BAB 2

91 8 4
                                    

Mataku terbuntang luas. Dada turun naik, seolah-olah aku tidak mempunyai udara yang cukup untuk jantungku mengepam darah ke setiap ruang tubuh badanku. Kemengahan ini menghasilkan bunyi yang menguasai pendengaranku.

Matahari sudah pun menyinari seluruh tubuhku yang terlantar di atas katil. Entah kenapa aku begitu penat pada pagi ini? Tibanya sebuah perasaan malas dan keletihan memasak di sanubari hati. Seluruh jari-jemariku meramas wajah yang merembeskan air yang dikandungi dengan garam yang agak pekat.

Mimpi itu... lagikah?

Dada terasa berat. Perasaan mula menekan dada. Fikiran menjadi tidak teratur. Entah kenapa aku masih mengingatinya? Walaupun aku tidak mempunyai sebarang barangannya? Walaupun aku sudah tidak ketemunya lebih daripada tiga tahun?

Aku mencapai telefon bimbit untuk melihat jam sekarang. Terlepas subuh? Itu sudah pasti. Terpaksa aku mengatur ganti. Namun, aku mempunyai setengah jam sahaja lagi sebelum waktu bekerja bermula.

Tiga tahun sudah pun berlalu. Tiada sebarang kelibatnya. Tiada sebarang hubungan di mana-mana berlaku, termasuklah dari segi telekomunikasi dan juga secara fizikal. Ini perkembangan yang sangat baik, atau itulah yang diberitahu oleh rakan-rakanku.

Tapi, entah kenapa aku terasa seperti jiwa ini begitu kosong. Gelap. Hitam. Walaupun aku mempunyai rakan-rakan yang baru, lelaki mahupun perempuan, tiada sesiapa pun dapat memenuhi ruangan kosong ini.

Usai mengganti solat, aku segera mendapatkan motosikalku dan beredar dari rumah ini. Aku tidak mahu membuang masa. Jika aku datang lambat, maka aku akan balik lambat. Aku tidak berapa suka mempunyai kehidupan seperti itu.

Walaupun aku semakin cekap menunggang motor dan mencelah antara ruangan sempit, namun fikiranku tidak berada di sini. Sebaliknya, aku masih mencari jawapan tentang mimpi yang menghantui tidurku. Kenapa dia mesti wujud lagi dalam fikiranku? Kenapa dia tidak berhenti menggangguku? Kenapa pula aku mesti merasa bersalah? Perlukah aku sengsara sebegini?

Tak, aku tak perlu menggelabah. Aku kena fokus. Hari ni pasti penuh dengan benda yang menyakitkan hati, seperti biasa. Jadi, aku kena kawal perasaan untuk bertenang. Sampai sahaja di tempat kerja, aku segera menaiki lif. Aku tidak mahu terlambat, walaupun sesaat.

"Amboi laju semacam je, Aslan?" Sapa seseorang dari belakangku.

Aku mengenali suara tersebut. Nadanya lembut. Sesiapa yang mendengar intonasi percakapan suaranya pasti akan cair. Aku berpusing menghadapnya. Dia mengukirkan senyuman. Pintu lif tertutup, dan dia menekan butang ke aras pejabat kami berdua.

Dia mengenakan pakaian sopan seperti kebanyakan perempuan Melayu yang bekerja di pejabat. Berbaju kurung putih dan bertudung putih. Dia juga menggalas beg seperti ingin pergi ke kelas. Anak matanya berwarna coklat, wajahnya cerah daripada kebanyakan perempuan Melayu yang pernah aku lihat. Bibirnya tidak begitu merah menyala, hanya cukup kelihatan segar sahaja.

Dia ini hanyalah perempuan biasa yang baik dengan aku. Tiada apa yang istimewa mengenainya.

"Aku nak balik awal," balasku ringkas.

Tersengih apabila mendengar jawapanku.

"Ya, seperti biasalah, kan?" Dia menambah.

"Hm. Hidup ni bukan mati untuk kerja, tetapi kerja untuk hidup. Aku ada kehidupan aku sendiri. Tak mungkin aku mungkiri janji dengan adik-beradikku, bahawa aku akan melawat mereka hari ini."

Dia mengangguk faham.

"Sudah semestinya, Aslan. Semua orang ada kehidupan mereka sendiri. Saya faham. Awak menghadapi hari-hari yang sangat sukar untuk dua-tiga minggu ini, bukan?" Tanya dia sambil memandang aku.

GREMLIN.EXE: KRIPTOGRAFI [COMPLETE]Where stories live. Discover now