3

1.8K 254 49
                                    

"You have arrived at your destination."

Aku menarik brek tangan. Telefon aku ambil dari pemegangnya kemudian aku masukkan ke dalam beg. Keluar sahaja dari kereta, Haikal terus menggenggam tangan aku.

Si penjual sedang menyusun buah nanas masuk ke dalam bakul. Mulutnya terkumat kamit. Semakin aku hampir, semakin jelas kedengaran dia sedang berzikir. Subhanallah, sungguhlah Islam itu tidak diwakili oleh jubah atau serban. Yang membezakan manusia di sisi Allah cuma taqwa.

"Assalamualaikum," aku memberi salam perlahan tetapi mungkin dia tak dengar. Dia masih ralit menyusun nanas.

"ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH!" Laung Haikal.

"Astaghfirullahalazim, Haikal kenapa bagi salam macam tu?" Aku pula yang termalu sendiri.

"Waalaikumsalam pak sheikh, maaf tak perasan. Nak beli nanas ke?" Matanya memandang Haikal sedangkan aku yang hendak membeli.

"Bagi nanas Yankee 5 biji yang besar." Aku terus meminta apa yang aku mahu.

"Puan nak saya buang sekali kulitnya ke?" Dia terus memilih lima biji nanas Yankee tanpa memandang aku langsung.

"Ada cas ekstra ke?" Kena tanya dulu kalau tak, sia-sialah aku pergi beli nanas murah tapi harga cas jadi sama dengan harga nanas beli dekat Wak Tukiran.

"Tak ada puan, saya buat free. Kalau nanas rosak, boleh ganti terus. Kalau tak buang kulit kalau rosak nak ganti kena datang sini balik, puan." Dia selesai memilih. Memang semuanya besar-besar.

"Bolehlah kalau macam tu."

"Saya timbang sekali dengan kulit ya puan?"

Aku anggukkan sahaja. Memanglah orang timbang sekali dengan kulit. Tetapi aku lihat cara dia berbeza. Sebelum ditimbang, dia potong dahulu bahagian tangkai kecil di bawah nanas dan semaksimum mungkin dia buang mahkota nanas itu barulah dia timbang.

"Kenapa tak timbang terus?" Aku ingin tahu.

"Rugilah puan nanti, bayar lebih tapi banyak beratnya dibuang." Jawabnya sambil menekan kalkulator.

"Encik tak rugi ke kalau macam tu?"

"Saya jual buah nanas puan, bukan daun nanas. InsyaAllah tak rugi. Allah bagi rezeki lebih melalui kulit nanas ni. Jumlahnya RM23.50 kira RM 23 je puan. Boleh ke?" Dia mendapatkan persetujuan harga dahulu.

"Okay, boleh." Memang boleh sangat. Kebiasaannya aku beli sebiji RM6.

Dalam lima yang dipilih, ada sebiji yang busuk sedikit. Dia terus memilih nanas lain.

"Eh sikit je tu, tak apalah." Aku aneh dengan perlakuannya. Ada juga peniaga cari rugi.

"Tak boleh, puan. Adik saya makan pakai duit ni puan. Saya takut tak bersih hasil niaga saya." Dia memilih buah yang aku yakin lebih berat berbanding buah yang busuk sedikit itu.

Adik? Daripada rupa parasnya, dia kelihatan seperti lelaki lewat 30-an. Lebih logik jika dia sebut anak isteri atau keluarganya tetapi dia hanya sebut adiknya sahaja. Mungkin dia menjaga adik yang kurang upaya. Mungkin dia belum berkahwin.

Lantaklah, tiada kepentingannya mengetahui status perhubungan orang lain. Apatah lagi aku dengan dia sekadar berjual beli.

Aku hulurkan cukup-cukup RM23 kepadanya.

"Saya jual nanas ni dengan harga RM23 ya puan." Dia melafaz akad jual beli yang jarang aku dengar.

"Saya beli."

Haikal sudah siap menghulur tangan tetapi tangannya pendek karang ada pula nanas yang jatuh.

Si penjual itu keluar dari belakang meja kemudian melutut separas ketinggian Haikal.

Langit SenjaWhere stories live. Discover now