Bab 16

111 19 8
                                    

KIF tumbuk orang! Adli dan Pian tergamam. Mula rasa mereka tidak kenal Kif. Mula rasa Kif berperangai pelik.

"Kif." Pian mendekati.

Kif buat muka selamba. Tak rasa bersalah apatah lagi berdosa.

"Jom, balik." Kif bangun. Adli dan Pian mengekori. Sambil mengekori Kif yang melangkah ke arah khemah mereka, Adli dan Pian menoleh-noleh juga ke belakang. Risau jika mangsa tumbukan Kif membalas serangan. Tetapi, nampaknya si mangsa seakan insaf. Dan, mungkin juga kerana si gadis bernama Kirana sedang berdiri menyusun jari memohon maaf bagi pihak Kif.

"Ki ..." Langkah Kif terhenti dan dia menyeru nama Kirana. Langkah Adli dan Pian terhenti sama. Hampir berlaga dengan tubuh Kif yang berhenti mendadak. Mereka menoleh pada Kirana. Menanti si gadis menuruti kata Kif agar melangkah bersama-sama mereka, meninggalkan mangsa tumbukan Kif.

Melihat Kirana bergerak ke arah mereka, Kif meneruskan langkah. Adli dan Pian juga. Kirana berlari-lari anak, cuba menyaingi Kif.

"Kenapa awak tumbuk dia?"

Kif buat tidak tahu. Terus berjalan.

"Tak perlu cederakan dia. Perkara boleh bincang." Kirana terus berjalan sambil menghentam Kif dengan ketidakpuasan.

Kif berhenti tiba-tiba. Sekali lagi, Adli dan Pian hampir berlaga dengan belakang tubuh Kif.

"Balas, jangan diam." Tajam kata-kata Kif.

Terhela nafas Kirana, "Saya tergamam. Baru nak fikir cara mana nak selesai, awak tiba-tiba masuk campur."

Mereka meneruskan langkah. Adli dan Pian saling memandang sesama mereka.

"Siapa budak perempuan ni?" bisik Pian pada Adli.

"Yang kat kafe hari tu, kan? Kalau tak salah akulah ..." balas Adli, berbisik juga. Mereka melangkah tanpa henti mengikuti belakang Kif dan Kirana.

"Ada apa-apa ke?" bisik Pian lagi.

"Macam ada ..." balas Adli.

"Nak tanya?"

"Kalau pada Kif, memang tak dapat jawapan. Kita tanya pada budak perempuan ni."

Pian mengangguk. Mereka akan bertanya kepada Kirana. Tetapi, tanpa Kif.

Naik semester baru, ada aktiviti perkhemahan anjuran Kelab Alam Sekitar. Kirana memang ahli kelab. Kif pula mendaftar sebab dia ingin dapatkan pemandangan baru untuk contengan-contengannya. Alam adalah sumber inspirasi bagi setiap pencinta seni. Tidak kira seni lukis, seni puisi, malah seni tulis juga.

"Ki! Tolong Kak Seroja, boleh?"

"Ya, kak?"

"Ini, Ki tolong bagi pada budak-budak siswa yang tadi angkat barang dan pasang khemah tu." Seroja menuding ke arah sekumpulan siswa yang tampak kelelahan.

"Err ..."

"Sorry, sebab kena minta tolong Ki walaupun akak tahu Ki datang sini sebagai peserta." Seroja cantumkan dua tangannya dengan muka minta simpati.

"Tak apa kak. Cuma ..." Kirana menoleh ke arah kumpulan siswa itu. "... Ki segan. Abang Jijo mana, kak?"

Seroja dan Jijo terlibat sebagai caterer untuk program kali ini. Mereka yang akan menguruskan makanan para peserta. Ada dua orang tukang masak yang datang bersama mereka juga.

"Abang Jijo sakit perut. Dia pergi cari tandas ..."

"Rehan ..." Kirana minta bantuan. Segan kalau nak mendekati kumpulan siswa tanpa teman.

Awal-awal Rehan menggeleng.

"Boleh, Ki?" Seroja kelihatan serba salah. Dia tidak boleh meninggalkan tukang masaknya yang sedang berkira-kira menyusun menu pada ketika itu. Menyemak barang-barang yang baru dibawa turun dari bas.

Contengan HatiWhere stories live. Discover now