8

12.1K 481 6
                                    

Qaseh sedang bersenang lenang di atas katil sambil matanya khusyuk diarahkan pada bait-bait kata yang ditulis indah dalam novel Perempuan Lindungan Kaabah. Suka betul Qaseh dengan novel yang baru dibelinya itu. Pandai betul cik penulis menerapkan unsur-unsur Islam ke dalam novel yang dikarang.

"Tok...Tok...Tok..."

'Siapa pula ni?', rungut Qaseh. Pembacaannya terganggu sedikit. "Masuk", laung Qaseh. Dah macam gaya bos kat pejabat pula.

Terjengul tiga kepala manusia di sebalik pintu. Siapa lagi kalau bukan Puan Hanna, Izlan dan Ilham.

'Hmm...nak brainwash aku lagi la tu. Alahai...', desis hati Qaseh. Qaseh bangun dari pembaringan, membetulkan duduknya di atas katil.

Ketiga-tiga orang yang paling Qaseh sayangi menghampiri Qaseh. "Kak long...", panggil Ilham sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk.

"Nak apa?", Tanya Qaseh sambil pura-pura sibuk membelek novel padahal satu perkataan pun tak masuk dalam kepala otak dia. Hancur mood dia nak melayan novel yang baru dibeli itu.

"Amboi, garangnya anak ibu...", tegur Puan Hanna.

"Hehe, peace...", tersengih-sengih Qaseh sambil mengangkat kedua-dua jari telunjuk dan tengah. Qaseh membaringkan kepalanya di atas paha si ibu. Suka betul bermanja dengan ibunya. Puan Hanna adalah segalanya bagi Qaseh sejak mereka bertiga kehilangan suami dan ayah tersayang lima tahun yang lalu. Hanya kepada Puan Hanna tempat mereka menumpang kasih seorang ayah. Walaupun terpaksa memegang dua tanggungjawab iaitu sebagai ibu dan ayah buat ketiga-tiga anaknya namun Puan Hanna tidak pernah mengeluh. Malah, tanggungjawab itu dilakukan sebaik yang mungkin. Anak-anaknya merupakan penguat jiwanya setelah kematian suami.

Tangan si ibu asyik membelai rambut ikal Qaseh. Ilham dan Izlan pula hanya memerhatikan gelagat anak beranak itu. "Qaseh..."

"Hmm...", sahut Qaseh sambil matanya terpejam rapat. Tiba-tiba Qaseh berasa sebak. Kalau ayahnya masih ada, pasti mereka akan lebih bahagia. Namun takdir yang telah tersurat harus diterima dengan redha. Tuhan lebih menyayangi ayahnya.

"Qaseh macam mana?", tanya ibu Qaseh. Sengaja dibiarkan pertanyaan itu tergantung begitu.

"Macam mana apa bu?", balas Qaseh. Sungguh dia tidak mengerti akan pertanyaan si ibu.

"Ala kak long ni. Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pula", sampuk si Ilham.

Mendengarkan kata-kata Ilham, Qaseh terus bangun dari pembaringan. Rasanya dia boleh agak apa yang dimaksudkan oleh Ilham. Pandangannya dihalakan pada wajah Ilham dan Izlan. Direnung wajah Izlan. Adiknya yang seorang itu hanya mengangkat kedua-dua belah bahu, tanda tidak mahu mencampuri urusan si kakak. "Pasal apa ni? Cuba terus terang."

"Lamaran Encik Gula la...", sebut Ilham satu persatu.

"Ibu!", jerit Qaseh. Sudah Qaseh agak ibunya mendengar lamaran si Rizqy ketika di dapur kelmarin. Tak sangka pula Qaseh ibunya akan menceritakan tentang lamaran itu pada kedua-dua adiknya. Puan Hanna hanya tersenyum. Tiada apa yang perlu dirahsiakan dalam keluarga ini.

"Entah betul entah tidak si Rizqy tu. Main-main je kot", ujar Qaseh. Entah kenapa hatinya mahukan Rizqy menanyakan tentang lamaran itu semula pada dia.

"Ececece... Kak Long mesti harap abang Rizqy tu serius kan?", Izlan yang sejak tadi diam sudah mula bersuara.

"Tak payah nak abang-abang sangat la Lan. Rizqy tu sebaya Lan je", jujur Qaseh.

"La, yeke?". Tercengang Izlan dan Ilham. Puan Hanna pula sudah mula mengerutkan dahi. Tak sangka pula dia si Rizqy itu muda beberapa tahun dari Qaseh. Wajah dan sifat Rizqy betul-betul menunjukkan yang dia lebih matang dari usia yang sebenar.

