Bab 23

156 17 6
                                    

"AWAK tahu tentang abang saya? Pernah nampak dia? Awak follow IG dia?" Bertalu soalan Haikal malam itu.

Belum sempat Kirana menjawab walau satu soalan pun, Anne tiba-tiba lalu di belakangnya, lalu bersuara, "Hai, Haikal!"

"Siapa tu, Ki?"

"Kawan sebilik saya, Anne."

"Dia kenal saya?"

"Siapa saja yang tak kenal awak, Haikal. Lebih-lebih lagi bila mereka tahu abang awak seorang instafamous."

"Awak tak jawab soalan saya lagi, Kirana."

"Saya tak kenal abang awak sebelum dia muncul di kafe tempoh hari. Saya tak follow IG selebriti, Haikal."

"Apa pendapat awak tentang abang saya, Ki?"

"Tak ada apa-apa pendapat. Dia seperti selebriti lain. Seorang manusia yang hidupnya menjadi tumpuan lensa. Yang dia perlu menjaga penampilan, senyuman dan kata-kata ..."

"Awak tak rasa dia kacak?"

"Ya. Dia kacak."

"Ki ... please, jujur dengan saya. Tak perlu segan. Kalau awak rasa dia kacak, dan awak teruja sebab awak sekarang sedang berbual dengan adik kandung dia, awak tak perlu nak kawal sikap. Bercakap macam tak ada perasaan. Tunjuk sikap sebenar awak, Ki," Haikal melepas tawa kecil.

"Ini memang sikap sebenar saya, Haikal. Macam saya kata pada awal tadi, saya tak follow IG selebriti. Itu sudah membuktikan saya tidak teruja jika bertembung dengan mereka."

Haikal diam. Agak lama sebelum dia menyambung kata, "Kirana ... saya benci jadi adik dia."

Kirana terus mendengar.

"Orang nak berkawan dengan saya, sebab dia. Saya pindah banyak sekolah dan tukar daripada satu tempat belajar ke tempat belajar yang lain sebab saya tak nak jadi bayangan dia. Tapi saya tak faham kenapa dia masih nak muncul dan cari saya. Apa masalah dia sebenarnya!"

"Sebab awak adik kandung dia. Dia muncul bukan sebagai selebriti tetapi seorang abang."

Haikal melepas tawa dengan nada sarkastik, "Tak ... dia hanya nak menunjuk. Dia hanya nak menambah sakit hati dan dengki saya pada dia. Nak tunjuk yang dia lebih berjaya berbanding saya. Nak saya bangga sebab dia abang saya. Tapi dia tak tahu yang saya rasa terhina jadi adik dia. Jadi bayang-bayang di sebalik populariti seorang abang bukan sesuatu yang boleh dianggap kebahagiaan apatah lagi untuk dibanggakan."

"Ini ke perkara yang awak nak cerita pada saya malam ini?"

"Apa pendapat awak, bila awak tahu kisah saya dan dia, Ki? Perlu ke saya berdepan dengan dia dan bagi tahu supaya jangan datang jumpa saya bila saya berpindah dan menjauh?"

"Awak hanya dua beradik, kan?"

"Ya. Macam yang bagi tahu awak awal dulu. Hanya ada saya dan dia. Dia membesar di Scotland. Tinggal dengan mak cik saya sebagai anak susuan. Mak cik saya tak ada anak. Mama bagi dia pada mak cik saya selepas mama melahirkan bayi lelaki kembar. Dia datang ke Malaysia bila mak cik saya dan suaminya meninggal dunia dalam kemalangan kapal persiaran pada dua tahun lepas. Dia sempat jumpa mama sebelum mama pergi akibat kanser hati."

"Papa awak?"

"Papa kena serangan jantung sebulan selepas mama. Hanya tinggal saya dan dia. Saya suruh dia pulang ke Scotland, tetapi dia tak nak. Saya tak suka dia ganggu hidup saya. Saya ada perancangan saya sendiri."

"Dia tak ganggu awak, Haikal. Dia hanya nak bersama-sama dengan darah daging dia. Hanya awak yang tinggal. Mungkin, dia nak gunakan masa yang ada bersama-sama awak sebab masa parents awak ada, dia tak berkesempatan buat macam tu."

"Saya rasa terganggu bila terlalu ramai peminat dia menyerbu. Saya tertolak ke tepi. Saya rasa macam saya tak perlu pun dalam hidup dia. Dan, saya rasa rendah diri bila semua orang sibukkan dia dan abaikan saya. Sedangkan, saya dan dia kembar. Wajah kami sedikit berbeza mungkin disebabkan faktor cuaca, tempat dan cara kami dibesarkan. Dia lebih ..." kata-kata Haikal tergantung begitu sahaja. Penutupnya hanya helaan nafas, pasrah.

