Bab 3

142 24 0
                                    

PERUTNYA berkeriut. Tetapi lidah dan tekaknya seolah-olah tidak punya nafsu untuk menjamah sesuatu. Inilah akibatnya apabila waktu makan dikesampingkan. Pesan ibu ayah tenggelam dalam kederasan menyiapkan tugasan.

"Hai, Kak Seroja! Saya nak set roti bakar dan telur separuh masak satu. Air, hmm ... buatkan saya teh limau suam."

"Okey, Ki. Set A satu. Air, tukar kepada teh limau suam. Betul?" Gadis India yang jadi cashier itu mengulang pesanan Kirana dengan senyuman. Gincu yang tercalit di bibirnya tidak begitu merah. Sedang-sedang sahaja pilihan warnanya. Lembut dan kena dengan warna kulit. Tampak manis. Lebih manis bila dia memiliki sepasang lesung pipit yang dalam. Mata yang bulat dan anak mata hitam pekat. Wajah dan tubuh yang kurus sederhana. Rambut ikalnya, diikat gaya ekor kuda, beserta topi berwarna merah di atas kepala, tertulis D Kafe; membuatkan Kirana suka melihatnya setiap kali dia bertugas di bahagian hadapan, mengambil pesanan.

"Betul!" dibalas Kirana dengan riang. Seperti selalu.

Seroja melepas tawa kecil sambil menggeleng, "RM6.50, Ki. Bagi cukup-cukup tau!" Disengetkan senyum, dipicingkan mata. Bercanda dengan gadis yang tidak pernah tidak ceria, bernama Kirana.

"Alaaa ... Kak Seroja ni kan ..." rengeknya sambil tangan menggagau ke dalam beg, mengeluarkan dompet. "Kalau dengan kita, suka minta duit cukup-cukup. Kita pun nak simpan duit kecil juga. Tadi, baru kita bercadang nak bagi duit besar."

"Tak boleh, sayang. Pagi lagi. Kalau betul Ki tidak ada duit kecil, baru akak bagi tukar. Akak tahu Ki ada, kan? Tolong akak, ya? Nanti waktu tengah hari, akak kelam-kabut kalau di awal pagi sudah habis duit kecil. Dengan Ki sahaja akak boleh buat macam ini. Dengan orang lain .... hmmm ... akan kena maki!"

Kirana tersengih. Suka hatinya bila dia dianggap sebagai penyelamat. Lebih-lebih lagi penyelamat kepada Kak Seroja yang berlainan bangsa. Itu tandanya Kak Seroja percaya padanya. Tidak menganggap dia, berbeza. Dia suka begitu. Dia suka orang mesra dengannya. Tidak segan, tidak takut dengannya.

"Hah, nah! Nasib Kak Seroja memang baik." Dihulurkan wang sebagaimana jumlah yang perlu dibayar.

"Terima kasih, laling. Ini resitnya. Ki duduk dulu tunggu nombor, okey?"

"Baik, kak. Selamat bekerja. Jangan stress-stress tau!"

Dia berpaling ke belakang. Memerhatikan keadaan sekeliling. Kafe baru sahaja dibuka, tetapi dua tiga meja sudah dihuni. Mujur kafe ini sudah mengalami pengubahsuaian. Sudah dibesar dan ditukar rekaan dalamannya. Lebih luas, lebih terang dan tenang. Susun atur meja juga sangat kemas. Dibahagikan kepada sudut-sudut yang lebih ekonomi.

Meja besar, panjang untuk enam ke sepuluh orang terletak di sudut paling lapang dan terkebelakang. Ruang itu seolah-olah dikhususkan untuk majlis kecil. Ada dinding berwarna pastel yang dibina. Seolah-olah memberi privasi kepada kumpulan pelanggan yang ada perbincangan atau perjumpaan dengan jumlah besar. Malah, di ruang tersebut juga ada meja buffet. Ada layar putih yang tersorok di atas siling. Yang boleh diturunkan apabila ada yang perlu dipaparkan. Ada LCD projector yang tergantung untuk sebarang tayangan dan persembahan.