"Yelah, kenapa? Tak percaya?", ujar Qaseh sambil tergelak-gelak. Sudah diagak keluarganya tidak tahu umur sebenar Rizqy. Mujur lah Qaseh pernah melihat kad pengenalan si Rizqy. Kalau tidak, dia sendiri pun akan tertipu dengan kematangan Rizqy.

"Apa salahnya kalau Riz muda dari Qaseh pun", kata Puan Hanna.

Giliran Qaseh pula tecengang. Sangkaannya si ibu akan menolak bermenantukan seorang yang lebih muda daripada anaknya sendiri. 'Riz? Amboi ibu ni. Dah ada panggilan manja pula untuk si Rizqy tu.'

"Ibu biar betul bu. Am nak panggil apa kat dia nanti? Adik? Euuww, abang ipar tapi panggil adik. Tak ke pelik tu!", bidas Ilham.

"Panggil apa-apa pun boleh Am. Yang nak kahwinnya kak long kamu, bukan kamu. Asalkan kak long setuju, kita pun kena la setuju."

Qaseh menunjukkan ibu jari pada Ilham ketawa mengekek. Ilham sudah mula membuat muka.

"Emm, tapi kan bu. Ibu tak rasa ke ada yang tak kena dengan Rizqy tu?", tanya Qaseh. Entah kenapa Qaseh merasakan Rizqy ada menyimpan sesuatu daripada pengetahuan mereka.

"Apa yang tak kena? Ibu rasa okey je si Riz tu", tokok Puan Hanna.

'Hmm, ibu...ibu... Kalau dah berkenan tu memang la okey je', bisik hati Qaseh. "Tak ada apa lah bu."

"Sekarang ni Qaseh suka tak dekat Rizqy tu?", desak Puan Hanna. Tak sabar-sabar dia mahukan jawapan Qaseh. Maklumlah, ada orang lain yang sedang menanti jawapan Qaseh. Puan Hanna pun dah tak sabar-sabar nak bermenantukan si Rizqy. Melihatkan Rizqy, teringat dia pada arwah sang suami. Sifat baik Rizqy persis arwah suaminya.

"Bu, Riz tu main-main je la. Bukan betul sangat pun. Takkan la baru jumpa tak sampai sepuluh kali dah nak dijadikan bini. Mengarut betul!"

"Kalau ibu kata Riz serius macam mana?", duga Puan Hanna. Ilham dan Izlan sudah tersengih-sengih.

Qaseh sudah terjerat dengan pertanyaan si ibu. Wajahnya sudah mula memerah. Pertama kali lamaran seseorang menyentuh hati perempuannya. Padahal lamaran-lamaran sebelum ini selamba saja Qaseh tolak. "Mana ibu tahu?"

Puan Hanna tersenyum. Dia yakin ruang hati anaknya itu ada untuk Rizqy. Tengok gaya malu-malu kucing si Qaseh pun dah tahu. "Riz dah sampaikan hajat hati dia tu pada ibu sebelum dia balik hari tu."

'Cis, berani betul mamat ni. Kalau ya pun, bawa la rombongan meminang. Apa barang melamar macam tu je. Cincin tak ada, apa pun tak ada.'

'Eleh, Nampak sangat kau mengharap dekat si Rizqy tu Qaseh oi', balas hati kecil Qaseh.

"Kak long, terima je la okey. Lan pun dah tak larat nak jadi bodyguard kak long", pujuk Izlan. Matanya dikenyitkan pada si kakak.

"Err, entah...", jawab Qaseh teragak-agak. Dia masih belum pasti dengan hatinya. Namun dia tidak mampu menipu hati sendiri. Bayangan Rizqy sentiasa menjengah kotak fikirannya.

"Kak long suka kan dengan Riz?", tanya Izlan. Sepenuh perhatiannya ditumpukan pada si kakak. Dia benar-benar berharap Rizqy merupakan satu-satunya jodoh yang telah ditakdirkan untuk Qaseh.

"No komen...", balas Qaseh. Sedaya upaya dia menyembunyikan senyumannya daripada pandangan mereka bertiga. Selimut di atas katil ditarik lalu digunakan untuk menutup wajahnya. Pipi Qaseh mula membahang.

Puan Hanna, Ilham dan Izlan sudah tersenyum bahagia melihat anggukan kepala Qaseh yang masih bertutup dengan selimut. 'Comel betul kak long aku seorang ni', bisik hati Izlan. Sebak di hati Izlan semakin terasa. Walaupun dia mahukan kakaknya cepat-cepat bertemu jodoh namun jauh di sudut hati, Izlan sangat berat hati untuk berpisah dengan kakaknya setelah Qaseh kahwin nanti.

"Alhamdulillah...", serentak ketiga-tiga mereka memanjatkan syukur. Akhirnya Qaseh bertemu juga dengan jodohnya

Encik GulaWhere stories live. Discover now