Bab 21

112 22 9
                                    

LAMA Kif merenung contengannya. Wajah Enda tidak berapa jelas. Tetapi, dia pasti contengannya sudah mirip dengan gadis kembar Kirana itu. Kif memutar pensil mekanikalnya sebelum kembali menconteng. Rambut Enda panjang setakat mencecah bahu. Lurus, lebat dan hitam berkilat.

Tiba-tiba, tubuh Kif menegak. Matanya terangkat daripada contengan. Dipejamkan mata. Ditarik nafas, dalam-dalam dan dihembus perlahan.

"Astaghfirullahalazim ..." Kif melepaskan pensil mekanikalnya. Dia tersandar di bangku.

Gambaran Enda bertukar menjadi wajah Kirana. Bagaimana pemikirannya boleh jatuh kepada si kembar yang lagi satu. Sekali lagi dia menghela nafas. Benar-benar terganggu.

"Aku tak boleh ..." Ditutupnya sketch book bersaiz A5 itu. Ditutup juga mata. Gambaran itu datang lagi. Dibuka semula matanya sebelum tiba-tiba dia tersenyum. Kembali membuka buku contengannya. Dia kembali melakar.

"Dia ... comel." Lukisan itu ditatap seketika. "Allah cipta setiap makhluk itu istimewa. Allah lindung dia daripada terlihat indah di mata orang lain dengan keletah yang keanak-anakan." Kif menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Rasa bersalah di awal tadi, perlahan-lahan ditolak ke tepi. Ia bukan Kirana yang sebenar. Hanya mainan ilusi. Mungkin gambaran itu sama sekali berbeza.

"Kalau mak tahu ..." Kif menarik senyum tipis sebelum dia melelapkan mata dengan buku contengan terlekap di dada.
.
.
.

"SAYA ada kelas tadi. Kenapa awak, call? Enda datang pada awak lagi?" Buru-buru Kirana membalas panggilan Kif sebaik kelas tamat. Hilang fokusnya seketika bila melihat nama Kif naik di permukaan telefon. Jarang Kif menelefon jika tidak ada perkara penting. Atau, jika tidak ada kaitan dengan Anne. Dan, semenjak Kif dan Anne tidak lagi satu kumpulan, memang Kif tidak menelefonnya.

Bila Kif 'jumpa' Enda, urusan baru di antara mereka pun bermula.

"Ya."

Jawapan sepatah Kif menghentikan langkah Kirana. Telefon melekap kemas di telinga yang tersarung tudung, "Ya?" Kirana terkejut.

"Tak."

"Tak?" Kakinya kembali melangkah. "Kif, ya atau tidak Enda muncul lagi?"

"Tak. Enda tak muncul lagi."

Kirana menghela nafas. Langkahnya diteruskan. Panggilan telefon yang sepatutnya berlaku pada malam perkhemahan selesai, tertunda. Kirana terpaksa melayan Haikal yang punya masalah untuk didengar. Petang ini mereka berjanji temu di kafe untuk bercerita hal Enda. Tetapi, pagi-pagi lagi Kirana menerima panggilan daripada Kif.

"Jadi, apa yang 'ya'?"

"Ia tentang Enda. Tapi, bukan sebab dia muncul lagi."

"Oh, okey. Kita letak dulu. Jumpa sekejap lagi. Saya dah nak sampai."

Talian diputuskan. Dia menolak pintu kafe dan senyuman Seroja menyapanya. Dengan ceria dia membalas dengan senyuman dan lambaian. Perhatian manusia lain yang sedang makan dan minum di dalam kafe itu langsung tidak dihiraukan.

Di meja yang terletak di sudut kanan, Kif sudah menanti. Telinganya ditutupi headphone. Kirana melihat Kif sedang menunduk. Seperti biasa, lelaki itu tidak lekang dengan buku lukisan dan pensil mekanikalnya.

"Kif," Kirana menyapa, lalu duduk di hadapan Kif.

Kif mengangguk. Menanggalkan headphone, sebelum menolak buku lukisannya ke arah Kirana.

"Betul, dia?"

Lama Kirana merenung contengan daripada buku Kif sebelum dia mengangkat wajah, lalu mengangguk.

"Dia memang tak pakai tudung?"

Kirana menggeleng, "Hanya bila dia hilang dan muncul sebagai bayangan."

