5

1.6K 231 38
                                    

Selepas subuh aku hendak ke dapur tetapi dihalang oleh Ikram.

"Sayang tak payah susah-susah. Biar abang beli sarapan dekat luar." Dia bersiap dengan pantas.

"Abang..." aku ragu. Aku bimbang dia tidak akan pulang.

"Kenapa sayang? Sayang takut abang tipu sayang ke? Macam ni lah, kita pergi sama-sama ya? Kita breakfast dekat luar hari ni. Sayang bersiap dulu abang nak kejutkan si Haikal tu." Dia kucup dahi aku sebelum keluar.

Berbunga rasa hati bila dilayan selayaknya permaisuri.

Aku memilih blaus hamil yang sepadan dengan baju Ikram. Satu malam sahaja. Mungkin asbab dia merasa masuk lokap dia sudah berubah.

Setelah bertahun, ini kali pertama kami akan keluar bersama.

"Sayang nak makan apa ni?" Dia kelihatan teruja hendak membawa kami keluar.

"Kalau dapat makan roti canai sedap juga bang." Aku terbayang roti yang lembut di dalam tetapi garing di luar.

Ikram terus memandu ke kedai roti canai yang agak jauh daripada rumah kami. Mungkin dia mahu meluangkan masa lebih lama bersama kami.

Tiga roti canai kosong dipadankan dengan Milo ais untuk Haikal, ais kosong untuk aku dan teh o ais limau untuk Ikram.

Aku rasa inilah sarapan paling sedap di dunia. Melihat Ikram membantu Haikal mengecilkan roti canai supaya mudah untuk anak sulung kami itu makan meyakinkan aku bahawa anak-anak aku memang perlukan ayah dalam hidup mereka.

Selesai makan, aku ingin mengeluarkan duit untuk membayar tetapi ditolak oleh Ikram. Sarapan pada pagi ini, dia yang belanja.

Keluar sahaja dari kedai makan, Ikram memaut tangan aku. Mulutnya terkumat kamit perlahan. Bunyi seperti mentera siam pun ada kemudian dia menghembus perlahan ke telinga kananku.

"Sayang, abang nak mula berniaga. Sayang transfer la duit ke akaun abang. Boleh ya? Masukkan semua simpanan sayang. Abang janji akan abang bayar balik dengan keuntungannya nanti." Suaranya lembut sahaja masuk ke kepala aku.

Tangan aku ditarik masuk ke bank. Kad ATM aku diambilkan lalu dia sua kertas yang tertulis nombor akaunnya. Cepat sahaja aku melakukan transaksi. Resitnya aku simpan dalam beg tangan aku tetapi aku tidak sedar yang aku hulur kat ATM aku kepada Ikram.

Entah kenapa, aku terasa mengantuk sangat.

"Terima kasih, sayang." Manis betul senyuman Ikram.

Tangan aku dipimpin ke kereta. Baru sahaja duduk, aku sudah terlelap. Tahu-tahu sahaja, kami sudah sampai di kawasan rumah.

"Sayang, dah sampai ni. Jom naik." Ikram terus membukakan pintu untuk aku.

Jemari kami bersatu. Haikal di sebelah kiri dan suami aku di sebelah kanan. Cukup sempurna sama seperti yang aku bayangkan selama ini.

"Sayang nak buat apa hari ni?" Tak pernah dia bertanya rutinku.

"Sayang nak siapkan tart nanas lagi empat bekas. Nanti petang customer nak datang ambil." Balasku sambil menanggalkan tudung bawal bidang 45 yang aku pakai dengan gaya pin kiri kanan sekadar cukup syarat tutup dada.

Beg tangan aku letak di atas meja.

"Kalau macam tu, Haikal ikut ayah la ya? Kita jangan kacau ibu nak buat kerja." Ikram hendak memegang Haikal tetapi anak itu pantas beesembunyi di belakangku.

"Haikal, kenapa buat ayah macam tu? Tak baiklah sayang." Aduh, nampaknya Haikal masih trauma. Dia tidak faham yang Ikram sudah berubah.

"Dia takut lagi dengan abang tu. Tak apalah, perlahan-lahan nanti dia dapatlah terima abang balik. Abang nak keluar sekejap jumpa sifu abang. Kami nak bincang tentang perniagaan baru tu sebab kan sayang dah tak bagi abang merawat. Tengah hari ni abang tak balik tapi abang janji sebelum maghrib abang balik. Sayang tak payah masak malam ni. Abang nak bawa kita makan dekat luar tau." Lancar lisan Ikram berbicara. Mudah betul ia masuk ke hati aku.

Langit SenjaWhere stories live. Discover now