Bab 4

143 22 4
                                    

"SEMPAT kau order telur separuh masak? Bukan kena tunggu sepuluh minit ke kalau order set macam itu? Nak bakar roti lagi ..."

"Aku keluar pagi ... sangat-sangat!" Kirana leretkan perkataan 'pagi'.

"Pukul berapa 'pagi sangat-sangat' kau tu? 5.30 pagi ke?"

Kirana ketawa. Lalu menggeleng dan tangan menampar bahu Rehan yang berisi sedikit tubuhnya jika hendak dibandingkan dengan Kirana yang kecil molek macam budak tingkatan dua.

"Pukul tujuhlah! Waktu kafe buka. Itu pun, masa aku sampai, dah ada orang yang sedang makan. Dia orang tunggu depan pintu kafe jam 6.55 agaknya."

"Kelas kita pukul 9 pagi. Kau keluar dari bilik kau pukul 7? Macam tu? Sebab itu sempat order set roti bakar dan telur separuh masak?"

"Ya. Memang sebab itu. Aku terlupa nak makan, malam tadi. Pagi-pagi, perut aku dah berbunyi. Sebelum gastrik aku datang, lebih baik aku bangun awal, makan pagi awal. Pilih makanan yang ringan tapi mengenyangkan. Lagipun kan ... aku tak ada seleralah, Rehan. Perut berkeriut, tapi tak rasa nak menelan apa-apa. Lidah payau, tekak, kelat."

"Dah masuk anginlah tu!"

Kirana mengangguk dengan wajah mencebik dan mata sayu.

"Habis makan tak? Perut okey, tak?" tanya Rehan macam mak-mak.

"Habis. Tapi, aku makan lambat gila. Telur separuh masak tu bolehlah aku telan cepat. Cuma roti bakar tu, aku gigit sikit-sikit. Paksa diri habiskan. Sampai yang sekeping lagi tu dah nak masuk angin. Tapi aku paksa habiskan makan juga. Sayang! Takut nak membazir makanan. Takut Tuhan marah dan tak bagi aku makanan lagi nanti. Aku pun makan perlahan-lahan. Satu jam lebih jugalah aku duduk kat sana. Sudahlah teh limau suam aku tu panas! Memang kena ambil masa untuk minum."

"Kau order suam, kenapa dapat panas? Kau tak kompelin?"

Kirana menggeleng. "Istilah suam pada dia orang lain, pada aku lain. Mungkin betullah, yang dia orang buatkan untuk aku itu, suam. Cuma ... pada aku, masih panas. Tak sukalah nak kompelin. Aku kasihan pada dia orang yang kerja kat kafe tu. Tak apa. Aku boleh tunggu sampai air tu suam mengikut 'suam aku'." Tangannya membuat tanda inverted koma di udara bila dia menyebut perkataan 'suam aku'.

Rehan menggeleng. Masak dengan sikap Kirana yang tidak suka memberi kesusahan kepada orang lain. Mudah bersimpati. Sanggup bersusah, berkorban, demi orang walaupun orang itu tidak dikenali.

"Ki."

"Hmm ..."

"Kau rasa kan ..."

"Hmm ..." Kirana masih memandang pada buku di hadapannya.

"Kebetulan itu wujud tak?"

Terus kirana panggung kepala, memandang wajah Rehan.

"Kebetulan itu wujud atau tidak?" Kirana ulang soalan Rehan, untuk kepastian.

Bila dilihat Rehan mengangguk, dia menutup buku yang dibacanya. "Dalam Kamus Dewan, memang wujud perkataan 'kebetulan'. Itu ke yang kau maksudkan tentang wujud atau tidak kebetulan itu?"

"Bukan, bukan! Bukan perkataannya. Tapi sifat kewujudan tu. Emm ... maksud aku, kau percaya ke dengan keadaan yang melibatkan kebetulan. Contohnya, kebetulan bila kau dengan seseorang pakai baju warna yang sama. Dan, orang itu crush kau. Atau, kau berada di tempat yang sama, setiap hari, dengan dia pun ada di situ. Hah, macam itulah! Kau faham tak soalan aku?"

"Faham ... kot!" Kirana mengherot-herotkan bibirnya sambil otak ligat berfikir. "Emmm ... tapi kenapa kau tanya? Perkara itu jadi kat kau, eh?" Kirana menarik senyum, sedikit.

"Eh, beragaklah orang macam aku ada crush!"

Bahunya ditolak tiba-tiba oleh Rehan sehinggakan hampir dia terjatuh daripada bangku. Mereka pada waktu itu baru habis kelas dan sedang bersantai di ruang rehat, di tepi dataran, bersebelahan perpustakaan.

"Eh, maaf, Ki! Aku tolak sikit, main-main pun kau dah tumbang!" Rehan bantu Kirana membetulkan bangku gadis itu yang hampir terbalik. Tuan punya bangku pun hampir-hampir tergolek. Mujur Rehan sempat menyambar penyandar bangku dan menegakkannya semula.