Kirana memilih ruang yang menempatkan meja untuk dua orang. Ada lebih kurang dalam dua belas meja berbangku dua.

Ruang ini berada di sebelah kiri kafe. Ruang yang berdinding kaca, menghidangkan pemandangan ke arah dataran lapang yang menghubungkan ia dengan bangunan akademik. Ruang yang tenang. Ada dinding juga yang memisahkan ruang ini dengan ruang hadapan. Iaitu ruang utama yang bila melangkah masuk sudah berjumpa. Ruang di hadapan kaunter dan pintu kafe. Ada meja dengan empat kerusi dengan jumlahnya lebih kurang sepuluh buah.

Kafe ini agak moden bila ia memiliki sistem bernombor yang tertera pada skrin. Tidak perlu berdiri lama di hadapan kaunter menanti pesanan siap, kecuali pada jam 9 pagi dan 12 tengah hari! Mungkin perlu ada lagi penambahbaikan dengan sistem pesanan sebagaimana yang diamalkan di restoran-restoran makanan segera.

"Hmmm ... berapa pula kosnya?" Kirana berbicara sendiri. "Jika ada sistem pesanan sedemikian, Kak Seroja tidak perlu berdiri lama mengambil pesanan dan memasukkan ke dalam sistem. Pelanggan akan memasukkan sendiri dan nombor akan terjana sendiri juga. Pesanan akan terus masuk ke skrin di bahagian dapur. Bahagian dapur akan terus memproses pesanan. Jadi ... apa yang Kak Seroja akan buat kalau semuanya sistem macam robot itu yang buat?"

Sambil bercakap seorang diri, Kirana memerhatikan Seroja di kaunter. Gadis India itu tidak lekang dengan senyuman sambil mengambil pesanan. Susuk hitam manis yang mempersonakan.

Tangan Kirana tidak pernah diam bila dia menanti, berfikir dan memerhati. Pensil mekanikal di tangannya, menulis dan melakar apa yang keluar daripada sepasang bibirnya tadi. Semuanya dalam bentuk peta minda. Bercabang sini sana.

Dentingan nombor yang berkali-kali membuatkan Kirana bingkas bangun. Pesanannya sudah siap. Ditinggalkan kertas dan pen. Beg, masih bersilang di tubuh. Dia ragu untuk tinggalkan walaupun seketika.

"Terima kasih, Abang Jijo!" Kirana tersenyum lalu menatang dulang dengan roti bakar dan telur separuh masak. Jijo menggeleng. Dia tidak tahu siapa nama gadis itu. Tetapi sering melihat telatahnya yang ceria.

Melihat teh limau suamnya sedikit tumpah akibat pergerakannya yang kurang berhati-hati, Kirana berhenti seketika, meletakkannya di meja paling hampir dengan kaunter. Dia mencapai tisu di kaunter sebelum membersihkan tumpahan pada dulang. Tersenyum, sebelum meneruskan langkah menuju ke mejanya.

Tanpa sedar yang dirinya menjadi perhatian sepasang mata, Kirana meletakkan dulang dengan perlahan di atas mejanya. Ditolak sedikit kertas dan pensil yang terdampar di atas meja. Lalu, dia duduk dan mengeluarkan tisu basah daripada beg silangnya. Membersihkan tangan dengan tisu basah, sebelum mengangkat gelas kecil berisi teh limau suam. Ditiup pada bibir gelas, sebelum mencicip sedikit. Menguji kepanasan.

"Panas!" Diletakkan gelas tersebut sambil tangan mengibas-ngibas di hadapan mulut.

Sepasang mata yang memerhati tadi, terus menyungging senyum. Terhibur dengan telatah Kirana. Tetapi, mati senyuman itu bila nombor pesanannya pula terpapar pada skrin. Serta-merta riak wajahnya bertukar kepada wajah serius dan tidak mesra.

.

894 pp

08 Jun 2022

11.17 pagi

Contengan HatiDove le storie prendono vita. Scoprilo ora