Bab 26

144 15 2
                                    

Ketika Kif tiba di kafe, lelaki itu sudah sedia menanti. Kif menarik nafas dalam sebelum meneruskan langkah. Dia sendiri tidak pasti apa yang sedang dilakukannya dan kenapa dia melakukannya. Hanya dia terasa ingin menolong.

Sebaik terpandangkan Kif, lelaki itu bangkit.

"Kif," tegurnya dengan senyuman.

Kif segera menghulurkan tangan. Bersalam dan mencium tangan lelaki itu.

"Maaf, saya terlewat. Terlajak tidur."

"Tak apa, tak apa. Kif order air dulu. Nak makan apa, order. Hari ni pak cik belanja."

"Eh, tak apa."

"Jangan begitu. Kita nak berbual lama."

"Apa-apa sahaja. Saya, okey."

Lelaki itu meminta diri, lalu terus ke kaunter. Kif hanya memerhati. Setiap perubahan riak yang dipaparkan lelaki itu, terakam elok di kepalanya. Bakal menjadi bahan contengan. Gerak tubuh lelaki itu juga menarik perhatian Kif.

"Nanti mereka hantar ke sini." Lelaki itu kembali.

Cepat Kif membuka begnya. Dikeluarkan hasil contengan sepanjang malam, lalu diserahkan ke tangan lelaki itu.

"Pak cik tengoklah."

Teragak-agak lelaki itu mencapainya. Seolah-olah ia satu rahsia besar yang bakal mengubah hidupnya. Dia mulai menyelak helaian demi helaian. Kif pula begitu asyik melihat setiap riak yang terpamer di wajah lelaki itu. Sesekali, Kif rasa simpati. Tetapi, dia juga rasa kagum dengan lelaki ini. Dua wanita kecintaan berada dalam dua alam. Di antara realiti dan fantasi. Tetapi, tetap dia, si lelaki begitu tabah dan terus menyayangi. Tentu tidak mudah. Dan, keikhlasan itu terserlah. Cinta suci itu wujud.

Hampir satu jam lelaki itu membelek contengan Kif. Sehinggakan makanan yang sampai, tidak diendahkan. Sebaliknya dia hanya menyuruh Kif menghabiskan kesemua makanan yang dipesan. Dia kenyang dengan membelek setiap contengan Kif.

"Terima kasih, Kif."

"Sama-sama," dibalas bersahaja, ibarat 'rasa' tak bernyawa. 'Rasa' yang kaku.

"Bukan untuk lukisan ini sahaja. Tetapi, untuk semua. Kif buat dia nak bercerita. Kif buat dia mengakui yang dia itu Enda. Dan... Kif berkawan dengan dia tanpa prejudis terhadap dirinya. Pak cik gembira. Dan, pak cik harap agar Kif terus berkawan dengan dia. Insya-Allah dia akan pulih. Sekarang ini pun dia semakin pulih. Cuma tidak menunjukkannya kepada kami. Pak cik tahu dia sudah pulih. Sedang cuba pulih dan kembali. Mungkin, masih ragu untuk mengakui yang dia sedang pulih."

Kif hanya mengangguk. Tidak ada apa yang ingin dibalas. Tidak tahu kata-kata apa yang sesuai untuk membalas 'terima kasih' ayah Kirana selain daripada 'sama-sama'.

"Apa pendapat Kif tentang anak pak cik?"

Kif tersentak. Terus blur kepala otak. Dia hanya kaku dan duduk menegak.

Ayah Kirana melepas tawa. Kif jujur orangnya.

"Maaf, terlalu awal pak cik bertanyakan hal-hal sebegini. Mungkin teruja sebab jarang Kirana ada kawan lelaki yang rapat dengannya."

Automatik minda Kif melayang kepada Haikal. Ayah Kirana tidak tahu tentang Haikal. Bagaimana jika lelaki ini tahu? Adakah Haikal juga akan didekati dan ditanyakan soalan yang sama?

"Err ... pak cik."

"Ya, Kif. Cakaplah." Wajah ayah Kirana begitu ceria.

"Kenapa pak cik tak bertegas dengan Ki? Kenapa biarkan dia terus menganggap Enda sebagai kembarnya?"

Serta-merta wajah ayah Kirana berubah. Kendur ceria di wajah.

"Mana-mana ayah tidak akan ingin melihat puterinya sepi. Jika angannya membuatkan dia hidup seperti orang biasa, mengapa mesti pak cik bunuh semua yang dibayang-bayangkannya?"

"Kirana tak macam orang biasa. Dia berhalusinasi."

Ayah Kirana, menghela nafas. Dia akui semua itu.