"Awak boleh simpan contengan ini. Salah kalau saya menyimpannya."

"Sebab ini awak nak jumpa saya?"

Kif mengangguk.

"Dan ... maaf," Kif mengunjukkan sehelai lagi contengan yang sudah dikoyakkan daripada buku lukisannya.

Ragu-ragu Kirana mencapai kertas tersebut. Perkataan 'maaf' Kif, membuatkan hatinya rasa tidak enak. Cerianya semerta menyorok walaupun riak wajah ragu itu dikawal sebaik-baiknya. Dia merenung lama pada contengan Kif yang satu lagi ini sehingga Kif menegurnya.

"Ki ..."

Dia mendongak. Tersenyum, sayu. Lalu menggeleng, "Bukan saya."

Terhela nafas Kif. Dia mengangguk.

"Awak tak beli apa-apa?" soal Kirana. Contengan yang Kif anggap dirinya itu, dilipat, lalu dimasukkan ke dalam begnya. Mata Kif yang memerhati setiap perbuatannya, diabaikan.

"Awak?"

"Oh, saya ..."

Kata-katanya terhenti bila Seroja melaungkan namanya. Terus dia bangun. "Awak nak apa-apa? Saya minta Kak Seroja siapkan."

"Croissant dan ice lemon tea."

Kirana mengangguk, lalu beredar.

Kif kembali membuka lembaran baru sketch booknya. Dia terus menconteng. Hatinya tenang. Mudah dengan Kirana. Tidak ada sentap. Tidak ada kekok walaupun hal kejujurannya itu melibatkan sesuatu yang sensitif bagi seorang wanita Muslim. Mudah Kirana memecahkan bayangan diri sendiri daripada gambaran mata seorang lelaki. Entah benar, entah tidak bila Kirana menolak contengan itu dirinya. Kif senang. Gadis itu keanak-anakan luarannya, tetapi cukup bijaksana dalam memelihara hati orang di sekelilingnya.

"Boleh kita cerita tentang Enda?" Kirana terus meminta sebaik croissant dan ice lemon tea Kif dihulurkan. Dia duduk sambil menyuap cheese cake blueberry.

"Dia muncul seperti yang saya lakarkan." Kif membuka pembalut croissant, lalu menggigitnya tanpa silu. "Dia hanya menyeru nama saya, sebelum saya jatuh. Dia tak cakap apa-apa walaupun sepatah memberitahu yang dia Enda. Saya sendiri tak pasti bagaimana saya tahu yang dia Enda." Kif terus makan sehingga habis sebuku croissant.

"Bukan semua orang boleh nampak Enda. Ayah pun tak pernah jumpa Enda versi remaja. Enda hilang sewaktu kanak-kanak. Kenapa agaknya dia benarkan awak lihat dia?" Kirana seolah-olah sedang bertanya pada dirinya sendiri, bukan kepada Kif.

"Keluarga awak tak cari dia lagi?" Kif mengogok ice lemon tea daripada botol.

"Polis kata, kalau ada maklumat, mereka akan beritahu. Tak ada apa yang kami boleh buat. Nak cari pun, tak tahu di mana. Ramai yang kata, Enda mungkin disorok bunian."

"Awak percaya?"

"Itu lebih baik untuk dipercayai daripada mengesyaki yang dia telah ..." Kirana terus menyuap sesudu kek ke mulutnya. Dikunyah seperti dia tidak bercakap apa.

Kif mengangguk. Mengerti. Bukan mudah berhadapan dengan kehilangan yang puncanya entah di mana. Yang tidak tahu hidup matinya. Dia terus merenung Kirana. Wajah gadis itu bersahaja. Dalamannya ... entah bagaimana.

Ingin sekali dia melihat reaksi jujur Kirana terhadap lukisan 'Kirana' itu sendiri. Tetapi, bila ia dimatikan begitu, dengan maksud, 'Cukup.' Gadis itu tidak suka. Kif menarik senyum.

"Lama awak berbual dengan Haikal?"

Pada waktu itu, Kirana baru menghabiskan keknya. Tisu yang disediakan oleh Seroja di bawah piring kek itu dicapai dan dilap pinggir bibir yang comot. Sambil itu, dia mengangguk.

"Berapa lama?"

"Satu jam."

Kif terdiam.

900 pp

5 Oct 2022

9.20 malam

Contengan HatiTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon