Bab 11 { NICE TO MEET YOU! }

5K 211 3
                                    

Senyum. Lebar lorekan kemenangan yang terbentuk di bibir Puan Azirah. Cek tunai yang ada di tangannya lantas disimpan ke dalam beg tangannya dan lantas wanita itu menarik pintu kaca bank untuk keluar dari situ. Setelah itu, dia lantas bergerak ke arah keretanya yang terpakir berhampiran.

"Hailah senangnya hati...! poket tebal, buku bank pun banyak kosong-kosong..." Puan Azirah mengomel girang. Sampai saja dekat keretanya, lantas wanita itu mengeluarkan kunci kereta dan menekan punat alarm. Dia lantas bergerak masuk dan menghidupkan enjin kereta setelah itu. Sedang asyik wanita itu leka, tidak semena-mena...

"Hai!" Ada satu suara yang menegur. Langsung tersentak Puan Azirah dibuatnya. Spontan, wanita itu menolehkan kepalanya ke sisi; langsung membuntang matanya apabila melihat susuk tubuh si Ezray berada di depan mata.

"Kau?! Apa kau buat dalam..."

Klak!

Sepi. Terus mati kata-kata Puan Azirah  apabila Ezray tiba-tiba mengacukan muncung pistol Mark 23 ke arah rusuknya. Lelaki itu hanya kekal tenang dan selamba. Manis senyuman yang terbentuk di bibirnya.

"Nice to meet you, sigñora! Boleh kita gerak sekarang? Ada orang nak jumpa dengan kau," ujar Ezray selamba. Langsung Puan Azirah gertap gigi. Tajam pandangan matanya terhadap lelaki itu.

"Kau fikir aku takut dengan gertakan kau, budak? Kau keluar dari kereta aku sekarang!" desis Puan Azirah, keras. Langsung tergeleng kepala Ezray dibuatnya. Dia lantas menekankan satu jari telunjuknya ke bibir biar Puan Azirah kekal tenang dan diam.

"Tenanglah, Azirah... Aku cuma nak tolong permudahkan kerja kau. Akan ada sebuah kereta dekat depan sana nanti; sebaik sahaja kau keluar simpang. Aku nak kau ikut kereta tu, kalau tidak..."

"Kalau tak, apa?" cantas Puan Azirah, berang. Mendengarkan persoalannya itu, langsung Ezray lebarkan senyuman di bibirnya dan tersengih hingga menampakkan barisan gigi atasnya yang cantik tersusun. Dalam hati, lelaki itu sudah tertawa besar; lawak betul soalan perempuan ni!

"Kalau tidak, kami akan kejar kau hingga ke lubang cacing, Azirah. Jangan risau... Hayden dan Aisy akan iring perjalanan kau depan dan belakang secara aman. Tapi kalau kau cuba nak lari, tolong semat siap-siap dalam kepala otak kau tu yang kami tahu segala tindak-tanduk kau," ujar Ezray, santai. Namun dari air mukanya, terang-terang terlihat amaran yang tersirat di sebalik mata lelaki itu. Langsung hening suasana dalam kereta setelah itu; Puan Azirah di depannya lantas mengertap gigi. Pegangannya pada stereng kereta pula kelihatan sangat kuat sehinggakan kekura pada kedua-dua belah tangannya memutih...

Lalu, hendak tak hendak, perlahan-lahan wanita itu mula menggerakkan tangan kirinya untuk menukar gear. Terus melebar lagi senyuman pada wajah Ezray dibuatnya.

"Bagus... Teruskan je!" Dan seperti apa yang dibilang oleh lelaki itu, ternyata memang ada sebuah kereta yang mengekorinya dari belakang sebaik sahaja Puan Azirah memandu keluar dari petak parkir; yakni sebuah Honda Civic.

Dan saat wanita itu memandu keluar dari simpang, sebuah kereta sedan Volkswagen menyusur masuk ke depannya dari pinggir jalan. Terus Puan Azirah menjeling sekilas ke arah Ezray. Lelaki itu cuma tersenyum dan menyuruhnya untuk mengekori sahaja kereta tersebut.

Dengan hati yang berdongkol berang, Puan Azirah memandu keretanya seperti apa yang diarahkan. Perjalanan selama beberapa minit itu hanya ditemani keheningan dan ketegangan sehinggalah Puan Azirah tiba di depan sebuah bangunan pejabat dua tingkat yang terpampang besar dengan papan tanda sebuah agensi guaman. Tercengang wanita itu melihatnya; rentak jantungnya mula berdegup kencang.

My Sagittarius {SEDANG DISUNTING SEMULA}जहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें