18

2K 313 59
                                    

Aku duduk di meja makan sendirian menghadap buku catatan pertama. Segala urusan jual beli dan keluar masuk duit aku letak di situ dahulu. Aku bukanlah cerdik sangat bab akaun tapi bolehlah setakat mengamalkan apa yang aku belajar waktu SPM dulu. Haikal dan Alisya sudah tidur jadi mudahlah untuk aku fokus. Bab duit ni kena teliti.

Alhamdulillah dari hanya tiga angka jualan bulanan, kini aku mampu mencapai empat angka setiap bulan walaupun angka awalannya masih 1. Tak apa, perlahan-lahan kayuh. Cukuplah untuk aku sara budak berdua tu. Benarlah setiap anak yang lahir itu ada rezekinya sendiri. Angka jualan ini sebenarnya melebihi kebiasaan yang aku dapat.

Sedang aku membuat kira-kira, mata aku terpandang nanas yang kususun kemas dalam bakul. Aku rasa Encik Ahmad ni peniaga yang tak takut rugi langsung. Selalu sahaja ada nanas lebih diberi. Aku dapat tahu dari kakak kedai runcit depan rumah aku, Encik Ahmad memang begitu. Selalu dia lebihkan sebiji dua bila berjualan. Aku tahupun sebab dia tanya aku beli ke buat jem nanas untuk tart nanas aku maka terbangkitlah nama Ahmad Nanas. Jadi Sara, kau jangan nak perasan dia baik dengan kau. Encik Ahmad tu memang baik dengan semua orang.

Aku tinggalkan sekejap kerja kira-kira. Entah kenapa muncul pula semangat malam ini untuk membuat sesuatu. Sebiji nanas yang berada dalam bakul itu aku kerjakan memandangkan esok Encik Ahmad akan datang menghantar stok nanas.

Akupun tak faham dengan Encik Ahmad ni. Macamlah aku tak boleh ambil sendiri nanas tu bila hantar Haikal. Katanya, dia memang buat servis penghantaran untuk semua pelanggan tetapnya. Kalau aku tahu, dari dulu aku beli nanas dengan dia. Tak payahlah gigih aku panjat tangga sambil bawa nanas dekat rumah flat tu.

Encik Ahmad datang menghantar nanas dari Alisya berbaring sampai sekarang sudah pandai merangkak. Haikal juga sudah masuk usia enam tahun. Dari mengenal alif ba ta sehingga sekarang sedang mengaji Al-Quran. Encik Ahmad pesan dekat aku satu hal. Pada hari yang tiada kelas Encik Ahmad minta aku ambil masa sedikit untuk ajarkan Haikal surah pendek dalam juzuk 30 atas alasan yang sama dia meminta aku mengajar Al-Fatihah kepada Haikal. Katanya dia tak mahu merebut ganjaran pahala hafazan Haikal daripada ibunya.

Betapa dia menghormati aku sebagai seorang ibu.

Pantasnya detik waktu berlari langsung tidak terasa. Aku suka benar dengan hasilnya. Segaris senyuman terlakar di bibir tanpa aku sedar. Sedikit tidak sabar hendak menunggu hari esok.

~

"Ibu, Cik Ahmad dah sampai!" Semangat Haikal memberitahu aku yang berada di dapur.

"Haikal macam biasa ya, bagi Cik Ahmad duit lepas dia dah siap angkat nanas. Lepastu hati-hati bawa kotak ni. Bagi Cik Ahmad." Aku letak sampul surat berisi wang bayaran nanas di atas kotak pencuci mulut.

Aku memang tak akan keluar kalau Encik Ahmad datang. Aku ajarkan Haikal untuk berurusan dengan Encik Ahmad.

Sekejap, mana Alisya? Tadi elok je dia merangkak depan aku. Jap, Alisya merangkak? Aku terus menyelak langsir.

ANAK BERTUAH SUNGGUH!

Alisya berada dalam dukungan Encik Ahmad. Encik Ahmad pula layankan sahaja Alisya. Sebelah tangan mendukung Alisya, sebelah lagi mengangkat nanas dalam plastik. Elok daripada cuma satu kali angkat, sekarang dia kena angkat nanas tiga pusingan pula.

"Haikal, ambil adik tu. Kesian Cik Ahmad." Aku minta Haikal bantu aku. Tak tahulah tapi Alisya suka betul dengan Encik Ahmad. Dengan orang lain dia tak mahu pula.

Teori palatao aku merasakan bahawa Alisya selesa dengan bau Encik Ahmad kerana masa lahir dulu Encik Ahmad pegang dan azankan dia sebab tu dia rasa selamat dengan Encik Ahmad. Atau mungkin kerana dia selalu berjumpa Encik Ahmad jadi Encik Ahmad tidak asing baginya.

Langit SenjaWhere stories live. Discover now