Bab 8

135 21 6
                                    

KIF cuba mengawal riak ketika wajah emak berpaling padanya. Lalu, mata emak tertancap lama di sisi wajah Kif. Walaupun Kif tidak memandang tepat ke arah emak, tetapi hujung mata Kif dapat menangkap mata emak yang tidak berkalih. Malah, Kif percaya, bibir emak juga sedang menarik senyum padanya.

Kif hampir menghela nafas bila tiba-tiba emak bersuara, "Cantik."

Terus Kif berpaling pada emak walaupun dia sebenarnya risau. Dikerutkan kening. Bukan pertama kali emak melihat contengan watak-wataknya. Yang watak-watak itu memang wujud di sekelilingnya. Tetapi, baru kali ini emak menyebut perkataan 'cantik', selepas kali pertama ia disebut pada lima tahun yang lalu. Iaitu sewaktu Kif mula menconteng apa yang dirasanya, dilihatnya dan dirasakan ada nilai diari tapi Kif terjemah dalam bentuk contengan hati.

"Siapa dia?"

Terhela nafas Kif. Memang emak perasan akan 'watak' baru di dalam contengan hatinya. Memang itu yang dirisaukannya sewaktu emak bertanyakan lukisan-lukisannya. Kif bercerita melalui contengan. Dia tidak pandai mengatur aksara yang bercerita. Pendek pun sukar, apatah lagi yang berjela. Contengan keadaan yang ingin dia rakam, adalah caranya dalam menyimpan kenangan.

Sambil memaksa senyum, Kif menjawab, "Kawan kepada ahli kumpulan Kif dalam perbincangan."

Kali ini, emak pula berkerut dahi. Kawan siapa? Ahli kumpulan Kif bukan seorang dua.

"Kawan Anne."

Emak melepas tawa kecil bila mendengar nama Anne terluah daripada bibir anak bujangnya.

"Masih tak boleh nak berbaik dengan Anne dan kawan-kawan lain? Selain Adli dan Pian? Sampai Anne pun hantar kawannya untuk berpesan-pesan?"

Kif diam. Menunduk. Hujung jari kakinya menguis lantai. "Orang tak suka Kif. Selagi tidak menjejaskan markah dan pelajaran ... biarlah."

Emak sudah menutup helaian-helaian contengan yang dijahit menjadi seperti sebuah komik, "Kita tak boleh harap orang faham kita. Berubah demi kita. Kita juga kena faham orang. Kena bagi muka. Kena baiki hubungan. Siapa nama watak baru Kif yang kawan kepada Anne, ini?"

Contengan Kif hanya sekadar contengan berbabak. Tiada dialog apatah lagi nama watak. Tiada sebarang perkataan yang dinukilkan. Memang mencabar untuk membaca contengan Kif. Perlu kefahaman sendiri. Perlu mencipta dialog sendiri.

"Ki."

"Kif juga namanya?"

Kif menggeleng, "Ki. Kirana. Nama penuh, Kif tak tahu."

Emak mengangguk. Senyum di bibir tidak lekang.

"Ia bukan macam yang emak fikir. Kif masukkan dia sebagai watak sebab ..."

"Tidak perlu cerita. Emak rasa, emak boleh tahu sebabnya. Tengok conteng-contengan Kif pada babak yang ada dia pun, emak dah boleh kenal tingkahnya bagaimana. Memang menarik nampaknya budak Kirana ini. Patutlah mendapat perhatian anak bujang emak." Emak tersenyum lagi.

Melihat Kif diam, emak sentuh kekura tangan Kif, "Kalau boleh, kurangkan gambar-gambar wanita. Takut jadi lagha. Takut syaitan di dalam diri kita menyuntik agenda. Kif faham maksud emak, kan? Fokus seorang pelukis adalah melalui bayangan. Emosi dalaman kita akan membawa kita kepada setiap inci wajah, malah tubuhnya. Emak tak mahu anak emak tergelincir daripada landasan iman."

"Insya-Allah, Kif faham, mak. Kif conteng yang tak betul. Tak pernah pun renung dia. Hanya bayang-bayangkan apa yang melintas depan mata sahaja. Itu sebab Kif namakan contengan, bukan lukisan sangat pun. Tak terperinci. Tak betul-betul pun."

Emak mengangguk-angguk sambil mengusap belakang tubuh Kif.

"Esok, Kif akan jumpa ayah."

"Baguslah. Sampaikan salam emak pada ayah. Kalau mak cik Kif ada sekali, sampaikan juga padanya."

Contengan HatiWhere stories live. Discover now