26

9.9K 441 2
                                    

Dua pasang mata beradu pandang. Mata milik insan-insan yang punya perasaan sayang pada wanita yang sama. Masing-masing ada rasa yang tersemat kukuh dalam hati. Izlan dengan perasaan bersalah. Rizqy bersama perasaan marah yang semakin meluap namun segera ditahan. Tak mahu mengeruhkan keadaan.

Suasana kaku. Sepi. Hanya desiran angin yang menghembus kedengaran. Puan Hanna memilih untuk memerhati dari jauh. Biarkan kedua-dua anak jantan ini menyelesaikan masalah dengan cara baik.

Izlan diam. Teragak-agak untuk membuka bicara. Namun Rizqy dapat melihat kegelisahan yang terbit dari bahasa tubuh adik iparnya. Serta merta dia jatuh kasihan. Bukan niatnya mahu berkeras dengan Izlan. Tapi Izlan yang terlalu berkeras dengan Qaseh.

"Puas hati?" Suara garau Rizqy kedengaran. Suara sedang menahan sabar.

Izlan masih diam. Wajah Rizqy dipandang sekilas. Kemudian dia tunduk, merenung kaki yang sedang menguis batu-batu kecil di kawasan halaman rumah. Halaman rumah yang dipenuhi dengan pokok bunga yang ditanam dalam pasu kecil. Aneh! Setiap kali matanya menjamah bunga-bunga indah itu pasti hatinya tenang. Tapi hari ini keindahan bungaan ciptaan Tuhan tidak mampu menghilangkan kegusaran yang bertandang dalam hati. Hati Izlan resah. Pilu. Sakit. Pilu memikirkan keadaan kak longnya yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Sakit kerana layan endah tak endah pada kakak sendiri.

"Aku tanya kau. Kau dah puas hati ke buat kakak kau macam tu?" Suara Rizqy naik seoktaf. Rasa kesabarannya tercabar apabila Izlan bertindak mendiamkan diri.

Izlan tersentak. Teringat saat dia menengking Rizqy seminggu yang lepas. Situasi bertukar. Kali ini dia yang ditengking Rizqy! Rasa hatinya saat ini..? Kosong! Kerana Izlan merasakan dia wajar dijerkah oleh abang iparnya.

"Maaf..." Sepatah kata terbit dari bibir Izlan. Jujur, dia tak tahu untuk bereaksi apa di hadapan Rizqy. Melawan Rizqy? Tak mungkin untuk ketika ini. Mengaku bersalah? Memang itu yang sepatutnya dilakukan walaupun hatinya masih bengkak kerana tengkingan Qaseh.

"Hmm.. Kau pun tahu dengan siapa kau patut minta maaf..." Rizqy mengeluh. Suara mula dikendurkan. Tidak mahu menambahkan masalah. Ikut barannya tak mustahil wajah suci Izlan itu ditampar.

"Aku... aku..."

"Lan... Kau tak pernah berkasar dengan Qaseh selama ni. Qaseh satu-satunya kakak yang kau punya. Wanita yang kau sayang setelah ibu. Tapi kenapa hari ni kau memilih untuk biadap dengan dia disebabkan sakit hati yang kau rasa?"

"Qaseh berniat baik. Dia sedar kesilapan dia sebab tengking kau. Sebab tu kami datang hari ni. Datang nak minta maaf. Kau kenal kakak kau sendiri kan? Qaseh ego orangnya. Bukan senang dia tiba-tiba nak datang pada orang dan minta maaf. Tapi apa kau buat? Kau dah hancurkan niat suci Qaseh. Kau tambahkan beban dalam hati dia. Tiga hari dia sakit. Setiap hari dia belek handphone. Tunggu seseorang call atau mesej." Rizqy berhenti sejenak. Ada tawa kecil yang terlepas dari bibir. Tawa hambar.

"Aku pun cemburu tengok. Macam tunggu call dari orang tersayang. Hakikatnya memang dia menunggu panggilan dari orang tersayang. Dan kau tahu kan siapa?" Pandangan Rizqy ditalakan kepada jejaka yang masih kaku di hadapannya.

Hati Izlan sedikit terusik. Tubir mata mula bergenang namun cuba ditahan daripada jatuh. Sebuah anggukan kecil cukup memberikan jawapan kepada persoalan Rizqy. Bahu Izlan ditepuk perlahan.

"Maafkan kami..." Tulus ucapan yang terbit dari hati Rizqy.

Perlahan-lahan Izlan mengangkat kepala. Rizqy ditarik ke dalam pelukan. Pelukan kasih sayang.

"Maafkan aku..." Bergetar dua ulas bibir Izlan saat dia menuturkan kata-kata keramat itu.

Belakang tubuh adik iparnya Rizqy tepuk perlahan. "Hati Qaseh dah cukup terluka saat arwah ayah hilang dari pandangan mata. Jangan biarkan hatinya terus terluka dengan kehilangan kau dan Ilham..." Rizqy berbisik sendu. Pelukan dileraikan. Lantas sebuah senyuman ikhlas dihadiahkan buat Izlan. Syukur, hubungan mereka kembali bertaut.

Encik GulaWhere stories live. Discover now