Bab 25

116 14 9
                                    

MALAM itu, Kif sibuk menconteng. Tiga jam Kirana bercerita tentang Enda dan kehilangan Enda, membuatkan dia menterjemahnya dalam bentuk contengan berpuluh muka surat. Pian dan Adli tidak berani menegur bila Kif mula diam dan menconteng. Sudah lama Kif tidak menumpukan perhatian sebegitu pada contengan. Sehingga waktu makan pun, dikesampingkan. Hanya berhenti solat. Itupun, perlu diingatkan oleh Adli dan Pian.

"Cerita apa yang Kif tengah buat sekarang ni agaknya? Fokus dia lain macam!"

"Kalau kau berani, tanyalah."

Adli menggeleng. Walaupun Kif baik, tak pernah mengamuk, tapi ... cara dia mengelak daripada menjawab itu lebih merunsingkan. Malah, Adli dan Pian akan diselubungi rasa bersalah yang teramat. Pernah mereka bertanya bila dilihatnya Kif khusyuk sangat. Lalu, berhari-hari Kif hilang. Tak pulang langsung ke rumah sewa mereka. Mencari tempat yang lebih tenang tanpa gangguan dan soalan manusia.

"Kita biarkan sahajalah. Dah settle nanti, dia ceritalah, kot! Mungkin lukisan client yang dia kena siapkan. Client penting." Pian meneka-neka.

Adli mengangguk-angguk.

Kif langsung tidak mempedulikan Adli dan Pian. Dia terus melukis. Takut jika apa yang terbayang di fikirannya dengan apa yang Kirana cerita, akan hilang ditelan masa. Malah, apa yang ayah Kirana khabarkan padanya juga, diadun sekali di dalam contengan kali ini. Contengan hati tiga manusia yang selama ini hidup dalam kewujudan palsu satu nama.

"Enda, ini untuk Ki. Ki, kembali."

Kif terus menconteng. Dia ingin Kirana nampak realitinya.

"Nama panggilan saya, Enda. Nama manja yang arwah nenek berikan. Nama yang dahulunya dicipta kerana saya sering demam dan keteguran. Tak pernah senyum kerana senyum itu hanya untuk orang yang dapat menikmati warna alam. Kicau burung di bumi Tuhan. Tetapi saya ... seorang kanak-kanak malang yang hanya terlantar sakit dan sering menerima rawatan. Bagaimana saya hendak tersenyum jika selalu menelan kepahitan?"

"Saya tidak mempunyai kawan. Tetapi, kata-kata nenek membuatkan saya menciptanya. Kata nenek, kita boleh berkawan dengan diri kita. Berkawan atau menganggap diri kita ini saudara yang paling kita sayang. Yang selalu ada dekat dengan kita. Jika hilang pun, mungkin kerana rajuk di atas sikap dan pengabaian kita."

"Kirana ada Enda. Enda yang cuba diceriakan wataknya oleh seorang Kirana. Dan, watak Enda itu pula selalu menganggap Kirana watak yang bertentangan. Saya berkawan dengan saya. Dan, saya bahagia punya saudara seperti Enda. Enda juga gembira punya saudara seperti saya. Ibu juga gembira bila saya sudah beransur pulih dan boleh berkawan dengan orang lain."

"Tetapi, Enda tidak dapat bersama saya sentiasa sebagaimana yang nenek perkata. Walaupun Enda itu saya, tetapi kewujudannya tidak nyata. Saya ingin Enda bersekolah seperti saya. Tetapi, tidak boleh. Saya sering diejek kerana hanya saya yang nampak Enda. Jadi, saya mencipta yang watak Enda itu tidak sesempurna diri saya. Enda perlu disorokkan. Atau, Enda perlu dijadikan seorang budak yang tidak dipandang."

"Lama-kelamaan, Enda hilang. Hanya muncul sebagai bayang."

Tangan Kif laju menconteng. Seolah-olah langsung tidak penat. Dia mahu kisah Kirana dan Enda terzahir depan mata. Dia ingin bawa helaian contengannya kepada ayah Kirana. Dan, lelaki itu nanti akan menyerahkannya kepada si isteri. Ibu Kirana. Juga, ibu Enda.

