Ci:bu 45

4.8K 59 3
                                    

Tit!

Aku gagahi untuk membuka kelopak, sinaran lampu memancar tepat ke arah mataku- silau cahaya yang cukup memedihkan. Aku sedar bahawa aku terlantar di suatu tempat yang asing. Beberapa manusia yang menutup wajahnya dengar surgical mask mengelilingi aku yang sedang berbaring.

Kepalaku bingung- telingaku berdengung. Kerongkongku perit.

Aku rasa bagaikan tidak berjasad. Seluruh tubuhku seakan pegun. Hanya mataku yang bergerak-gerak namun sedikit lemah.

Aku memandang seorang manusia berpakaian putih yang menyentuh kepalaku. Seorang lagi sedang memegang 'dulang besi'. Terasa kulit kepalaku bagaikan disiat-siat. Aku menggogoi kesakitan.

Ingin sahaja aku bertempik! Namun aku tiada daya dan upaya! Hanya dengusan nafas yang beralun keluar masuk dari rongga hidung.

Tit!!!

Ku rasakan dunia menjadi kelam dan suram. Tubuhku bagaikan melayang di bawa angin menerawang melepasi medan magnet. Setelah lama terapung, tubuhku bagaikan terhempas ke lantai. Keperitan menjalar ke seluruh urat nadi. Aku mengogoi tanpa suara.

Aku bagaikan tersedar dari tidur yang panjang. Menghela nafas untuk menguatkan kudrat supaya dapat bangkit berdiri. Aku masih terpinga-pinga seperti lelaki yang dungu. Pandanganku menerawang di segenap ruang yang tandus.

Satu gumpalan kabus terbang mengelilingi tubuhku bagaikan mempersembahkan sebuah tarian yang sukar dimengertikan. Seketika, gumpalan kabus berkumpul dan diam sejenak dan beransur-ansur berkecai. Disebalik kabus yang berkecai, muncul satu susuk wanita berpakaian serba putih mengatur langkah untuk mendekati aku yang masih lagi diam termangu.

Wanita yang begitu asing itu merenung tapak ke arahku. Riak wajahnya itu tidak kelihatan kerana diserkup dengan selendang putih yang menutui separa wajahnya. Hanya jelingan matanya yang tampak begitu suram melirik ke mataku. Aku cuba menyapanya namun lidahku kelu. Ingin aku bersuara untuk bertanya siapakah dirinya? Aku terpegun dengan kejelitaan wajahnya persis bidadari. Mungkinkah dia adalah bidadari yang turun dari langit? Adakah aku layak didampingi oleh sang bidadari? Meskipun aku terperuk resah, aku tetap dambakan seorang bidadari untuk mengubat rawan. Dia hanya melirikkan matanya sambil berlalu di hadapan. Perlahan-lahan wanita itu menyusun langkah dan terus ghaib dengan tiba-tiba.

"Hariz... bangunlah Hariz...!!" Satu suara halus kedengaran mendayu-dayu bersulam esak-tangis.

Tit!!

Aku cuba membuka kelopak mata. Aku mencuba walaupun terasa bagaikan ada sebutir batu yang memberatkan kelopak mata. Pandangan aku masih berpinar. Kepalaku berdegung - terasa berat umpama menangung sebiji batu. Tubuhku kaku. Adakah aku masih lagi bernyawa?

Dalam kekaburan penglihatan, aku mengamati dua wajah bidadari yang belum pernah aku temui. Dua orang makhluk Tuhan berdiri dengan berpakaian serba putih,

Seorang bertudung putih dan seorang lagi menutup wajahnya dengan topeng putih. Mataku lebih tertumpu pada seorang gadis yang wajahnya tersembunyi di sebalik penutup mulut. Hanya matanya yang mengerdip apabila renungan mataku berlaga dengannya. Kalau benar dia ini bidadari alangkah indahnya. Ingin aku menyapa, kerongkong bagaikan tersekat.

Dengan kudrat yang bersisa..aku menggerakkan kepala untuk menoleh ke sebelah kanan.

Alamak! Takkan bidadari ada jambang dan berserban.. Siapa makhluk yang berbadan besar ni. Mungkin dia adalah malaikat yang bakal menghisab aku.. Menghitung segala dosa-dosa yang telah aku lakukan.

Oh! Ampunkan aku Tuhan. Aku bagaikan kesurupan.

"Encik dah sedar..." tutur seorang wanita bertudung putih berada di sebelah kananku. Wajahnya cukup asing, namun aku kenal akan tugasnya. Dia kelihatan tertib memasukkan segulung fabric lalu membaluti antara lengan ke siku .. gelungan fabric berubah ketat dan kemudian kembali longgar.. mata perempuan itu tertancap pada satu alat yang dikenal tensimeter/sfigmomanometer.

Cinta ButaWhere stories live. Discover now