04 • Aneh

40 14 0
                                    

Damien tersandar pada kepala katilnya. Tanggannya mencapai gelas berisi air kosong di atas meja lalu diteguknya.

Jam di atas meja bersebelahan katilnya itu dikilas, jam 11.07 p.m. Damien mematikan lampu tidur. Matanya sudah memberat. Dia menutup matanya seakan memberi ruang untuk tubuhnya 'mati sementara'.

Beberapa ketika, pintu biliknya diketuk perlahan.
"Damien?" Suara seorang lelaki kedengaran diluar.

Damien tidak terus membuka matanya. Dia juga tidak menjawab walhal dia masih belum berganjak ke alam bawah tidur. Hanya telinganya sahaja yang menangkap bunyi derapan tapak kaki yang semakin mendekatinya.

"Damien."

Suara lelaki itu semakin jelas mendekati telinganya. Namun masih diabaikan. Sehinggalah bahunya terasa gerakan dari tangan lelaki itu, barulah Damien membuka matanya perlahan.

"Kau- okay?" Declan Kane bertanya.

Damien membatu. Dia sekadar mengangguk sedikit tanpa berpaling muka. Dia tidak suka akan kehadiran lelaki itu dalam biliknya. Lelaki atau abangnya yang berusia dua tahun lebih tua daripadanya itu dianggap sebagai 'sekatan hidup' bagi dirinya.

"Kau tak nampak okay. Kau tak turun makan malam, lupa kunci pintu bilik dan tak tutup tingkap. Rumah Makcik Sophie kena rompak tiga hari lepas. Dan kau nak jadi mangsa seterusnya? Bahaya tahu!" Declan berleter panjang.

"Jadi? Kenapa kau masuk? Bukankah itu bahaya?" Damien membalas.

Declan berdiam diri. Jika semakin dilayan perangai adik tunggalnya itu, semakin kusut kepalanya pula.

"Mummy suruh aku pastikan kau makan ubat."

"Aku bukan budak kecil untuk dijaga." Damien menghantar pandangan tajam.

"Bukan budak kecil? Kau masih tak pandai jaga diri sendiri di luar sana. Dan kau selalu menyusahkan orang lain. Bukankah itu apa yang anak kecil lakukan?"

"Aku tak minta untuk dijaga."

"Sudah lama kau mati jika tidak dijaga oleh aku dan mummy, bukan?" Bidasan kata daripada Declan membuatkan Damien terdiam.

"Lupakah kau, siapa yang datang menemani bila Mummy dan Daddy bertengkar dahulu? Siapa yang datang membantu bila kau diejek dan dibuli dahulu?"

"Aku tak nak cakap pasal ni."

"Ya? Aku harap kau sedar, Dam." Declan melangkah ke pintu bilik dan terus keluar. Pintu bilik adiknya itu dihempas kuat.

Jam menunjukkan pukul 11.11 p.m.

Damien deras menghembus nafas.
Dia membetulkan posisi tidurnya semula sebelum menutup mata. Dia berharap agar tidurnya itu dapat melupakan sakitnya di dalam.

Agar dia dapat berehat daripada segala kekusutan.

***

Declan hampa. Hasratnya untuk berbaik-baik dengan adik tunggalnya itu masih tidak kesampaian.

Dia melangkah masuk ke bilik tidurnya yang tidak jauh dari bilik tidur Damien. Pintu bilik kemudian ditutup rapat dan dikunci.

Declan merebahkan punggung di atas katil, dia mengeluh. Potret keluarganya yang tergantung elok di dinding itu kemudiannya ditatap dengan perasaan sayu.

Mummy dan Daddy sudah lama bercerai. Dia masih ingat ketika dia berumur 6 atau 7 tahun, perang Mommy dan Daddy berakhir dengan kata putus, mereka bercerai. Setelah semua yang dilakukan oleh Daddy, kami semua ditinggalkan begitu sahaja.

Jika perkara ini membuatkan keluargannya huru-hara dan musnah, jadi mengapa Tuhan membenarkan ia berlaku?

***

Ellise kembali ke dalam rumah. Pintu rumah itu ditutup rapat.

Dia teramat yakin bahawa ada sesuatu yang sedang berjalan menuju ke arahnya sebentar tadi. Seperti sesuatu yang besar gagah dan tinggi lampai.

Apakah itu?

Adakah itu raksasa yang sering mengejarnya sejak dulu?

BLAKUGOS ?

Memori ingatan Ellise ligat berputar kembali memaparkan kisah dan mimpi yang pernah menghantuinya ketika dia masih kecil dahulu.

