Bab 14

107 16 8
                                    

SEPANJANG perjalanan pulang ke rumah, hati Kif rasa tenang walaupun di fikirannya banyak persoalan yang bercambah. Dia tahu bagaimana meleraikannya. Dengan menconteng setiap apa yang tumbuh bagai ranting.

"Lambat abang balik. Abang singgah ke rumah ayah, ke?"

Kif menyimpan kasutnya di dalam rak di tepi pintu. Dia mengunci pintu memandangkan hari sudah petang benar. Dan, dia tidak rasa akan keluar lagi.

"Abang belum solat asar." Hanya itu yang dibalas kepada Reen sebelum bergegas ke biliknya.

Sudah biasa dengan ragam si abang, Reen meneruskan kerja-kerjanya di dapur. Inti karipap perlu disiapkan. Malah, beberapa inti kueh lain juga perlu diselesaikan sebelum maghrib menjelang. Malam nanti dia akan memasukkan inti dan menggoreng karipap, kueh badak dan kueh kacang yang disejuk-bekukan. Stok sejuk-beku ini memudahkan dia menguruskan masa.

Malah, di dalam peti sejuknya sudah penuh dengan bahan-bahan kisar yang disimpan di dalam bekas-bekas kecil dan dilabel. Bawang merah, bawang putih, halia, cili ... semuanya sudah siap dikisar. Mudah untuk dia menumis. Memasak makanan panas untuk jualan. Memang rumit di awalnya, tetapi mudah sewaktu proses memasak bermula. Memang tidak banyak kisaran bahan-bahan tersebut. Cukup untuk seminggu. Dia tidak mahu masakannya kurang segar. Simpan bahan kisar dalam tempoh yang lama juga punya risiko rosak.

"Abang ada bagi tahu kenapa dia balik lewat?" Emaknya muncul dengan bertelekung. Perlahan menapak ke arah Reen.

"Tak. Abang dah lewat solat asar. Dia terus masuk bilik, tak cerita apa. Sekejap lagi Reen tanyakan. Mak masuklah, kalau nak sambung zikir dan baca Quran."

"Tak apa. Mak zikir di meja makan ni sahaja sementara tunggu abang."

Reen menghela nafas. Risau dengan keadaan mak yang selalu lemah. Risau dengan si abang yang suka berahsia banyak perkara. Tak mahu bercerita apa yang dilakukannya. Tetapi, bila orang bertanya, si abang lebih tidak suka! Si abang yang tidak suka bila emak atau Reen merisaukan dia. Baginya, dia lelaki dan tahu jaga diri. Sedangkan, hati si adik dan emak memikir perkara buruk sahaja. Entahkan kemalangan dilanggar lori, entahkan kecelakaan dibantai orang, dirompak ...

Reen amat takut bersangka-sangka. Takut kehilangan abangnya. Walaupun Reen mampu berdikari, mampu jaga mak sendiri bila abang di universiti, tetapi bila Kif ada walaupun jauh ... Reen jadi kuat. Dia tahu dia ada abang tempat dia mengadu perihal risaukan mak. Dia tahu, dia ada abang tempat menumpang kasih sayang. Tempat melepas lelah. Menumpahkan air mata bila berlaku satu-satu perkara. Dia sayangkan abangnya.

"Emak ..."

Cepat Reen berpaling. Si abang masih memakai kopiah di kepala, menyapa emak.

"Kenapa boleh lewat solat, Kif? Zohor tadi, di mana?"

"Zohor di kafe. Asar, ingatkan sempat balik. Tak sangka lewat sikit ..."

"Kenapa lewat, bang?" Reen menyampuk. Api dapur sudah dimatikan. Inti karipapnya sudah siap dimasak. Menanti sejuk sebelum kuali dibasuh dan memasak inti kueh badak pula.

"Jumpa kawan."

"Abang Adli dan Abang Pian? Eh, dia orang pergi ke kafe juga, ke?"

Kif diam.

"Jumpa siapa, Kif?"

"Kirana."

"Wah, abang ada apa-apa ke dengan dia?" Reen sudah teruja. Tidak pernah abangnya ada kawan selain yang berdua itu. Kali ini ada nama baru. Perempuan pula tu. Tentu manusia ini istimewa sehinggakan Kif yang sukar menerima orang lain dalam hidupnya boleh bersikap terbuka sebegitu.

Kif melayang pandangan amaran. Reen ketawa.

"Ki tinggal di sekitar kafe? Dekat dengan rumah ayah?" Emak bertanya.

Contengan HatiWhere stories live. Discover now