Bab 10

128 19 4
                                    

DIA hanya mengenakan jean biru lusuhnya, bersama T-shirt putih berleher bulat. Pertemuan yang dia tidak rancang dan tidak diingininya, tetapi perlu dilakukan demi sekeping hati. Bukan hati ayah, tetapi hati emak. Kif berjalan santai menuju ke perhentian bas. Dia keluar awal berbanding waktu perjanjian. Ada dua jam lagi untuk pertemuan dengan lelaki yang hampir setahun tidak ditemui ini.

Telinganya disumbat dengan earphone yang disambung pada telefon pintar. Beg sandang belakangnya ditarik ke atas riba sebaik dia melabuhkan punggung di bangku hentian. Dikeluarkan beberapa helai kertas hasil contengannya. Dibelek, sambil telinga mendengar alunan muzik daripada kompilasi lagu beberapa siri anime Jepun.

Sehelai contengan bertarikh hari pulangnya ke rumah, dibawa ke hadapan. Terpampang contengan susuk seorang Kirana yang berwajah muram. Cerita Kirana tentang Cendana membuatkan dia mula membayangkan wajah kembar Kirana. Kata Kirana, kedua-dua mereka berbeza. Baik dari segi fizikal, mahupun karakter. Tetapi, itu sebelum Cendana hilang. Selepas kehilangan itu, Kirana pula yang mendukung karakter ceria Cendana.

Dia menukar hala pandang ke jalan raya. Debu-debu jalan yang kering, berterbangan. Topinya dilurutkan sedikit ke bawah. Mengelak pasir dan debu jalanan itu daripada memasuki mata. Jam di pergelangan tangan kirinya, diperhati. Tidak lama. Bila-bila masa sahaja bas yang dinanti itu akan muncul.

Sepanjang Kirana bercerita, dia tidak rasa apa pun. Dia hanya memerhati dari sisi si gadis yang sedang patah dari segala segi – hati, suara, keyakinan ... malah, perasaan gadis itu juga sudah libang-libu tidak tentu haluan. Seperti yang di sisinya itu bukan Kirana yang dia kenal. Tetapi, serapuh, sepatah mana pun Kirana, penutupnya masih dengan senyuman.

Simpati tidak langsung menjengah di hati Kif. Dia lihat, gadis itu tidak memerlukan simpati. Malah, cerita si gadis seperti sebuah dongeng atau hanya mimpi.

"Saya dah bercerita. Saya nak dengar pendapat awak."

"Saya tidak ada pendapat."

Kirana memandangnya dengan wajah penuh pertanyaan. Dia pula kekal tanpa riak. Apa yang boleh dia kata?

"Ya, awak betul. Ia hanya sebuah cerita kehidupan silam saya dan kembar saya. Tidak sepatutnya saya bertanyakan pendapat awak atau sesiapa. Cerita begini sekadar maklumat untuk awak mengenali diri saya. Tidak akan ada apa-apa tentangnya untuk awak berkongsikan pandangan."

Lalu, gadis itu menarik senyum.

Kif hanya membatu. Memang tiada apa yang ingin dia cakapkan. Cukup dia tahu bagaimana Kirana menjadi seorang yang ceria. Ia bukan kerana gadis itu tidak mempunyai masalah, tetapi gadis itu memilih untuk berhadapan dengan masalah dengan cara yang berbeza.

Kerana cerita Kirana itu jugalah, Kif memilih untuk berhadapan dengan kehidupannya sekarang. Berhadapan dengan permintaan ayahnya yang ingin menemuinya. Tentang apa, atau apa pokok bicaranya, Kif tidak mahu menyesakkan fikiran untuk tahu. Dia hanya perlu memenuhi permintaan dan akan memikirkannya kemudian. Hidup pada waktu sekarang. Bukan masa lalu. Bukan masa hadapan.

Bas yang berhenti di hadapannya membawa bersama debu jalan dan daun-daun kering yang menyesakkan pandangan. Kif berpaling ke belakang bila dirasakan debuan itu sudah kurang berterbangan. Lalu, dia memanjat tangga bas yang sedia ternganga. Di dalamnya hanya ada dua tiga manusia. Mungkin kerana hari ini hari Sabtu. Tidak ramai manusia yang bekerja.

Sepanjang perjalanan, dia hanya memikirkan cerita Kirana. Tidak semua orang mampu berhadapan dengan kehilangan yang tiba-tiba. Lebih-lebih lagi bila kehilangan itu seakan satu petanda bagi perubahan sikap seseorang.

Kif pernah berhadapan dengan kehilangan seorang ayah. Jiwanya jadi kosong dan hanya membenih benci. Kehilangan yang tidak dinanti akan kembalinya susuk itu. Berbeza dengan Kirana yang saban waktu menantikan kembalinya Cendana.

Contengan HatiWhere stories live. Discover now