Bab 7

128 21 10
                                    

"AYAH!"

"Anak ayah ..." Satu ciuman hinggap di kepala beralas tudung. "Kenapa lama sangat nak balik?"

"Kan minggu lepas Ki balik juga ... seminggu sebelum cuti. Ayah dah lupa, eh? Fikir apa ni, sampai Ki balik bila pun tak ingat ..."

"Macam-macam, Ki ..." Suara si ayah merudum. Walaupun senyuman menguntum, tetapi keruh wajah tidak mampu diselindung.

"Ibu?"

Ayahnya mengangguk. Meraup muka.

"Ki nak jumpa ibu."

"Pergilah. Ayah harap ibu masih kenal Ki."

Kirana rasa tidak sedap hati. Baru minggu lepas dia lihat ibu bereaksi normal seperti seorang ibu biasa. Tetapi, reaksi ayah membuatkan dia tidak yakin dengan diri sendiri. Dengan harapan-harapan yang terjahit sebelum dia pulang ke rumah.

Cepat dia berjalan ke arah bilik ibu, yang daun pintunya sedikit terbuka. Semakin dekat, semakin hatinya luka tersiat. Gurindam ibu, meluluhkan hati Kirana yang selalu ceria.

Harum cendana lenyap di mata

Di hidung lalu, tak sempat disapa

Wahai anakanda ada di mana

Sembunyi malu takutkan siapa?

Resah bonda akan nasibmu

Entahkan bernafas, entahkan kaku

Datanglah sayang, cium ibumu

Dalam bayang atau roh bisu

Dingin air di kali

Dingin lagi rasa hati

Tiada beza hidup dan mati

Nasibmu anak tak diketahui.

"Ibu ... assalammualaikum ... Ki dah sampai." Ingin dia menyapa ceria seperti biasa, tetapi tak mampu. Bukan hanya kerana gurindam ibu, tapi kerana sebuah rindu yang terpendam di dasar kalbu.

"Ki!" Ibu yang sedang mengait baju terus menerpa ke arahnya. Wajahnya dicium serata. Sebak rasa hati Kirana. Air matanya ditahan. Dia tahu perasaan ibu itu bagaimana. Dia sendiri terseksa menanggung semuanya. Tetapi, kerana ibu, ayah dan kehidupan keluarga, digagahkan berwajah ceria.

"Ibu buat apa?" Sengaja dia bertanya walau jelas akan apa yang sedang diperbuat oleh ibunya. Wajahnya penuh dengan kemanisan senyuman. Wajah ibu juga tampak segar walau baru tadi gurindamnya membunuh perasaan.

"Kaitkan baju Cendana. Nanti dia balik, nak pakai sama-sama dengan Ki. Kita kan nak pergi ke luar negara. Nak main salji ..."

Air mata hampir tumpah. Ditahan dengan susah payah. Dibiarkan bertakung di kolam hati. Jangan sampai pecah di empangan mata. Jangan sampai ibu nampak wajah Kirana yang tercalit duka.

"Bilalah kita nak pergi, ya bu! Cendana ni pun ... cepatlah balik. Ki hari-hari doa. Ibu dah doa ke belum? Ke ... asyik berkhayal yang patung beruang tu Cendana? Sampai lupa nak minta pada Tuhan tunjukkan jalan pulang pada Cendana?" Disakatnya si ibu dengan kata penuh makna. Gurau kata yang menuntun ibu kepada Dia. Allah Yang Satu. Yang memiliki magis dalam menghadirkan kemustahilan bagi manusia.

"Pukul berapa sekarang ni, Ki?"

"Pukul tiga sekarang ini ya ibu Cendana Kirana!" Kirana ketawa di hadapan wajah ibunya.

"Allahuakbar! Ibu belum solat zohor Ki! Tepi, tepi ... ayahnya pun ... kenapa tak ingatkan ibu!" Cepat ibu berjalan ke bilik air.

Air mata Kirana menitis. Cepat dikesat sebelum terlihat dek ibu. Sementara ibu di bilik air, Kirana bentangkan sejadah. Dikeluarkan telekung daripada penyangkut baju. Dia tahu, ibunya masih hamba Tuhan yang wajib bersolat. Ibu tidak gila. Hanya ... ada masa-masa tertentu, ibu tidak ingat. Itu sahaja.

Contengan HatiWhere stories live. Discover now