9

1.6K 288 23
                                    

Alhamdulillah, sungguh urusan aku dipermudahkan. Dalam tempoh 3 hari sahaja surat saman mahkamah sudah siap. Tugas aku sekarang hanyalah menyerahkan surat ini kepada Ikram. Tarikh yang dinyatakan adalah lima hari dari sekarang.

Masalahnya sekarang, untuk menghantar surat ini, aku perlu berhadapan dengan keluarga mentuaku.

"Sara, kau duduk rumah ni diam-diam dengan Haikal. Biar aku dengan laki aku yang hantar surat saman ni ke rumah mentua kau tu. Jaga kesihatan mental kau. Bukan aku tak tahu mak mentua kau tu otak dia boleh tahan ting tong. Dibuatnya dia balun kau dengan batang penyapu tak ke naya?" Salwa mengambil surat di atas meja.

Suami Salwa ini anggota polis. Boleh tahan garang jugalah mukanya.

"Tapi..."

"Tak ada tapi-tapi. Kau dengar cakap aku. Haikal, jaga ibu. Cik Wawa dah masak. Kalau lapar bawah tudung saji tu ada lauk." Salwa bertegas.

"Salwa, macam mana aku nak balas budi kau?" Aku memandang matanya.

"Kau jangan nak merepek balas budi bagai. Kita ni berjiran dah bertahun. Aku susah kau tolong, kau susah aku tolong. Kau hantar location rumah mentua kau tu. Rumah diapun tak jauh mana kan dari sini?"

"Tak jauh, 20 minit lebih kurang." Aku terus menghantar lokasi rumah mentuaku.

Salwa meninggalkan rumah aku dengan membawa surat yang aku sendiri sepatutnya sampaikan kepada Ikram.

Telefon yang aku pegang kurenung lama. Patutkah aku hubungi keluarga aku sekarang? Aku tahu mereka berhak tahu tentang penceraian ini lagipun aku akan melahirkan tak lama lagi.

Aku tekan nombor emak. Terasa begitu lama deringan telefon. Panggilan itu tidak berjawab. Aku biarkan sahaja tanpa membuat panggilan kedua. Mungkin itu tanda belum masanya mereka mengetahui tentang perpisahan ini.

Lima hari lagi. Bermakna 12 hari sebelum tarikh aku dijangka bersalin. Semoga adik baby boleh bertahan lama sedikit. Jangan keluar awal ya sayang? Ibu perlu selesaikan urusan ini dahulu supaya adik baby dapat melihat dunia dengan aman InsyaAllah.

Laporan polis tentang kehilangan emas, geran kereta dan duit simpanan aku sudah aku buat. Kad bank telah aku tukar dengan kad yang baru. Urusan di mahkamah syariah sedang berjalan. Banyak perkara yang perlu aku uruskan.

Aku memandang tiap inci rumah ini. Langsung tiada detik manis yang boleh aku ingati. Semuanya sudah disimbah memori hitam yang kelam.  Terlalu berat untuk aku terus tinggal di sini.

Mak, Sara nak balik...

~

Lima hari yang panjang sudah tiba akhirnya. Bagaikan tahu hari ini hari yang penting, Haikal bangun pagi dan menguruskan dirinya sendiri. Sudah menjadi hobi dia pula menyarungkan stoking aku.

Niqab aku ikat kemas sebelum keluar dari bilik. Kak Ita sudah menanti aku. Susah juga bila tiada kereta sendiri tapi apakan daya, Ikram sudah mengambil kereta yang aku usahakan dengan titik peluh sendiri walaupun kereta itu hanyalah kereta terpakai.

Sampai sahaja di mahkamah, aku terus menelefon Ikram. Bimbang juga jika dia menyulitkan keadaan dengan tidak hadir pada hari ini. Panggilanku tidak berjawab.

Tetapi Haikal nampak kelibat mereka. Umi, abi dan Ikram baru sahaja tiba. Aku tahu mereka perasan Haikal kerana gayanya seperti mereka hendak ke sini.

"Assalamualaikum umi." Aku menghulur tangan namun tangan aku ditepis kuat.

"Kau tak layak nak panggil aku umi, perempuan munafik. Ni, buat apa kau pakai niqab ni? Nak tunjuk dekat orang yang kau ni perempuan baik? Kau dah ambil kesempatan atas anak aku, kau toreh muka kau sendiri sebab nak perhatian dia, kau ni memang perempuan gila." Direntapnya niqab yang aku pakai sehingga tercabut.

Langit SenjaWhere stories live. Discover now