𝟑𝟎.

3K 313 28
                                    

SUASANA di dalam kereta hanya dimeriahkan dengan suara Ace dan Arabella yang seronok berbual. Arabella bercerita tentang betapa cantiknya bunga api di pantai dan disokong oleh Ace, manakala Hayden cuma diam, fokus kepada pemanduannya.

"Hayden, seronok tak majlis tari menari tadi?" Soal Arabella, mengalihkan topik kepada Hayden yang hanya membisu sejak tadi.

Hayden mengerling cermin pandang belakang, mencuri pandang Arabella dari situ.

"It was...good." Jawabnya mendatar.

Arabella mengangguk dan beberapa saat kemudian, sepi mengambil alih sehingga mereka tiba di rumah.

Ace meminta diri untuk pulang dahulu. Arabella dan Hayden pula berjalan beriringan masuk ke dalam rumah. Hayden di sisi, sesekali mengerling ke arah Arabella. Saat matanya menangkap senyuman yang masih menghiasi bibir mungil itu, air mukanya menjadi semakin keruh kerana penyebab senyuman itu semestinya bukan dia.

"Saya masuk tidur dulu. Selamat ma—"

"Saya sakit kepala." Pintas Hayden dengan sepasang mata hazel itu, tertacap terus pada wajah Arabella yang mula bertukar risau.

Wanita itu segera mendekat dan meletakkan belakang tangannya di atas dahi Hayden membuatkan lelaki itu tersentak kerana tindakannya. Matanya membulat, menunduk memerhati Arabella yang sangat dekat dengannya. Arabella menurunkan tangan selepas merasakan suhu badan Hayden masih pada tahap normal.

"Awak tak demam tapi awak kena makan ubat kalau tak, nanti jadi makin teruk. Saya sediakan untuk awak, okay?" Arabella menjauh semula dan mula mahu mengangkat kaki menuju ke arah dapur tetapi satu tangan, menghentikan langkahnya. Dia menoleh dan wajah mendung Hayden dipandang.

"Saya ada kerja malam ni, saya tak boleh makan ubat. Kalau saya baring dan urut sekejap kepala saya, mungkin sakit tu reda."

Arabella diam dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Kalau macam tu, biar saya yang urutkan. Jom, bilik saya." Arabella mengemaskan genggamannya pada tangan Hayden sebelum menarik perlahan tangan itu, naik ke tangga.

Hayden tersenyum kecil.

Tiba di bilik, Arabella duduk menjulur kaki di atas katil dan Hayden laju mengambil tempat, membaringkan kepalanya di atas riba wanita itu, tanpa sempat dijemput. Arabella hanya tertawa kecil kerana tingkah Hayden.

Jari jemari runcing itu dibawa ke kedua-dua belah sisi dahi Hayden dan mula mengurutnya perlahan sambil sepasang mata biru langit itu, menatap wajah adonis yang tenang, menikmati urutannya.

"Awak tak suka bunyi kuat, hm? Bunyi bunga api tadi." Tanya Arabella membuatkan mata Hayden yang terpejam rapat itu, tercelik semula, membalas tatapan sepasang mata kegemarannya itu. Bibirnya menarik senyuman tipis.

"Pendengaran saya sensitif." Jawabnya lemah. "Mommy dengan daddy selalu bergaduh, baling-baling barang, saling balas maki hamun, jadi bunyi bising macam tu...buat saya sakit."

Senyuman Arabella memudar. Wajah Hayden yang kembali mendung itu dipandang. Dia tidak patut bertanya soalan tadi. Rasa menyesal kerana membuka mulut. Selepas beberapa saat, urutannya diteruskan, tanpa membalas lagi bicara Hayden.

Hayden mendongak kerana tiada lagi suara Arabella yang kedengaran. Tangannya diangkat, menolak beberapa helai rambut panjang milik wanita itu ke belakang telinga supaya pemandangannya pada wajah cantik itu tidak dihalang apa-apa.

"Awak suka bunga api?" Tanya Hayden pula tanpa mengalihkan renungannya. Tangannya masih mengemaskan rambut Arabella yang sudah diselit rapi di belakang telinga.

ARABELLAWhere stories live. Discover now