09 • Tua

27 6 1
                                    

Nenek Gwen mengait kain sapu tangan itu dengan berhati-hati. Benang-benang berwarna putih dan merah diikat dan dicantum bersama membentuk corak pada kain. Dia tidak penat malah berasa seronok dan tenang melakukan hobinya petang itu.

Sudah banyak kain sapu tangan bermacam-macam jenis yang dikait dikumpul di dalam bakul. Semua itu adalah tempahan daripada pelanggan di kawasan perumahan ini. Selain bekerja di dobi berdekatan rumah, itu jugalah pekerjaan yang menampung wang bulanan mereka.

Masih dia ingat sewaktu dia muda dahulu, dia sudah mula berminat dalam kerja-kerja sebegini. Di sekolah dulu pun, dia pernah bercita-cita menjadi seorang pereka fesyen, paling tidak pun seorang tukang jahit. Namun, hajatnya yang tinggi menggunung itu tidak kesampaian apabila dia terpaksa berhenti belajar di sekolah tinggi pada usia 15 tahun.

"Gwen, maafkan ibu. Melayan di bawah tapak kaki orang tinggi lebih baik berbanding mendaki bukit berbatu tanpa peralatan yang cukup. Kita orang susah, nak."

Gwen mengangguk. Hatinya sedikit terluka mendengar kiasan ibu, tetapi akal bijaknya lebih pandai menguasai diri. Dia faham akan masalah kewangan keluarganya. Dia yakin bahawa tindakannya untuk berhenti sekolah sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban ibu dan ayah.

Lamunannya terhenti apabila pintu biliknya dikuak perlahan. Ellise melangkah masuk ke dalam bilik. Langkah diatur mendekati nenek lalu punggungnya direbahkan di birai katil nenek.

"Nenek, hmmm. Boleh Ellise tanya sesuatu?" Ellise bersuara. Suaranya kedengaran agar bergetar.

"Tanyalah."

"Tentang... tentang mama Ellise. Boleh?"

Tangan Nenek Gwen yang asyik menarikan-narikan jarum dan benang itu terhenti. Nenek berpaling menghadap wajah Ellise.

"Apa yang Ellise ingin tahu?"

Ellise bisu seketika, dia menarik nafas sebelum mula berbicara.

"Mama Ellise. Ellise tak pernah lihat dia. Nenek ada mana-mana gambar dia?"

Nenek Gwen terdiam mendengar persoalan Ellise.
"Kenapa.. Ellise mahu lihat gambarnya?"

Ellise mengeluh kecil.

"Semua orang pernah lihat wajah mama dan papa mereka. Walau yang sudah meninggal sekalipun, mereka tetap berasa kehadiran orang tua mereka bila lihat gambar, bukan? Tapi, Ellise tak pernah. Langsung tak pernah. Nenek Gwen tak pernah ada gambar mama? Betul?"

***

Ellise menarik selimutnya menutupi badannya dari kaki sehingga ke bahu. Dia mencapai bantal peluk yang lembut di sisi lalu disembamkan mukanya.

Hatinya berasa pilu. Mungkin dia kecil hati dengan nenek. Nenek Gwen memberi alasan yang langsung tak munasabah. Katanya dia lupa di mana letaknya gambar-gambar lama. Album di dalam rak pun sudah lama dipindahkan dan disimpan di tempat lain. Entah betul atau tidak, atau mungkin Nenek Gwen hanya membuat helah.

Tidak, dia tidak menangis, cuma dia kecewa. Kecewa dengan tindakam nenek. Mengapa Nenek Gwen lakukannya begitu?

Dia sebagai seorang anak, berhak untuk melihat wajah ibu yang melahirkannya. Dia sedar, mamanya itu langsung tidak kisah akan dirinya. Dia sendiri tidak tahu mengapa panggilan 'mama' diwujudkan di antara dia dengan ibunya. Namun, dia masih berharap jika dia dapat melihat wajah mama.

Dia tidak kisah jika tidak berjumpa jasad mama di depan mata, dia hanya mahu melihat melalui lensa dan gambar hitam putih. Sekadar melihat, salahkah?

Semakin lama dia memikirkan tentang gambar mama, semakin berat matanya untuk berjaga. Dengan perlahan dia mula hanyut dalam mimpi yang dipisah dengan realiti.

11:11

***

Ketika itu, Ellise sedang duduk berteleku berseorangan. Di atas padang rumput yang menghijau. Cuacanya sangat cerah, pokok besar hidup dengan subur. Sinaran putih dari atas langit benar-benar menyilaukan. Matanya sakit setiap kali dia cuba mendongak ke atas. Ellise menyelak rambutnya ke belakang telinga setiap kali angin meniup deras dari barat.

Kabus sejuk memeluk melingkari tubuh kecilnya. Dari jauh, telinganya menangkap bunyi manusia sedang berbicara sayup-sayup. Matanya melilau mencari sesuatu yang boleh dilihat dari celah-celah kabus memutih. Tangannya melibas lembut bagi menghilangkan kabus berbayu itu.

Beberapa ketika kemudian, di depannya, tersembul satu figura dengan pakaian putih segak. Seorang lelaki, agak tua, tetapi tidak begitu lanjut kerana badannya masih tegak dan mukanya mempamerkan senyuman melalui bibirnya. Dia agak-agak lelaki itu dalam lingkungan 40-an.

"Selamat malam, cik muda." Bibir lelaki itu menutur kata dengan lembut.

Ellise berkerut dahi. Malam?

"Selamat pagi...?" Ellise bersuara, masih dalam kebingungan. Lelaki itu pula masih tersenyum ke arahnya.

"Sangat cerah bukan malam ini?" Lelaki itu mendongak ke langit.

Ellise turut mendongak. Ya, memang cerah. Dia dapat lihat mentari masih memancarkan sinaran dari nun jauh di sana. Bukankah ianya waktu pagi? Atau tengah hari?

Ellise mengalihkan pandangan ke wajah lelaki itu. Mukanya putih bersih. Suci, sungguh.

"Siapa... Siapa kamu?" Ellise bertanya dalam keadaan teragak-agak.

Lelaki itu hanya tersenyum tanpa membalas persoalannya. Dia masih membekukan senyuman di wajah. Matanya mula mencari anak mata Ellise, memandang tepat ke jiwa dalamnya.

"Benar. Benarlah coretan berkata, jika mereka tidak peduli, maka bilangan akan bertambah sehingga lemah ke bawah tanah."

Ellise semakin kebingungan. Apa? Apa maksudnya? Dia langsung tidak faham dengan kata-kata lelaki itu. Adakah dia sedang memberi kiasan dan gambaran? Jika benar, maka kiasan itu sungguh sukar baginya untuk dileraikan dan didalami.

"Apa? Apa maksud kamu?" Ellise menyoal lagi, persoalannya sebelum ini dibiarkan berlalu tanpa berjawab.

"Biarlah jika hasrat kamu tidak di tangan sekalipun, jagalah hati yang menjaga hati kamu selama lapan belas di bumi.

Sanggupkah kau abaikan angin yang mendarat, walau ia ringan dan tidak nampak di mata, mungkin ada baiknya untuk dalam jiwa.

Kau bukan tidak faham, mungkin kau masih di luar, sedang dibawa laut yang berombak deras. Sedarlah."

Ah, semakin lama lelaki itu berbicara, semakin tidak faham dia.

"Salahkah jika aku tidak faham bicara kamu?"

Untuk kesekian kalinya, senyuman meleret di bibir lelaki itu.

***

The BLAKUGOSWhere stories live. Discover now