Bab 18

97 22 8
                                    

"KIF boleh nampak Enda?" Kirana merenung muka Kif dengan rasa terkejut. Tanpa sedar, dia telah merenungnya dengan begitu lama.

Kif hilang suara bila mata Kirana seakan merayapi seluruh wajahnya. Dia jadi tidak senang dengan renungan sedemikian. Lebih-lebih lagi bila melihat wajah segar Kirana yang muncul setiap kali gadis itu dalam keadaan teruja. Pipi gadis itu merah seperti peach yang baru masak. Mata Kirana bercahaya. Bibirnya terbentuk elok, bulat. Tetapi, tidak menganga besar. Hanya bulat kecil. Terkejut dengan keterujaan. Wajah yang benar-benar menginginkan jawapan.

Dan, wajah itu tiba-tiba begitu mengganggu kesakitan.

Sakit pada buku lali Kif tiba-tiba ghaib ditelan wajah Kirana. Sakit di kaki, tiba-tiba naik ke jantung. Degupan kencang yang tiba-tiba muncul, tidak berpenghujung buat dia rasa sukar bernafas. Tidak mahu terlihat dia dalam keadaan sesak akibat jantung yang laju bergerak, Kif cuba mengawal pernafasan. Tetapi, semakin dikawal, semakin rasa itu menujah kuat, dari dalam.

Pandangan Kirana tidak lucut padanya. Kini, tanpa menjawab soalan Kirana, dia tanpa mampu menganjakkan mata, turut merenung gadis itu yang masih menantikan jawapan. Kif ingin bersuara, tetapi tekaknya seakan tiada di sana. Kotak suaranya juga tidak mahu bekerjasama.

Di mata Kif, Kirana dan Enda, kembar yang tidak seiras hanya dari beberapa segi, terutamanya bentuk tubuh. Tetapi, masih memiliki persamaan bentuk hidung, mata, kening dan bibir. Malah, kedua-duanya memiliki kulit putih dan mulus. Enda bertubuh sedikit gempal mengikut apa yang terpandang. Kirana, kecil molek dan lebih menarik.

Dia tidak pernah merenung atau memandang gadis itu dengan sebenar-benar pandangan. Tetapi, bila dia dalam keadaan tersihir dengan renungan, walau hanya memandang muka, segalanya tentang gadis itu tersusun dalam kepala. Ingin dia menggeleng, membuang setiap maklumat tentang fizikal Kirana yang tiba-tiba dia 'master' tentangnya. Tetapi, tidak berjaya.

Mungkin kerana dia seorang pelukis dengan imaginasi luar jangka. Mungkin kerana fikirannya kini terfokus pada Kirana sebagai subjek yang matanya ditakluk oleh kuasa ghaib.

Kif tidak tahu bagaimana dia boleh mengecam Enda. Entiti yang muncul berhampiran pokok besar itu hanya memanggil nama Kif, tanpa memberitahu dirinya siapa. Tetapi, Kif tanpa sedar menyebut nama kembar Kirana sebelum dia tergelincir, lalu terjun ke dalam lagun kecil. Kakinya tersepit di celahan batu dan dia tidak mampu bergerak sehinggalah Kirana yang entah dari mana, tiba lalu menemui dirinya.

Dan kini, mereka bisu bertatapan di celahan batu besar dengan pakaian masing-masing sebahagiannya sudah basah.

"Kif, nampak Enda?" Kirana menyambung tanya.

Taklukan itu terlerai dengan mudah. Terus dia mengelipkan mata dan mengalih pandangan ke kakinya.

"Oh, oh, saya terlupa kaki awak tercedera." Kirana juga tersedar.

"Apa yang kalian berdua buat tu?" Suara Encik Hendra, pensyarah jabatan muzik, membuatkan mereka berdua berpaling.

Kif menghela nafas. Lega bila bantuan tiba. Dia mulai merasai denyut pada kakinya. Sedikit pedih mulai merajai dan memberitahu Kif bahawa deria pada kulitnya masih berfungsi. Tidak mati.

Adli, Pian dan Rehan juga, ada.

"Kaki Kif tercedera, Encik Hendra." Kirana bersuara. Sejak tadi, dia sebenarnya cuba membantu Kif, tetapi tidak tahu bagaimana. Hendak disentuh anak teruna orang, dia masih kenal hukum hakam. Masih belum darurat. Dia pasti, Kif juga tidak ingin dia berbuat begitu.

Dia menemui Kif yang cedera dengan separuh tubuh tenggelam di dalam lagun, terselit di celah batu besar sewaktu dia dalam perjalanan pulang dari padang kecil tempat dia memuja puisinya. Dia mencari rama-rama tempoh hari, kerana masih tidak puas berpuisi dengan makhluk indah tidak terperi ciptaan Ilahi. Yang keasyikannya pada waktu itu telah termusnah dengan kehadiran Haikal.

Contengan HatiWhere stories live. Discover now