Sekitar umurnya 5 atau 6 tahun, Nenek Gwen pernah bercerita tentang 'Papa' dan 'Mama'nya yang tidak pernah dia kenali. Kata nenek, Papa dan Mama sebenarnya sayang akan Ellise, namun mereka tidak dapat menjaga Ellise seperti mana ibu dan ayah menjaga seorang anak dengan baik.

Lalu, mereka serahkan tanggung jawab itu pada nenek. Mereka terus menghilangkan diri. Tiada apa pun yang ditinggalkan sebagai kenangan kepada Ellise kecuali seutas rantai perak berloket hati kepunyaan Mama.

Rantai itu sudah lama, namun masih disimpan elok di dalam almari kaca milik Nenek Gwen. Itulah yang diceritakan kepadanya dahulu.

Tapi, bukankah cerita itu tergantung?

Mengapa mereka berdua melepaskan Ellise kepada nenek dengan senang-lenang begitu sahaja?

Tiada rasa tanggung jawabkah dalam diri mereka?

Mengapa Mama dan Papa tidak pernah datang menjenguknya di rumah nenek walaupun sekali?

Apa yang berlaku sebenarnya?

Begitu sarat persoalan yang timbul dalam otak, lagi sarat perasaan sedih dan kecewanya terhadap Mama dan Papa.

Sejak Nenek Gwen ceritakan kisah Mama dan Papa tersebut kepada Ellise, sejak itulah dia mula bermimpi buruk tentang sang raksasa yang sering mengejarnya. Dia kerap mengalami mimpi yang sama.

Ellise berlindung di sebalik rimbunan pokok-pokok renek dan semak samun di sekitar hutan itu. Bunyi derap tapak kaki yang kuat dapat didengar dengan jelas. Tanah-tanah merekah seakan bergegar dan hampir runtuh setiap kali tapak kaki itu berpijak.

Dia tidak pasti makluk apakah itu. Dia masih belum melihat gerangannya di depan mata. Namun, dengan mendengar dengusan kasar dan derapan kaki itu sahaja, dia dapat membayangkan bentuk rupa makhluk tersebut.

Ellise menggigil. Dia ingin meminta bantuan. Namun dia sendiri tidak pasti di manakah dia berada sekarang. Semua yang dapat dilihat hanyalah ribunan pokok-pokok lebat. Langit biru nan cerah pun hanya sesekali dapat dilihat dari bawah ini. Hanya sedikit cahaya yang dapat menembusi pokok-pokok dari atas.

Apabila dia merasakan makluk gergasi itu semakin dekat dengannya, Ellise berlari lagi. Dia terus berlari, berlari dan berlari seterusnya mencari tempat persembunyian yang baharu.

Dadanya semakin lama semakin berombak kencang. Dia dapat merasakan satu persatu butir-butir air mata yang jatuh dari tubir matanya dengan perlahan. Dia cuba menahan diri dari melakukan sebarang bunyi.

Kadang, telinganya mendengar derap kaki itu dari jarak yang jauh, namun dengusan nafasnya yang kuat dapat didengar seperti dari jarak yang dekat. Bau busuk dan menjijikkan juga dapat dihidu dari semua arah. Entah apa gerangan sang makhluk perkasa itu.

Ellise terus berlari sehingga matanya tertancap pada sebuah gua besar di hadapan. Dalam samar-samar itu, dia melangkah masuk ke gua tersebut dengan perlahan-lahan. Gelap, sunyi, tetapi mungkin selamat.

Tanpa berfikir panjang, dia terus menuju ke dalam lagi. Dia meneruskan perjalanan walaupun tiada apa yang dapat dilihat.

'Grrrr..'

Telinganya dapat menangkap suatu bunyi yang menaikkan bulu romanya dari belakang. Ellise berpusing, dalam kegelapan itu, mata kecil itu dapat melihat sesusuk tubuh gah berdiri betul-betul di hadapannya. Makhluk itu berbulu, teramat tinggi dan sungguh sungguh besar.

'Ia' mengaum besar, nyaring sehingga memeritkan telinga. Dengan pantas, 'ia' mengeluarkan kuku-kuku besar dan tajam lalu menyambar tubuh kecil Ellise.

Ellise ingin menjerit, namun dengan secepat itu juga nyawanya bagai terkeluar dari badan fizikalnya.

Tiada apa yang dapat dilihat.

Gelap.

Hanya telinganya sahaja yang sempat menangkap bunyi ngauman yang dihasilkan oleh makhluk ganas itu.

' B L A K U G O S ' .

The BLAKUGOSWhere stories live. Discover now