Bab 13

102 18 4
                                    

"IBU saya, tidak berapa sihat," Lalu, gadis itu tersenyum.

Ibunya tidak berapa sihat. Kif faham akan 'tidak berapa sihat' itu maksudnya apa. Bukan sakit seperti emak Kif. Sebaliknya, 'tidak sihat' yang sangat misteri dengan sikap yang orang lain anggap pelik dan pasti tidak mengerti. Dan, Kirana membuat pengakuan sambil tersenyum. Itu, Kif tidak faham. Sungguh tidak faham dengan gadis bernama Kirana. Direnungnya wajah Kirana yang sentiasa merekah dengan senyuman. Kerana biasa tersenyum, bila tanpa senyum pun, wajah itu terlihat seakan tersenyum. Manis dan menenangkan. Mungkin bayangan kekerapan senyuman itu telah menghalau wajah biasa Kirana. Sehinggakan, yang tinggal kekal bila wajah itu menyapa pandangan, hanyalah senyuman.

Mereka berjalan beriringan selepas menghantar ibu Kirana pulang. Kirana menemani Kif menunggu bas berhampiran kawasan perumahannya setelah lelaki itu menolak untuk masuk ke rumah Kirana dan minum sekurang-kurangnya secawan kopi atau teh.

"Kata arwah tok, ibu jadi seorang yang periang dan sukakan gurindam selepas pulang daripada aktiviti perkhemahan di zaman remajanya. Sebelum itu pun, ibu memang seorang yang periang, tetapi berkelakuan biasa sahaja, tanpa pantun atau gurindam. Kata guru pengiring, ibu hilang selama hampir satu jam sewaktu aktiviti 'burung hantu'. Puas mereka cari ibu, tetapi tidak ketemu. Hanya selepas satu jam, barulah ibu muncul dengan senyuman. Sebab fizikal ibu tidak ada apa-apa kecederaan, mereka melupakan perkara itu. Arwah tok yang mula-mula nampak perubahan tingkah laku ibu. Perubahan yang tidak berapa ketara kecuali bila ibu mula berpantun ketika berbicara. Malah, sesekali bergurindam secara spontan tanpa mempedulikan persekitaran."

"Keteguran."

"Tidak."

Kif mendongak sebelum kembali menunduk. Dia hanya menggumamkan perkataan 'keteguran' itu. Tetapi, tidak disangka yang telinga Kirana dapat menangkapnya.

"Arwah tok kata, bukan keteguran. Arwah tok sudah telek. Sudah melihat di dalam firasat. Arwah tok kata ... ia mungkin perihal perjanjian moyang suatu waktu dahulu. Arwah tok kata lagi, ia berkait dengan bunian."

Kif mengerutkan dahi sebelum menggeleng.

"Awak rasa perkara ini merepek?" Kirana memandang sisi wajah Kif yang tadinya menggeleng sebelum menunduk.

Kif angkat wajahnya. Serba salah bila Kirana melihat reaksinya.

"Ayah awak ... tahu?" Teragak-agak dia menyoal. Wanita dengan penyakit misteri, dengan sikap sukar dimengerti, apa penerimaan seorang lelaki? Bukan semua lelaki mampu menerima 'masalah' lebih-lebih lagi seseorang yang bakal menjadi bukan hanya suri hati, tetapi suri rumah.

"Ya! Ayah tahu." Kirana tertawa kecil dan hampir bertepuk tangan. Bangga dengan kenyataan.

"Dia ... terima?"

Kirana mengangguk laju. Wajahnya masih dengan senyuman dan pipinya sudah mulai merah kerana gembira. Bangga bila ayahnya seorang yang memilih dan menyayangi ibunya tanpa ragu. Tanpa jemu. Malah, tanpa berprasangka akan keadaan yang orang lain mungkin sukar untuk terima. Tanpa cinta tulus si ayah pada ibu, tidak mungkin lahir Kirana dan Cendana ke dunia.

Kif merenung wajah Kirana. Memikirkan sesuatu. Tiada senyum, tiada riak apa. Ada perkara yang bermain di mindanya, yang ingin dilontarkan. Tetapi, semua itu terhalang bila memikirkan yang dia dan Kirana itu tidak ada apa-apa hubungan untuk dia berkongsi pemikiran dan pandangan. Bukan kawan baik. Bukan juga kenalan rapat yang ada kaitan dengan pelajaran mahupun pekerjaan. Pemikiran dan pendapatnya hanya akan dizahirkan melalui contengan pada buku lukisan bersaiz A5. Bukan pada manusia, hatta ibu dan adiknya. Tetapi, mata bulat Kirana yang merenungnya, kelihatan bercahaya dan seolah-olah mengharapkan dia menzahirkan kata. Apa sahaja kata! Dia terjerat dengan pandangan bercahaya penuh teruja itu.

Contengan HatiWhere stories live. Discover now