akan datang. Lucia akan sedar semula dan dia yang tidak bersedia dengan keadaan ini, tersepit di tengah-tengah. Keluhan dilepaskan buat kesekian kalinya.

Ace di bahagian pemandu, mengerling sekilas ke arah Hayden di tempat duduk belakang melalui cermin. Telinganya dapat menangkap jelas keluhan berat Hayden. Jika masalah lelaki itu berkaitan Arabella, sudah pasti dia yang akan menjadi penasihat nombor satu Hayden, tetapi kini, masalahnya ialah Lucia dan Ace pula tidak pernah bertemu dengan wanita itu apatah lagi bercakap.

"Awak tunggu dekat luar je, saya tak akan lama." Tutur Hayden sebelum melangkah keluar dari kereta sebaik sahaja Ace memberhentikan kereta di hadapan pintu masuk hospital.

Ace mengangguk dan mula memandu pergi.

Hayden menyambung langkahnya menuju ke wad Lucia. Dia berhenti seketika di hadapan pintu itu. Nafas ditarik dalam dan tombol pintu, lambat-lambat dipulas.

"Hayden!" Suara ceria Lucia bergema, menyambut kedatangan Hayden. Tangannya didepa luas, meminta lelaki itu membawanya ke dalam dakapan hangat yang paling dia rindukan itu. Hayden hanya menurut dan menarik tubuh Lucia ke dalam pelukannya.

"God, I missed this." Bisik Lucia sambil mengeratkan pelukannya. Hayden cuma menyepi di dalam dakapan itu, dia tidak tahu bagaimana reaksi yang perlu diberi, kerana hati dan fikirannya kini, sudah ditinggalkan bersama-sama Arabella.

Lucia meleraikan pelukannya. Tangannya diangkat mengusap lembut pipi Hayden. Matanya yang berkaca, merenung lama wajah kacak itu.

"I missed you."

ARABELLAWhere stories live. Discover now