"Awak perlu berterus terang dengan dia, Haikal. Dia mungkin tak sedar itu yang awak rasa. Dia mungkin ingat kemunculan dia membahagiakan awak."

"Ya, saya bahagia tetapi bukan bila fan dia menyerbu. Kalau dia datang sebagai selebriti, tak perlu jumpa saya."

"Pergi tidur dulu, Haikal. Awak perlukan rehat."

Haikal akur. Tetapi, sebelum talian diputuskan, sempat dia berkata, "Ki ... bila-bila nanti saya call lagi."

Kirana hanya mengangguk walaupun Haikal tidak melihat perbuatannya. Kirana mengerling ke arah pintu bilik yang tidak bertutup rapat. Anne keluar ke bilik kawannya di tingkat paling atas. Mujur juga. Jika tidak, tentu Kirana terpaksa mencari tempat lain untuk berbual dengan Haikal. Atau, paling tidak dia akan meminta Haikal menelefonnya pada jam satu pagi. Waktu itu kebiasaannya Anne sudah lena.

Anne tidak kisah dan tidak menghiraukan jika panggilan itu daripada Kif. Langsung tidak dicuri dengar apatah lagi hendak menyapa. Tetapi, berbeza bila Haikal yang menelefon. Dan, lebih nakal sikapnya selepas dia tahu Haikal ini adik kembar si instafamous, Hazreen. Memang menelinga sahaja kerjanya!

Kirana tutup fikirannya tentang Haikal. Dia hanya sebagai pendengar dan pemberi pendapat sewaktu dalam talian. Di luar, dia melupuskan segala-galanya tentang Haikal dan bicara-bicara mereka. Dia fokus dengan hal pelajarannya sahaja. Jika fikirannya hendak dilencongkan, hanya pada Enda. Kembarnya. Tetapi, sudah lama Enda tidak muncul. Kirana tertanya.

Apa guna berkain songket,

jika batik lebih selesa

Apa guna berwajah cantik,

jika tidak santun bahasa.

Tanpa sedar, dikarang apa yang melintas di fikiran. Cuba menutup kisah Haikal dengan kembarnya tetapi, tak sangka ia mengait kisah dia dan Enda tanpa sengaja. Dia dan Enda, kembar. Jiwa mereka punya telepati dan hati yang hidup bersama. Tentu Haikal dan Hazreen juga begitu. Keadaan membuatkan mereka jadi mangsa. Kisah mereka tidak lebih tidak kurang punya persamaan. Dia tahu akan kerinduan yang ditanggung Haikal pada abang sendiri. Cuma, Haikal memilih untuk lari.

Wajah yang cantik jika dihias bibir yang menjuih, ibarat bunga yang terkulai ditangkainya. Masih cantik dalam cela yang nyata.

Itu yang Enda pernah katakan pada dia. Enda selalu kata dia seorang yang cantik. Punya tubuh yang kurus, wajah yang manis. Cuma, dia tidak pernah tersenyum. Enda memaksa dia untuk senyum. Tetapi, dia tidak suka. Tidak tahu mengapa perlu senyum tak tentu hala. Sehingga Enda hilang, barulah senyum itu datang. Melekat manis di wajahnya. Seperti tersumpah oleh kehendak Enda padanya.

Kirana kini mengambil semangat Enda. Berwajah manis, ceria dan riang seperti kanak-kanak Ribena. Tidak kira cuaca muram atau durjana, Kirana berjanji yang dia akan ceria. Dan, menceriakan. Dia jadi ringan tulang demi ingin melihat dunia tersenyum keseluruhannya. Cuba membantu orang di sekelilingnya mengikut daya.

Kirana percaya, setiap keceriaan dan senyumannya, ada Enda sedang memerhati. Jika dia runsing, atau bermuram sepanjang hari, Enda tidak akan memunculkan diri. Ya, mungkin itu salah satu sebabnya sudah lama Enda tidak muncul.

Kirana dalam pada tidak mahu memikir hal Haikal, dalam diam tetap cuba mencari jalan penyelesaian. Kerunsingan yang tidak disedari oleh dirinya sendiri, telah membuatkan Enda tidak memunculkan diri. Enda menyorok seketika. Enda hanya nak bertemu Kirana yang ceria.

Bagaimana menolak lara

Jika fikiran di takuk lama

Bagaimana hendak ceria

Bila masalah membelenggu rasa

Esok Kirana hendak bertemu dengan Haikal dan abangHaikal juga! Masalah ini perlu diselesaikan segera.

1080 pp

28 Okt 2022

11.09 malam

Contengan HatiOù les histoires vivent. Découvrez maintenant