"Bagaimana jika watak Enda yang dibayang-bayangkan, menarik Kirana ke alam lain?" Kif mengajukan pertanyaan. Dia pernah melihat Kirana hilang di hutan. Dan, dia sendiri seperti dipukau oleh semangat hutan bila terpandang-pandangkan Enda yang sering dicerita oleh Kirana. Mungkin, Enda itu telah berjaya hidup di dalam dirinya bila dia mula percaya.

Dan, Enda terus hidup di dalam minda dan jiwa Kirana bila terus dipuja. Ditambah dengan percaya oleh manusia lain seperti Kif. Kirana mulai yakin akan kewujudan Enda.

"Pak cik tak pernah terfikir begitu. Ki selalu menganggap Enda diculik oleh orang jahat. Dan, bayangan-bayangan itu hadir kerana Enda minta Ki terus cari dia. Jangan lupakan dia. Jangan putus asa mencari dia."

Kif termenung seketika. Otaknya laju memproses setiap kata-kata ayah Kirana.

"Betul. Enda minta Ki jangan lupakan dia. Jangan putus asa dalam mencari dia."

"Pak cik tak faham, Kif." Berkerut dahi ayah Kirana. Kata-kata Kif mengiakan setiap penjelasannya. Sedangkan Kif juga yang kata di awal bicara bahawa jangan dilayan atau diikutkan, apatah lagi membenarkan khayalan Kirana. Tetapi kini, anak muda ini bersetuju dengan khayalan itu.

"Cari Enda, bermakna mencari diri Kirana yang asal, pak cik. Bukankah Enda itu nama Kirana juga?"

Kini, mengertilah ayah Kirana. Dia mengangguk-angguk sambil menitiskan air mata. Dia khilaf akan perkara tersebut. Apa yang Kif jelaskan, membuatkan dia berfikir berkali-kali tentang anak dan isterinya. Mereka terus jadi begitu kerana dia tidak tegas dalam menarik kedua-duanya ke alam realiti. Ketakutan untuk kehilangan wanita-wanita kesayangan itu menjerat rasional akal lelakinya.

"Kif betul. Terima kasih. Pak cik harap, kita akan berjumpa lagi selepas ini. Nampaknya, pak cik perlu lebih banyak bergaul dengan orang ramai. Tidak hanya fokus kepada ahli keluarga sendiri yang pak cik sangkakan memerlukan perhatian yang rapi. Mungkin, pak cik boleh mengajak mereka bercampur dengan komuniti juga."

Kif mengangguk-angguk.

"Kirana okey ke di kolej? Maksud pak cik, pergaulannya?"

Sekali lagi Kif terkedu. Tidak pasti apa yang perlu dijawabnya. Dia bukan orang yang sekolej atau sekelas dengan Kirana. Dia baru sahaja mengenali gadis itu.

Tiba-tiba, ayah Kirana melepas tawa sambil menggeleng-geleng, "Maafkan, pak cik. Pak cik tak sepatutnya bertanya tentang anak sendiri pada Kif. Kif baru sangat kenal Kirana. Sedangkan pak cik yang serumah pun tidak benar-benar mengenalinya."

"Dia, okey. Kawan-kawannya ramai. Dia disenangi oleh ramai orang. Contohnya macam pemilik kafe bernama Seroja."

Kali ini, ayah Kirana pula terdiam. Dia pernah dengar nama Seroja dan beberapa nama rakan anaknya. Kirana sering bercerita pada ibunya. Dan, dia sebagai bapa mendapat cerita itu pula daripada isterinya. Tetapi, tidak disangka yang watak-watak itu benar-benar ada. Dia fikir, sama ada Kirana menciptanya, atau isterinya sendiri yang mereka-reka. Dia terpukul.

"Pak cik bersalah kepada mereka."

"Maaf, saya tak faham."

"Kif lebih kenal mereka nampaknya berbanding pak cik. Mungkin, di sinilah bezanya bila kita terlalu dekat, kita tidak akan nampak. Kita hanya percaya dengan fikiran kita, lalu ambil mudah dengan perkara di luar kepercayaan. Realitinya, mereka berdua sudah sembuh."

"Pak cik, saya tak boleh lama." Kif rasa kepalanya sudah melayang. Dia perlu pulang dan melelapkan mata. Mujur hari ini tiada apa yang penting, yang perlu dilakukannya.

"Maaf, sebab menyusahkan Kif. Baliklah dahulu. Berehat. Insya-Allah, nanti kita jumpa lagi. Kalau ada sebarang bantuan yang Kif perlukan daripada pak cik, khabarkan sahaja. Insya-Allah, pak cik akan bantu Kif pula."

Tidak mahu bertangguh kerana kepalanya sudah semakin teduh, Kif terus bersalam dengan ayah Kirana, dan menghilang sebaik melepasi pintu kafe.


1020 pp.

12.44 am.

3 Feb 2023


You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 02, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Contengan HatiWhere stories live. Discover now