𝟏𝟑.

2.5K 246 48
                                    

BRANULA di tangannya direnung. Air mata yang masih mengalir, dikesat dengan belakang tangan berkali-kali. Dadanya benar-benar sakit kerana menahan rasa yang terasa semakin memberat. Kalaulah dia boleh lepaskan segala-galanya dan menjerit memberitahu dunia betapa terseksanya dia sekarang.

Pak!

"Pakai tu, kejap lagi Hayden datang." Arah Amelia kemudian kembali menutup pintu bilik wad itu. Arabella memandang beg alat solek yang dibaling oleh ibunya tadi. Perlahan-lahan tangannya mengeluarkan bedak dan concealer.

Lebam pada pipi dan luka pada hujung bibirnya ditutup dengan alatan solek itu. Pantulan wajah pucat pada cermin kecil itu dilihat, sebelum semua barangan solek kembali disimpan dan diletakkan di dalam laci di sebelahnya.

Klak!

Pintu wad terbuka. Arabella mengangkat wajah dan pandangannya serta merta bertembung dengan mata Hayden yang sedang merenungnya tajam.

"Hayden—"

"Saya tak tahu yang awak boleh jadi sekejam ni, Bella." Pintas Hayden dengan rahang yang diketap rapat. Arabella terkedu. Wajah bengis Hayden dipandang dengan mata yang berkaca. "Sanggup awak bunuh anak awak sendiri. Anak yang tak ada dosa. Sanggup awak, kan?!"

"Hayden, saya tak—bukan saya—"

"Mama pun tak percaya yang Love sanggup buat macam ni. Mama tahu, Love benci Adam tapi mama tak sangka, yang Love akan bunuh anak Love sendiri. Terkejut mama bila nampak Love berdarah, terbaring dengan pil berterabur dekat lantai." Sampuk Amelia yang tiba-tiba muncul dengan tisu dan pipi yang basah. Mata Arabella mengecil. Dia menggeleng laju.

"Ke, sebab Love nak terus jadi model? Love nak jaga badan? Sebab tu Love gugurkan kandungan Love, kan? Betul tak apa yang mama cakap ni?" Amelia meneruskan lakonannya. Arabella merenung ibunya tidak percaya dan pandangan teralih pula kepada Hayden yang sedang menatapnya.

Hayden menggenggam erat buku lima. Dia sedih, kecewa dan marah. "Saya terima awak, Bella. Saya terima anak awak walaupun dia bukan darah daging saya, tapi saya tetap terima. Saya jaga awak, saya jaga anak awak. Apa lagi yang tak cukup? Awak cakap, awak tak nak jadi model tapi kenapa awak nak gugurkan anak awak?! Awak taksub sangat nak jadi terkenal?! Awak suka orang puja awak sampai awak sanggup bunuh anak awak yang belum kenal dunia tu lagi?! Awak hipokrit, Bella!"

Dia tertawa sakit bersama dengan air mata yang bergenang. Kepala terus ditundukkan ke bawah. Kenapa ketika dia mula sayangkan seseorang, mereka akan mengambil kesempatan untuk mengkhianatinya? Kenapa?

Arabella mengeluarkan tangannya, cuba menggapai tangan Hayden tetapi lelaki itu pantas mengelak.

"Hayden..."

Hayden mengangkat wajah. Dadanya berombak. Wajah sayu Arabella direnung dengan penuh rasa benci.  

"Kenapa awak tak mati sekali je dengan anak awak tu? Lagi bagus." Tuturnya mendatar kemudian berlalu keluar dari wad itu. Amelia tersenyum kemenangan. Tisu di tangannya direnyukkan dan dicampak ke arah Arabella lalu mengikut langkah Hayden.

Arabella terbungkam selepas mendengar bicara Hayden. Selimut digenggam kuat. Satu per satu butir air matanya jatuh dan akhirnya tangisannya pecah di situ. Branula di tangan ditarik kasar kemudian dibaling ke lantai.

"Kenapa...kenapa semua orang benci Love...kenapa?"

Kedua-dua tangan menekup muka sebelum esakannya perlahan-lahan berhenti. Tubuhnya disandarkan pada kepala katil. Wajahnya tiada riak. Seperti tiada apa-apa yang berlaku, selimut ditarik sehingga ke pinggang dan dikemaskan lalu dinding di hadapan direnung. Tatapannya kosong. Terlalu kosong.

ARABELLAWhere stories live. Discover now