CHAPTER 04

42.9K 2.7K 53
                                    

"ABANG, Risa rasa Risa mengidam lah," lengan sasa Heykal dipaut disaat mereka sedang menikmati angin petang di beranda.

"Mengidam? Amboi, kandungan baru dua minggu dah mengidam?" Tanya Heykal. Wajah manis isterinya dipandang dengan penuh kasih.

"Yelah, perempuan mengandungkan memang macam ni. Pembawakan budak." omel Harrisa manja. Kepalanya dilentok manja di bahu suaminya.

"Amboi, ni pembawakan budak ke pembawakan mak sendiri ni?" seloroh Heykal seraya mencuit-cuit pinggang isterinya. Harrisa menggeliat geli. Tangan suaminya ditepis lembut. Tawa halus kedengaran dari mereka.

"Okay, sayang mengidam apa?" Tanya Heykal. Perut isterinya diusap lembut.

"Risa rasa nak ke pantai. Risa tengok kawan Risa post dalam Instagram dia. Diorang pergi hiking lepastu mandi air pantai. Bestnya," kata Harrisa seraya matanya disepetkan sedikit. Berlagak manja biar suaminya cair dan mengikuti keinginannya.

"Kan dah cakap. Ni bukan pembawakan budak, mak dia yang mengada ni," Heykal sekali lagi menggeletek isterinya. Terkinja-kinja Harrisa mengelak.

"Ish, betul lah. Baby ni yang nak ke sana. Kan baby, kan?" Harrisa seakan berkomunikasi dengan janin yang ada dalam kandungannya. Perutnya diusap lembut sebelum tangan Heykal singgah ke atas tangannya. Mengusap lembut tangannya itu.

"Nanti abang cuti kita pergi sana, okay?"


TIUPAN bayu menyentuh lembut tubuh pasangan yang sedang bergelak tawa itu. Tudung yang membaluti kepala sang isteri bergerak mengikut hembusan angin. Bunyi ombak yang menghempas pesisir pantai seakan satu muzik yang indah didengar.

"Cantiknya," Harrisa menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Menikmati rasa nyaman dan bunyi ombak yang kedengaran. Sungguh tenang.

Heykal hanya tersenyum melihat sisi wajah isterinya yang menutup mata menikmati suasana. Tersenyum melihat wajah insan yang sangat dia cintakan itu. Tersenyum melihat senyuman yang indah terukir di bibir mungil isterinya itu. Tanpa pamit, jarinya naik membelai lembut pipi Harrisa sehingga membuatkan gadis itu sedikit terkejut. Pandangan mereka mula bertaut.

"Abang?" Panggil Harrisa lalu suaminya itu pantas menurunkan tangannya dan memusingkan wajahnya memandang ke hadapan. Sedikit malu.

Harrisa sudah tersengih lalu memeluk pinggang suaminya. Kepalanya dilentokkan ke bahu sang suami.

"Best, kan. Kalau ada rumah dekat kawasan sini pun best," ulah Harrisa sendirian. Heykal hanya diam mendengar. Bahu isterinya dipeluk.

"Abang, Risa nak main air boleh? Alang-alang dah sampai sini, rugilah tak mandi pantai kan?" Pinta Harrisa lalu tersengih.

"Ombak boleh tahan kuat tu, sayang. Risa dah lah tak pandai berenang. Pendek pulak tu."

"Ish, abang ni. Risa main dekat tepi-tepi tu je. Tak basah sampai seluruh badan pun," balas Harrisa. Manja. Mengharapkan suaminya memberi keizinan.

Melihatkan wajah itu, mendengarkan lenggok suara itu, Heykal luluh. Dia tidak tahu bagaimana hendak mengatakan tidak kepada permintaan isterinya sekiranya itu yang digunakan. Hatinya cair.

"Ye lah, tapi jangan main jauh sangat. Abang ikut," Harrisa tersenyum gembira lalu dia berjalan meninggalkan suaminya. Menuju ke pesisiran pantai.

