10

1.8K 293 13
                                    

Aku sudah mula mengemas rumah yang mengandungi berjuta mimpi ngeri. Aku sudah beritahu Kak Ita bahawa aku mahu pulang ke kampung halaman selamanya. Kak Ita reda dengan pilihan aku. Dia juga tahu itu satu keputusan terbaik untuk aku lakukan sekarang.

Dalam perancangan aku, aku hendak pulang dahulu ke rumah dengan membawa beg pakaian dan terangkan keadaan aku kemudian barulah aku akan meminjam kereta yang ada di rumah untuk memindahkan barang-barang yang aku guna untuk berniaga.

Kak Ita tidak mendesak aku untuk keluar dengan kadar segera. Siap dia beri jaminan lagi dia akan kosongkan rumah itu selama dua bulan selepas aku pindah keluar kerana seandainya ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku, aku boleh berteduh kembali di rumah ini.

Tetapi aku sudah tidak sudi. Terlalu ngeri untuk aku kembali ke sini.

Sepuluh hari sudah berlalu sejak aku menjadi janda. Sijil cerai juga sudah berada di tangan aku. Siapa yang menduga sedang orang lain pada hujung kehamilan menanti untuk memegang sijil lahir anak, aku pula memegang sijil cerai. Tetapi elok juga. Tempoh iddah aku lebih pendek disebabkan kandungan ini. Iddah aku hanya sehingga aku melahirkan anak dalam kandunganku ini. Kurang sebulan daripada tarikh penceraian.

Haikal bersekolah hari ini setelah sekian lama dia aku cutikan. Dia juga pasti rindukan kawan-kawan dan suasana belajar. Haikal perlukan kawan seusianya. Aku tak mahu tumbesaran mental Haikal terbantut disebabkan penceraian ini.

Sedang aku mengemas, tiba-tiba perut aku terasa sakit. Sakit kontraksi berkala. Aku tahu aku akan berjumpa dengan anak dalam kandungan aku dalam tempoh terdekat. Aku cuba mengawal pernafasan dan biarkan kontraksi itu berlalu pergi.

Aku yang berada di dapur terus menuju ke ruang tamu tempat aku mengecas telefon. Kunci pintu aku buka terlebih dahulu sebelum duduk di sofa. Niatnya ingin menelefon Salwa namun tiba-tiba air ketubanku pecah bersama kontraksi yang maha dahsyat. Aku sendiri tidak pasti sama ada sempat atau tidak aku ke hospital. Mindaku menjadi kelabu dan kabur. Sakitnya tidak tertanggung ibarat pinggangku diregang dan dipulas sehingga hampir putus. Tangan aku menggigil sehingga terlepas telefon yang aku pegang.

Allah...

Andai nyawaku dicabut sekarang, jagalah anak-anakku.

Ketika hendak melahirkan Haikal dulu, sangat berbeza daripada yang aku lalui sekarang. Kontraksi berkala yang aku rasa lebih lama. Aku juga sempat bertenang dahulu sebelum ke hospital. Enam jam kemudian barulah Haikal lahir. Tetapi kali ini proses kelahiran terlalu pantas berlaku.

Aku cuba sedaya upaya mengingat cara untuk mengawal nafas. Telefon yang terjatuh aku kutip semula. Dek kerana sukar mencari nombor Salwa dalam kesakitan ini, aku terus mendail 999 supaya lebih cepat bantuan tiba.

"Kecemasan 999 boleh saya bantu?" Suara operator kedengaran.

"Saya sakit nak bersalin tapi saya sendiri di rumah. Air ketuban dah pecah. Baby dah nak keluar." Sedaya upaya aku cuba menyusun ayat dalam keadaan terasa hendak meneran.

"Lokasi rumah puan di mana ya?" Dia bertanya.

Kenapa tak boleh kesan terus panggilan dibuat dari mana? Seksa tahu tak hendak mengingat alamat dalam keadaan gawat begini namun aku akur dan cuba memberi alamat dengan jelas walaupun dahi aku sudah berpeluh teruk.

"Puan jangan matikan panggilan ya?  Sekarang puan boleh rasa kepala baby tak?" Operator itu bertanya lagi.

Aku dah tak ada tenaga untuk dibazirkan. Menjawab soalan operator ini sahaja sudah membuat aku kepenatan.

"Puan ambulan akan tiba dalam masa 15 minit. Kalau puan mampu buka pintu, puan buka dulu pintu ya?"

Nasib baik aku memang dah buka pintu. Kalau nak suruh aku bangun sekarang dalam keadaan begini, tidak mungkin aku mampu.

Langit SenjaWhere stories live. Discover now