10 • Salah

41 6 3
                                    

"Jika ternyata kamu salah, apa tindakan mu?" Lelaki berpakaian putih menolak soal dengan soal yang lain.

Ellise berdiam.

"Dan jika aku yang benar, adakah kamu akan di sisiku, selalu?"

Ellise berdiam lagi.

"Usah biar permata putih menitik di tubir mata. Tetap pendirian, ampunkan jasad yang kau cinta."

Ellise semakin tidak keruan. Ah, apa semua ni? Apa yang dicakapkan? Sudahlah berbelit bicaranya, tidak kena pula dengan dirinya. Langsung tiada kena mengena dengan Ellise sendiri.

Dia langsung tidak mengenali lelaki di hadapannya ini. Mentalkah, dia?

"Maaf, kita langsung tidak kenal satu sama lain. Mungkin, aku bukan orang yang kau cakapkan." Ellise mengundur diri ke belakang. Dia berkira-kira ingin melepaskan diri daripada situasi ini.

"Jadi, begitukah maaf kau? Dan aku kira kau langsung tiada beradab."

Lelaki itu seraya berpaling tubuh dan melangkah pergi dari situ. Sekejap sahaja tubuhnya seperti dimamah kabus putih yang masih terasa sejuknya. Dia hilang dengan begitu sahaja.

***

Dia memanggil nama yang dikiranya jelek itu berkali-kali. Sambil itu, matanya melilau mencari tuan badan yang entah di mana sejak tadi.

Dia akhirnya menyusur ke bilik air. Dia melihat susuk tubuh yang dicari sedang tersandar ke dinding tidak sedarkan diri. Terus dia dekati tubuh longlai tuu.

"Declan!" Damien memangil nama abangnya. Dia menepuk-nepuk pipi Declan berharap dia akan sedarkan diri. Masalahnya, dia memang sedar, bukan koma atau tidak bernafas. Dia separuh sedar. Mamai?

Damien dapat mencium bau busuk arak di pakaian Declan. Sah, dia mabuk! Ah, buat masalah betul!

"Kau janganlah buat Mummy risau!" Damien bersuara separuh menjerit.

Declan hanya memandang kosong padanya.

"Declan! Bangun!" Dia menggoncang-goncang pula badan abangnya.

"Sial! Tak usah campur hal aku!" Dengan wajah bengis, Declan menolak kasar badan Damien lalu meludah ke sebelah.

Jijik.

***

Damien tersandar di kepala katilnya. Dia cuba bertenang. Namun entah kenapa hatinya berasa resah sekali. Sesekali dilihatnya pintu bilik, berfikir untuk keluar dan menjenguk Declan di bilik tidurnya. Keadaan Declan membuatkan dia risau.

Sudah lama Declan tidak bersikap begini. Dua tahun lepas, dia memang seorang kaki botol. Tetapi dia beruntung kerana mempunyai seorang adik dan ibu yang mengambil berat tentangnya. Dia akhirnya meninggalkan semua perkara lalu dan berjalan ke arah tuju yang betul.

Dan kini, dia kembali lagi. Jam 10 malam tadi, dia mendengar suara Mummy berteriak dan bertekak dengan Declan. Entah apa yang diperang mulutkan. Sungguh, dia benci untuk mendengar, apatah lagi melihat di depan matanya!

Damien mengeluh. Banyak betul dugaan yang dia hadapi sepanjang dia hidup 18 tahun di bumi. Dari masalah dirinya sendiri, sehinggalah masalah orang terdekat. Sudahlah kini hubungan dia dengan abangnya, Declan tidaklah bagai isi dengan kuku seperti dahulu.

Jam terus berdetik perlahan. Jarum pendek melunjur pada nombor 11. Damien cuba untuk melelapkan mata selepas menekan suis lampu di sebelah. Dia kosongkan fikiran dan mindanya. Lalu, dia mula menyelam ke alam bawah sedar selepas sebelas minit kemudian.

Nyenyak, dan senyap.

***

Damien membuka matanya perlahan-lahan. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Rasa sejuk menyelubungi diri. Angin yang bertiup di wajahnya terasa amat dingin.

Dia yang dalam posisi berbaring itu segera membetulkan duduk. Dia sedar yang dia kini sedang duduk di atas padang hijau. Di atas padang pula terdapat helaian-helaian daun kuning yang gugur dari atas pokok.

Dia mula berasa sejuk yang teramat. Hidungnya terasa sejuk dan lembap. Pakaian yang terlekap di badannya tidak cukup untuk menghangatkan badannya. Hujung jarinya kelihatan berwarna merah jambu, dan jarinya mula menggigil kesejukan. Aneh, walhal waktu ini bukanlah musim sejuk.

Damien bangun dari duduknya. Kotoran pada pakaian disapu-sapu dengan tangan. Matanya melilau lagi di sekeliling. Mencari-cari jika ada sesiapa bersama dengannya. Dan di sebalik pokok-pokok besar yang daunnya kuning gugur, dia dapat melihat satu susuk tubuh anak kecil. Seperti seorang kanak-kanak perempuan sedang mengintainya di sebalik pokok.

Damien berjalan perlahan mendekati anak kecil itu. Telinganya dapat mendengar suara tawanya yang comel. Anak kecil yang bersembunyi di belakang pokok itu juga cuba mendekati Damien dengan perlahan.

Damien dapat melihat wajah kecil kanak-kanak itu. Tubuhnya hanya separas pinggang Damien. Wajahnya tampak girang. Rambutnya diikat dua di kiri dan kanan. Dia mengenakan gaun merah separas betis. Tali kasutnya diikat kemas dengan sempurna. Dia membawa beg sandang berwarna putih.

"Hei." Damien memanggil anak kecil tersebut sambil tersenyum. Sebelah tangannya dilambai kepadanya.

"Nal." Anak kecil itu membalas sambil tersengih menampakkan barisan giginya. Dia menekapkan tangan kananya di dada.

"Nal? Namamu Nal?" Damien bertanya, dia pasti yang anak kecil itu menyebut nama panggilannya sendiri. Seketika, anak kecil tersebut mengangguk berkali-kali.

Damien merebahkan lutut ke atas tanah, kini dia berada separas dengan Nal.
"Mana ibu? Hmm?" Damien menyoal.

Kali ini, Nal menggelengkan kepalanya berkali-kali. Dia memandang wajah Damien dengan senyuman yang tidak pudar di bibirnya. Damien pula mengerutkan dahi.

Nal menanggalkan beg sandangnya dan diletakkan di bawah. Dia melutut, dan mula membuka zip beg dengan berhati-hati. Tangannya mencapai baju sejuk hitam bersaiz dewasa. Dihulurkan baju itu kepada Damien.

Damien memandangnya pelik. Dia memandang wajah Nal dan baju sejuk di tangannya berkali-kali. Dia melihat Nal mengangguk. Sudah. Damien tidak punya alasan, dia sendiri sudah berasa sejuk bukan kepalang. Tangannya menerima huluran Nal, walaupun masih dalam keadaan teragak-agak. Terus dipakai baju tersebut ke badannya. Sesuai, memang sesuai dengannya.

"Terima kasih, Nal."

Bibir merah kecil itu tersenyum manis lagi. Tanpa sempat Damien berkata-kata lagi, Nal mengambil begnya, bangun berdiri dan terus berlari di sebalik pokok-pokok besar itu. Anak mata Damien cepat memerhati setiap gerak-geri Nal sehingga dia hilang dari pandangan.

Siapa Nal?

***

The BLAKUGOSWhere stories live. Discover now