Melihatkan senyuman itu, Heykal mulai gembira. Jika senyuman itu yang dapat dilihat sebagai ganjaran kepada setiap permintaan isterinya, dia sanggup mengatakan ya tanpa ragu-ragu. Senyuman itu sahaja dia mahukan. Tiada yang lain.

Heykal masih melihat ke arah isterinya. Kakinya baru sahaja hendak melangkah untuk menyertai Harrisa, namun panggilan telefon telah membantutkan niatnya. Heykal mula berbicara di talian. Tanpa sedar, kakinya telah mengatur langkah sehingga berada agak jauh dari isterinya. Dan, kerana lekanya Heykal dengan panggilan telefon, dan Harrisa leka dalam keseronokan, akhirnya gadis itu sudah berada di tengah-tengah pantai. Ombak yang agak kuat itu telah menarik gadis itu semakin dalam. Harrisa merasakan bahawa tubuhnya mula hilang keseimbangan. Kakinya tidak menyentuh tanah.

"Ab-abang!" Jerit Harrisa.

"Abang!" Semakin panik, semakin dia jauh ditarik.

"Abang!" Jerit Harrisa sekuat tenaganya namun tidak kedengaran kerana bunyi ombak yang kuat menghempas pesisiran.

Heykal yang masih berbicara di telefon tidak menyedari sehinggalah dia melihat beberapa orang mula berlari ke arah belakangnya. Heykal yang kehairanan mula berpaling ke belakang dan melihat terdapat begitu ramai orang yang berada di pesisir pantai. Lebih tepatnya tempat di mana isterinya bermain tadi.

Jantung Heykal seakan terhenti apabila melihat seorang pemuda menarik seorang wanita yang sudah terkulai. Kakinya mula diatur ke arah kerumunan itu.

"Sayang?"


Kereta milik Heykal dipandu laju. Hanya satu yang bermain di fikirannya, isterinya perlu diselamatkan. Pedal minyak ditekan kuat. Sumpah seranah keluar dari bibirnya apabila ada kereta yang membawa secara perlahan dan menghalangnya.

"Tepi tepi tepi!" Teriaknya di dalam kereta.

"Sayang, hold on. Sayang kuat, kan sayang. Jangan tinggalkan abang," rayunya sambil menangis. Sungguh dia takut. Dia tidak mahu kehilangan isterinya. Hatinya tidak henti-henti merintih merayu kepada Tuhan agar isterinya sempat diselamatkan. Di sisi yang lain, hatinya turut berharap bahawa semua ini hanyalah mimpi.

"Bodoh! Tepi lah!"

Hon ditekan kuat. Pedal mintak ditekan. Kereta dihadapan terlalu perlahan sehingga dia mula memaki.

"Lembab!"

Heykal memarahi kereta yang perlahan itu sewaktu dia cuba memotongnya. Namun, nasibnya tidak bernasib baik apabila terdapat sebuah kereta lain bertentangan dengannya sehingga dia memulas stereng kereta sehabis tenaga bagi mengelak. Heykal mula menjerit apabila kereta terbabas dan merempuh pembahagi jalan.


"HEYKAL koma selama tiga bulan. Isterinya meninggal dunia di tempat kejadian," Puan Khatijah menarik nafas seketika. Air jernih bertakung di tubir mata. Aisha hanya mampu terdiam. Tidak mampu untuk berkata-kata.

"Sedar je dari koma, Heykal terus berubah. Kebudakan. Dan sampai sekarang, dia tidak tahu tentang kematian isterinya," sambung Puan Khatijah.

Aisha hanya diam. Tidak sangka begitu sekali takdir yang tertulis buat pasangan itu. Hatinya merasa sedih. Aisha menyentuh lembut bahu wanita itu apabila melihatkan wajah Puan Khatijah yang sedang sayu sambil mengelap air matanya. Wanita itu hanya tersenyum. Air matanya masih berkaca.

"Aisha nak jumpa Heykal, boleh?"

SAYANGKU, MR AUTISTIC ✔Where stories live. Discover now