05 • Samar

50 12 5
                                    

Ellise terjaga dari putaran memori tadi.

Dia sering dilamun tanda tanya yang sama. Mengapakah dia selalu saja mengalami mimpi buruk itu sejak Nenek Gwen menceritakan kisah Mama dan Papa kepadanya?

Hatinya meronta-ronta ingin tahu.

Sekejap! Jika apa yang berada di luar rumah yang seakan menuju ke arahnya tadi ialah 'Blakugos', ini bermakna dia sedang berada di alam mimpi!

Ya! Semua ini tidak benar. Ini bukan rumahnya, bukan tempat tinggalnya, Nenek Gwen tiada, semuanya nampak lain!

'Ddum! Ddumm!!'

Bunyi detakan kuat di pintu rumah mengejutkan Ellise. Terbuntang luas matanya apabila melihat pintu rumah itu sudah berlubang-lubang dan hampir hancur.

'Ddum! Ddummm!!'

Raksasa itu menghentak lagi. Kali ini lebih kuat. Dinding rumah seakan mahu roboh dikerjakan.

Ellise menjadi tidak keruan. Apa yang boleh difikirkan sekarang adalah hanya melarikan diri! Tapi di mana?

Dia dapat membayangkan seluruh rumah itu roboh. Jika dia bersembunyi seceruk mana sekali pun, dia akan mati terkubur begitu saja. Ellise memerhatikan keadaan sekeliling, mindanya ligat berputar memikirkan jalan keluar.

Pintu belakang!

Ellise mengatur langkah ke ruang dapur dengan laju. Matanya cepat melihat ke arah almari di mana peralatan dapur Nenek Gwen disimpan. Dia berdiri di sisi almari tersebut lalu menolak almari tersebut ke sebelah tepi. Berat, namun dikuatkan juga usahanya itu.

Ternyata, terdapat pintu kecil di belakang almari tersebut. Dia masih ingat apabila Nenek Gwen sengaja meletakkan almari di situ agar pintu itu tidak dapat dibuka oleh sang penceroboh dari luar.

Tanpa berfikir panjang, dia membongkokkan badan lalu melolos keluar melalui pintu itu. Sarang lelabah yang melekat di kepala dan bahu dikuis-kuis dengan tangan.

Hembusan angin kencang seakan-akan menyambut kedatangannya. Begitu kencang sehingga dia dapat mendengar tiupan angin yang berlalu di telinga. Keadaan di luar amat gelap.

Dia juga masih dapat mendengar bunyi dentuman dan dengusan dari sang raksasa itu. Terus dia berlari laju meninggalkan kawasan rumah.

Kini, hanya satu tempat yang dia tuju.

* * *

'Klik'

'Klik klikk'

Damien mendengus. Bunyi apa pula yang mengganggu tidurnya ini?

Dirasakan baru sahaja sebentar dia melelapkan matanya. Ada sahaja yang menganggu. Damien menenyeh kedua-dua belah matanya yang masih terkatup rapat.

Dalam samar-samar itu, dia dapat melihat kerlipan cahaya di balik tingkap biliknya. Benarlah sangkaannya, lampu di luar rumah itu rosak lagi. Ia tidak menyala dengan baik, malah asyik berkelip-kelip seperti dalam filem seram yang selalu ditonton. Bukankah Mummy sudah mengupah orang untuk baiki lampu luar tu?

Damien bingkas bangun. Dia menuju ke arah tingkap yang terbuka itu. Oh, benar juga kata Declan tadi, bahaya jika dia tidak menutup tingkap. Manalah tahu ada hantu muncul menyeringai dari luar tingkap itu, kan? Heh. Mengarut.

Baru sahaja dia ingin menarik daun tingkap itu, tiba-tiba tiupan angin menerpa kuat pada wajahnya. Dia dapat mendengar siulan angin yang menyusup masuk dari celah tingkap. Seperti bisikan yang lembut dan halus.

Damien terhenti. Dia menjenguk ke luar tingkap, seperti tadi, suasana di luar gelap, hanya lampu itu yang dapat membantu penglihatannya walaupun samar-samar sahaja.

Seketika telinganya menangkap bunyi-bunyi seperti orang ramai bersuara dari luar biliknya. Dia menelan liur. Pandangan dihalakan pada jam dinding. Sudah malam macam ni, ada lagi orang melawat ke rumah?

Siapa? Bukankah Mummy pun sudah lama nyenyak pada waktu begini? Lainlah si abangnya, Declan yang suka melewati tidur hingga pukul 4-5 pagi.

Dia cuba mendengar bait-bait perbualan 'mereka', namun sepatah haram pun dia tidak faham. Seperti burung-burung berkicauan dalam kelompoknya pada waktu petang, begitu lah bunyinya. Bising, tapi perlahan dan tidak berbutir bicaranya.

Damien abaikan sahaja, terus dia menarik kedua-dua daun tingkap dan menutupnya dengan rapat. Kunci tingkap dipulas. Langsir berwarna biru gelap itu ditarik dan dilabuhkan menutupi tingkap.

Dia mengatur langkahnya ke katil, duduk, dan terus baring, bersedia untuk menyambung tidurnya yang tergendala. Selimut ditarik hingga ke paras dada. Sejuk pula malam ni, atau mungkin suhu badannya sahaja yang berubah akibat demam.

Baru sahaja beberapa detik matanya ditutup, bunyi ketukan pada pintu kedengaran.

Ish, apa lagi? Pasti Declan, apa yang dia mahu? Tidak bolehkah jika dia tidak mengganggu aku?

"Dam." Satu suara memanggil.

Damien membuka kelopak matanya. Dahinya tampak berkerut.

Suara tu. Suara seorang lelaki. Tapi bukan Declan. Ya, suara itu lebih kasar dan dalam berbanding suara Declan. Seperti suara seorang lelaki dewasa.

"Dam." Suara itu memanggil lagi. Jelas sebutannya, namun di antara Declan dan Mummy, siapa lagi yang memanggilnya dengan nama pendeknya, 'Dam'? Tiada!

"Dam. Buka pintu untuk Daddy."

Damien tersentak. Betulkah apa yang dia dengar tadi? Daddy? Mengapa Daddy ada di sini? Bukankah—

Pintu diketuk lagi. Kali ini lebih kuat.

"DAMIEN!" Suara Daddy melaung kuat.

Damien berdiri. Tidak pasti sama ada dia perlu membuka pintu itu atau tidak. Dan mengapa Daddy kedengaran marah?

Kakinya seperti melekat pada lantai, namun digagahkan juga untuk melangkah perlahan ke pintu bilik itu. Pintu itu berdetak setiap kali diketuk dari luar. Ketukan yang bertalu-talu masih kedengaran, seperti suatu irama yang tidak akan berhenti.

"D- daddy?" Damien bersuara perlahan. Dia sendiri tidak pasti jika yang di luar itu adalah Daddy yang sudah meninggalkan keluarga bertahun-tahun lalu.

Ketukan pintu tiba-tiba berhenti. Senyap.

The BLAKUGOSWhere stories live. Discover now