Bab 17

118 19 13
                                    

PAGI yang tenang, nyaman dengan deruan air terjun yang bercahaya ditikam bilah-bilah matahari dari celahan pokok. Aktiviti cinta alam bermula. Pengkarya mencari tempat sendiri bagi menguja ilham alam. Ada yang memilih untuk melakukannya secara berkumpulan dalam tiga ke empat orang, tetapi rata-rata memilih untuk menyendiri.

"Jangan pergi jauh. Pastikan ada sekurang-kurangnya seorang yang tahu keberadaan kamu. Kalau boleh, ikut tempat yang telah kamu pilih dan tanda di dalam peta, petang semalam. Mudah bagi kami untuk mengesan." Pensyarah seni, Puan Ainon mengeluarkan arahan.

"Saya faham, keinginan seorang pengkarya adalah kesunyian. Tetapi, jika boleh, jarak di antara kamu adalah jarak yang boleh dilihat oleh rakan lain. Jika menjerit, boleh didengar dengan jelas. Dan, saya tak rasa kamu semua memerlukan headphone, earphone untuk menyendiri dan mengelak daripada mendengar suara yang menghalau ilham. Suara alam adalah ilham, bukan gangguan. Bukan hanya mata yang boleh menarik cinta alam, tetapi juga pendengaran. Gunakan kelima-lima pancaindera kurniaan Tuhan untuk kamu berkarya." Pensyarah dari jabatan muzik, Encik Hendra pula menyambung.

Masing-masing tidak membalas. Hanya menghayun kaki mencari lokasi yang dirasakan mampu menguja cinta.

"Kif ..." Adli sentuh bahu Kif. "Kita orang nak melukis dekat kaki air terjun. Dapat satu lukisan, kita orang stop. Pian nak mandi."

"Okey." Hanya itu yang dibalas Kif.

Pian dan Adli menghela nafas. Faham. Kif tak suka orang lihat contengannya. Tak pernah pun mereka mendapat keizinan untuk melihat apa yang diconteng oleh Kif kecuali jika ia satu tugasan daripada pensyarah fakulti.

Mereka bergerak bertentang arah. Kif melangkah ke hutan. Mendaki sedikit daripada tempat yang Adli dan Pian pilih. Mereka masih nampak di antara satu sama lain.

"Ki, aku ikut kau, ya?" Rehan menggoyang-goyangkan tangan Kirana. Dia tak ada kawan lain selain daripada Kirana. Dan, dia amat tidak yakin untuk bersendirian dalam kalangan pengkarya yang di matanya hebat-hebat belaka. Lebih-lebih lagi kebanyakan mereka adalah dari fakulti seni. Masing-masing memang punya bakat. Takut Rehan nak dekat.

"Boleh. Jom kita ke pinggir hutan sana. Dah ramai yang pilih dekat dengan air terjun. Aku nak cari rama-rama."

Mereka beriringan, berpimpin tangan. Rehan membawa alat-alat seninya, sementara Kirana hanya dengan buku catatan dan alat tulis. Dia bukan nak melukis sebagaimana mereka yang lain. Dia hanya ingin menulis bait-bait puisi yang mungkin boleh dijadikan lirik lagu. Pensyarah fakulti muzik, Puan Farahin adalah salah seorang supervisor Kirana dalam projek cinta alam ini. Walaupun, Puan Farahin tidak ikut serta, Encik Hendra akan memantau hasil kerja Kirana.

Tanah lapang yang dipilih Kirana memang agak jauh daripada tapak khemah dan air terjun. Tetapi, masih lagi boleh dilihat oleh sekumpulan pelajar lelaki yang berkumpul mencipta lirik. Masing-masing memegang gitar dan ada yang menulis bait-baitnya.

"Cantiklah tempat ni, Ki. Agak-agak, syurga macam ni ke?"

"Eh, tentulah lebih cantik lagi!" Kirana tersenyum. Matanya mengitari kawasan sekitar. Rumput yang terbentang, ibarat permaidani yang dijaga rapi. Bunga-bunga lalang yang kecil-kecil itu, begitu indah bila sesekali digoyang angin yang sesekali menyapa. Bunyi air terjun samar-samar didengar. Kicau unggas lebih kuat. Cengkerik juga sesekali bersuara.

Rehan sudah mula melakar. Bunga lalang menjadi objek tumpu.

Kirana masih melihat sekitar. Mencari rama-rama yang tak muncul walaupun bunga lalang memanggil.

Pejam matamu, biarkan telinga yang bekerja.

Kirana patuh. Dengan senyuman, dipejamkan mata. Hanya telinga yang menangkap bunyi alam. Seolah-olah sedang berbicara. Menyanyikan lagu selamat datang buat Kirana. Dalam gelap pandang, deria pendengaran berfungsi hebat.

Contengan HatiWhere stories live. Discover now