"Kau pun, beragaklah nak cakap orang macam aku ada crush." Melihat wajah Kirana yang cuak dan menggelabah, Rehan ketawa.

"Kenapa tidak? Tak mustahillah."

"Ish, tengok bodylah!" balas Rehan sambil mengangkat dua tangannya, menayang tubuh yang berisi.

Kirana yang sudah mulai bertenang juga mulai ketawa dengan gelagat Rehan. Juga, bila mengenangkan dia yang bakal jatuh tergolek daripada duduknya jika Rehan tidak sempat menarik dan membetulkan kerusinya. Walaupun tidak ramai orang di kawasan itu, dan jika ada pun mereka itu sedang khusyuk menelaah, dia tetap akan rasa malu. Dan, mungkin selepas itu rasa lucu bila membayangkan rupa dia yang tergolek.

"Nasib baik yang aku tertolak itu, kau Ki! Kalau Tasha tadi ... matilah aku!"

"Ish, janganlah banding-bandingkan. Kecil hati dia kalau dengar."

"Memang betul, kan? Dia bukan boleh dibawa bergurau. Lagilah hal-hal yang melibatkan imej diri. Dia itu selalu nak nampak cantik, sopan, sempurna. Tudung tercalit ais krim sikit pun dah mencuka. Dah menggelabah berlari ke tandas nak cuci. Takut kalau budak lelaki nampak. Takut kalau crush dia kata dia comot. Tak pandai jaga kebersihan. Tak sopan waktu makan sampai tudung pun boleh kotor."

Kirana menarik nafas dalam. Serba-salah dia hendak bercakap dengan Rehan. Dilarang mengata kawan, Rehan seolah-olah sedang meluah perasaan tidak puas hatinya. Walaupun isinya tetap dalam kategori 'mengata'. Hendak dibiarkan terus berbicara, dia sendiri rasa tidak selesa mendengar kawan sesama kawan mendedahkan keburukan.

Kirana hanya diam. Mendengar. Mungkin itu yang lebih baik.

"Maaf, Ki. Aku tahu kau tak suka aku bercerita macam ini. Tapi, aku tak boleh kalau tak luah. Geram. Kadangkala rasa kecil hati dengan dia. Lebih-lebih lagi bila yang terkotorkan tudung dia itu, aku. Aku tak sengaja. Reaksi dia bangun berlari ke tandas dengan muka tak suka tu ... membuatkan aku rasa, aku dah buat dosa besar!"

Kirana masih diam. Hanya beriak tenang. Tidak melarang, tidak juga menambah kata menyokong tindakan.

"Agaknya, kan Ki ... kalau aku tertolak dia macam aku tertolak kau tadi, lalu dia jatuh tergolek, tentu dia pastikan aku keluar dari kolej ini. Dia kan ada pengaruh juga ..."

Kirana masih diam. Apa yang Rehan kata itu ada benarnya. Cuma, dia tidak suka untuk mendengar perkara berkait dengan keburukan orang. Tidak kiralah siapa. Setiap orang ada sisi buruk dan cantik. Biasanya, yang buruk itu semua orang nampak. Tidak perlu didedahkan. Ia ibarat najis yang ditanam, disembunyikan. Bila hujan, baunya tetap akan tersebar. Tak perlu digali keluar.

"Ki, maafkan aku. Aku tahu, kau tak suka. Tapi, kau baik. Kau tak suruh aku diam. Dan, kau tak menyokong kata-kata aku terhadap khilaf seorang kawan. Aku janji, aku cuba bertahan dengan sikap dia. Aku nak jadi macam kau. Ceria, tenang."

Kirana menarik senyum. Tangan Rehan disentuh dan digenggam. "Aku pun banyak cela. Semua orang ada cela. Tak payah puji aku. Kita cerita hal lain, okey!"

"Terima kasih, Ki. Dahlah sudi kawan dengan aku yang badan macam ini. Terima juga luahan hati aku yang 'ter ...mengata' kawan sendiri."

"Dah, dah! Jangan sambung mengata diri sendiri pula. Ciptaan diri kita, bukan kita yang pilih. Allah yang pilih. Dan, Allah pilih yang terbaik. Ada sebab kenapa Allah bagi kau tubuh kau, dan aku dengan tubuh aku. Tak mau cerita lagi. Kita hidup je dengan kehidupan kita. Enjoy atau dengan kata lain, syukur dengan apa yang ada. Kalau kau rasa keadaan diri sendiri boleh menimbulkan fitnah, boleh je kau bersenam dan kurangkan apa yang kau nak buang. Jangan cela diri sendiri. Jangan cela pemberian Ilahi. Kita happy-happy je!"

"Ya, betul tu Ki! Aku bersyukur aku kenal kau. Jadi kawan kau. Kita happy-happy je!" Rehan memeluk tubuh kecil Ki. Tenggelam dan hilang tubuh itu.

Di dalam hati Kirana, ada sebak yang muncul.


1151 pp

08 Jun 2022

11.19 pagi

Contengan HatiWhere stories live. Discover now