Ungreatful Child 01

79 19 0
                                    

Ramai pelajar mula berkumpul di papan notis utama sekolah untuk melihat sesuatu. Hari ini adalah hari di mana keputusan peperiksaan semester pertama keluar. Kebanyakan pelajar mengambil peluang ini untuk melihat keputusan mereka sendiri terlebih dahulu sebelum guru kelas mereka memberikan kad laporan.

Minjae juga tidak terkecuali. Dia sudah penat dihimpit oleh pelajar-pelajar lain kerana berebut untuk melihat keputusan. Sudahlah tubuhnya kecil, maka tidak dapatlah dia lihat dengan senang.

Akibat terlalu geram Minjae pun memaksa dirinya untuk keluar daripada kawasan yang sesak ini.

"Haih..." Keluhnya. Nampaknya dia terpaksa menunggu pelajar lain beredar barulah dia dapat melihat keputusannya dengan aman.

"Wah! Keputusan aku meningkat!"

"Ala! Sikit lagi nak lulus!"

"Huh? Aku ada gagal satu?"

"Ujian seterusnya aku kena tingkatkan lagi!"

Minjae lihat pelbagai reaksi mereka selepas melihat keputusan masing-masing. Ada yang gembira, ada yang sedikit kecewa dan sebagainya. Tidak sabar pula rasanya untuk dia tahu apakah keputusan yang dia akan dapat.

Baik ataupun tidak?

Sebaik sahaja mendapati ramai pelajar mula bersurai, barulah Minjae mengambil peluang ini untuk melihat keputusannya. Dia terus mencari namanya di senarai kelas 6-1.

Akhirnya dia jumpa juga!

"Ahh..." Minjae mengeluh. Ada satu subjek dia dapat markah rendah tetapi dia tiada gagal dalam mana-mana subjek. Semuanya lulus tetapi ia tidak memuaskan hatinya.

"Tak apa lain kali aku boleh buat lagi."

Minjae cuba memujuk hatinya. Tidak lama kemudian loceng pun berbunyi menandakan sesi pembelajaran akan bermula tidak lama lagi. Terus dia kembali ke kelasnya.

-------------

"Cikgu harap kamu boleh buat yang terbaik lagi untuk peperiksaan akan datang. Gagal sekali bukan bermaksud gagal selamanya."

Guru kelas 6-1, Cikgu Park memberikan kata-kata semangat kepada anak muridnya. Dia pun baru sahaja selesai mengedarkan kad laporan kepada mereka semua.

Minjae sekadar melihat sahaja kad laporannya itu dengan tatapan kosong.

Nama : Kim Minjae
Kelas : 6-1
Nilai GPA : 3.70
Maklum balas : Syabas! Tingkatkan lagi usaha anda!

Minjae termenung buat seketika. Malas rasanya dia mahu tunjukkan keputusan dia ini kepada keluarganya. Lagipun, mereka jarang ambil tahu tentangnya. Dia terfikir mahu menyimpan kad laporan ini dalam beg sahaja.

Tatkala dia sedang leka termenung, dia tiba-tiba terdengar satu bualan rakan kelasnya dari belakang. Perbualan mereka itu juga menarik perhatiannya.

"Kau tak rasa kah Cikgu Park sudah berubah?"

"Maksud kau?"

"Dulu dia mana ada baik, lembut macam ini. Dulu dia garang dan sangat pentingkan dengan keputusan cemerlang."

"Seriuslah? Kau tak buat cerita bukan?"

"Memang tak! Ini benar!"

"Okey macam mana Cikgu Park boleh berubah jadi macam sekarang?"

"Tak silap aku dulu dia ada anaknya yang sekolah di sekolah yang paling cemerlang dekat bandaraya Seoul. Tapi sejak anaknya meninggal dunia, dia terus berubah jadi baik macam ini."

"Kasihannya. Kau rasa apa punca anak dia meninggal ya?"

"Itu aku tak pasti. Tapi aku dengar yang roh anak Cikgu Park tak tenang. Dia selalu merayau di pejabat guru waktu tengah malam."

Minjae mula tertarik selepas mendengar perbualan rakan kelasnya itu tadi. Lalu matanya tertumpu pada Cikgu Park yang sedang mengajar di hadapan.

"Mari kita lihat nanti."

---------------

Hari pun sudah lewat malam tetapi Minjae masih lagi berada di dalam sekolah. Suasana pada malam ini jauh lebih dingin. Dengan kuasanya yang boleh melihat hantu secara nyata, sungguh ia memberikan aura yang sangat menyeramkan.

Minjae perhatikan kawasan di luar bilik guru. Setakat ini dia tidak nampak lagi roh yang lebih kurang sebaya dengannya. Kebanyakan yang dia lihat sekarang ialah roh-roh dewasa yang merayau di sekolah mereka.

"Aku tak sepatutnya percaya dengan cerita mereka tadi."

Akhirnya Minjae mengalah. Dia pun mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah.

Namun niatnya itu terbatal sebaik sahaja dia melihat satu kelibat roh sedang berdiri di papan notis sambil memerhatikan keputusan pelajar sekolahnya. Tubuhnya yang tinggi lampai itu serta berpakaian seragam sekolah membuatkan Minjae dapat rasakan bahawa itulah roh yang mereka maksudkan itu.

"Apa yang kau tengok?" Minjae dengan beraninya menegur menyebabkan roh itu terkejut.

"Huh? Kau boleh nampak aku?" Soalnya. Minjae mengangguk.

"Apa nama kau?" Roh itu bertanya Minjae sekali lagi membuatkan dia menjadi hairan.

"Kim Minjae."

"Oh, dah jumpa nama kau."

Roh itu terus melihat keputusan Minjae. Sesekali dia tergelak kecil.

"Nampaknya aku lebih pandai daripada kau." Minjae mula rasa tersindir. Ini kali pertama dia berjumpa dengan roh yang agak menjengkelkan.

"Ceh! Apa kau buat di sekolah aku malam-malam buta ini?"

"Sepatutnya soalan itu aku tanya pada kau. Yang kau masih di sini dah kenapa?"

"Sebab aku nak cari roh anak Cikgu Park."

Roh itu terkejut dengan jawapan Minjae tadi.

"Anak Cikgu Park?"

"Ya."

"Baguslah kau tak tersilap roh. Akulah yang kau cari itu. Nama aku Seeun."

Tekaan Minjae tadi sangat tepat. Memang dia tidak tersilap. Roh itu yang dikenali sebagai Seeun memandangnya aneh.

"Kau memang ada kebolehan nampak hantu kah?" soalnya ingin tahu.

"Lebih kurang. Sekarang aku nak tanya soalan pada kau."

"Apa dia?"

"Macam mana hubungan kau dengan ibu kau dulu sebelum kau mati?"

Seeun terkaku seperti patung selepas sahaja mendengar soalan Minjae tadi.

[C] Ghost Talker  ☾ 김민재 ☽Where stories live. Discover now