Bab 19

96 23 8
                                    

"PANDANGLAH sana." Kirana terpaksa bersuara bila dilihatnya Rehan seakan tidak faham yang dia hendak menyalin pakaian yang separuh lencun. Rehan asyik memandang dia sambil tersenyum-senyum.

Sewaktu Rehan berpaling menghadap ke pintu khemah, membelakangkan Kirana, senyuman di wajah rakannya itu masih tidak hilang. Kirana menggeleng. Tangannya mulai mencabut t-shirt daripada tubuh. Lalu, dilekapkan ke dada sebelum membalut tubuh dengan tuala. Pakaian dalamnya juga dicabut sambil mata awas takut jika Rehan menoleh.

Dia jelas setakat mana agama membenarkan dia menzahirkan auratnya kepada Rehan. Iaitu dari pusat ke lutut. Tetapi, dia tetap segan. Tetap tidak mahu Rehan melihatnya dalam keadaan berkemban dalam tuala besar, labuh melepasi lutut. Rasa malu itu tumbuh elok di dalam dirinya.

Dengan rakan bukan seagama, walaupun sama jantina, kawalan itu lebih lagi. Memang dijaga baik bila ustazah memberitahu bahawa aurat di antara wanita Muslim dengan bukan Muslim itu sama seperti batas aurat dengan lelaki ajnabi. Iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangan.

Pada waktu itu, ada yang bertanya, mengapa. Sedangkan mereka sesama wanita dan memiliki persamaan tubuh badan. Kirana juga ingin tahu. Kata ustazah, Islam ini cermat. Teliti dalam setiap perkara. Lebih-lebih lagi dalam menjaga aib umat. "Orang bukan Islam tidak tahu hukum-hakam agama kita. Andai mereka melihat aurat kita, mungkin mereka 'tidak jaga'. Mungkin mereka bercerita atau tercerita kepada rakan lelaki yang ajnabi pada kita. Sedangkan perkara itu dilarang dan amat memalukan."

Kata ustazah lagi, kaum Adam, atau umumnya manusia ini, mampu membayangkan apa yang ingin dilihatnya walaupun dizahirkan hanya dengan kata-kata bercerita. Lebih-lebih lagi yang tertutup sempurna. Bayangan itu satu keaiban kepada si pemilik tubuh. Malah, mencetuskan dosa.

Sebaik tahu tentang perkara ini, Kirana cukup berhati-hati. Tidak mudah dia mencabut tudungnya di hadapan rakan bukan Muslim walaupun wanita. Ngeri bila dia memikirkan andai segala tentang rambut, bentuk tubuhnya terlepas ke pengetahuan entah siapa-siapa hanya kerana si pencerita itu tidak tahu hukum-hakam.

"Dah." Kirana yang sudah selesai berpakaian lengkap, bersuara. Dia kini mengikat rambut, mencapai tudung.

Rehan berpaling, "Kau nak ke mana siap bertudung?" soalnya pada Kirana. Masih tidak melucutkan senyum.

"Nak perah dan sidai baju dan seluar basah ni di luar."

"Okey, jom. Aku pun ada benda nak tanya pada kau."

Kirana melihat sekeliling. Khemah mereka agak jauh daripada tapak utama yang berada di tengah. Memisahkan khemah perempuan dan lelaki. Ampai khemah mereka juga agak terlindung daripada pandangan pihak belah sana. Tetapi, kerana ragu masih ada, Kirana membuat satu lagi ampaian kecil yang agak tersembunyi untuk menyidai pakaian dalamnya.

Walaupun hanya pakaian, tetapi jika yang dinamakan 'dalam', ia harus disimpan dan disembunyikan daripada pandangan. Terutamanya lelaki ajnabi. Kirana punya rasa malu yang meninggi. Walaupun ada di antara rakan-rakan perempuannya kata, perkara itu biasa. Lelaki boleh sahaja melihat semua itu di pusat-pusat membeli belah yang begitu terbuka jualannya.

Malah, mereka tidak tahu pun siapa yang empunya bila disidai begitu. Jadi, mereka tidak kisah dan dengan selamba mengampainya tanpa ragu.

"Kau dengan Kif ada apa-apa, ke?" Rehan bersuara. Tegak berdiri di sebelah Kirana.

"Ada apa-apa, apa?" Kirana tidak menoleh. Dia sibuk memerah dan mula mengampai t-shirt dan tracksuitnya."

"Couple?"

Terus Kirana berpaling. Mengerutkan dahi. "Kenapa kau kata macam tu?" Dia menarik lengan Rehan untuk berjalan ke arah ahli kelab yang lain sebaik selesai menyidai baju. Kif dan rakan-rakannya tidak kelihatan. Nampaknya ada beberapa perbincangan yang sedang berlangsung di tengah tapak perkhemahan. Para pensyarah juga ada semuanya.

Contengan HatiDonde viven las historias. Descúbrelo ahora