Yang paling utama, Kirana itu sendiri. Jika Kirana mampu melupakan Enda, si ibu juga akan mengakui yang Enda masih hidup. Enda itu Kirana!

"Awak akan terus berkawan dengan saya?"

Kif terdiam. Dia tahu, jika sekarang ini dia menjauhkan diri daripada Kirana pun, gadis itu tidak akan apa-apa. Cuma, Enda dan Kirana akan tetap bersama dalam jasad berbeza. Satu yang terhijab dan satu lagi nyata.

Diamnya Kif membuatkan Kirana menarik senyum. Dia melarikan mata ke luar dinding bercermin kaca. Mencari Enda. Tetapi, Enda tidak muncul. Dia menghela nafas sebelum kembali memandang pada Kif yang terus memandang dia. Tanpa suara.

Satu malam Kif tidak tidur. Mujur, esok merupakan hari minggu. Dia menyiapkan contengannya. Kertas berterabur merata. Tetapi, yang diconteng, sudah dimasukkan ke dalam fail. Takut jika dibuang oleh sahabatnya yang berdua itu. Yang mereka fikir itu contengan tak jadi. Kif perlu berhati-hati. Mengasingkan yang elok jadi dengan yang dia tidak mahu lagi. Pagi itu, selepas solat subuh, Kif tumbang. Tidur pulas sehingga matahari menggalah.

Pian dan Adli yang menolong kemas helaian yang bertaburan, yang ada di antaranya yang renyuk kerana tidak menjadi. Mereka sudah lali. Sudah biasa Kif begini. Tetapi, kali ini teruk sekali. Menggeleng Pian dan Adli melihat keadaan rakan mereka.

"Kau faham ke cerita ni?" Pian bertanya sambil matanya cuba memahami salah satu daripada contengan yang tidak menjadi. Yang sudah bergumpal dan dicampak merata oleh Kif.

Adli menggeleng. Gambar budak perempuan kecil. Ada yang dikaburkan, lalu hilang. Ada yang berdiri seorang dan bercakap dengan cermin. Ada juga yang bercakap dengan bayang-bayang. Malah, dengan air yang bertakung di cawan!

Ada gambar lelaki dewasa yang berwajah dua. Satu wajah senyum ketawa. Satu lagi wajah bermuram durja. Ada gambar wanita yang memeluk dua gadis. Dan, gadis-gadis itu sekejap bercantum, sekejap terasing.

Sepatutnya petang itu, giliran Kif menyediakan makanan. Atau, sekurang-kurangnya membeli. Tetapi, Kif tidak bangun-bangun. Tidur mati. Alarm pada telefonnya, ditetapkan pada jam 2 petang. Tentu tidak mahu zohor hilang. Maka, Pian dan Adli faham. Mereka akan memasak menggantikan giliran Kif.

Tetapi, sebelum pukul 12 tengah hari, Kif sudah muncul dan kelam-kabut mencapai roti dan meneguk segelas air. Dia sudah bersiap dengan beg yang pastinya ada bahan-bahan lukisan.

"Macam hantu! Muncul tiba-tiba, tak bersuara ... lepas tu keluar tak cakap apa." Pian menggeleng sambil menyudahkan masakan. Hari ini mereka hanya memasak nasi putih dan telur dadar.

"Kau rasa, dia nak ke mana?" Adli bertanya sambil menjengah ke luar. Melihat jika Kif menutup pintu atau tidak.

"Jumpa client?"

Adli menggeleng, "Aku rasa, dia jumpa Kirana."

"Sebab kau kata macam tu?"

"Dia mana pernah bersemuka dengan client dia. Dia berhubung secara dalam talian sahaja."

"Logik."

Mereka menjengah lagi, walaupun pasti yang Kif sudah lesap. 

"Cerita Kirana ke yang Kif conteng-contengkan?"

Kedua-dua mereka tertanya, tanpa memperoleh jawapan.


914 patah perkataan

14 Jan 2023

8.50 malam

Contengan HatiWhere stories live. Discover now