06 • Igau

41 12 0
                                    

Damien membisu. Telinganya ditekapkan pada daun pintu di hadapan. Dia cuba menangkap apa-apa bunyi dari luar, namun hampa. Bunyi bising yang merupakan ketukan bertalu serta laungan 'Daddy' tadi sudah senyap.

Damien teragak-agak untuk memulas tombol pintu di dalam genggamannya. Jarinya yang masih terketar-ketar itu akhirnya memulas juga tombol pintu itu. Namun ia tersekat. Bagaikan ia melekat dengan gam kekal, tombol pintu itu gagal dipulas walaupun sudah berkali-kali dicubanya. Sejak bila pula pintu dikunci dari luar? 

"Mummy? Mummy?!"

Tiada jawapan.

"Anyone?!"

Sunyi.

Damien berundur seketika selepas dipulasnya tombol itu berkali-kali. Nafas ditarik dan kudratnya dikumpul. Dia mengangkat kaki kanannya separuh. Dalam kiraan tiga, pintu bilik itu ditendang sekuat hati. Gagal. Dicubanya lagi sekali, tetap gagal. Pintu yang biasa-biasa sahaja itu dirasakan seperti dinding batu yang gah berdiri, kakinya pula yang sakit.

Matanya meliar ke seluruh biliknya, mencari-cari jika ada objek yang boleh digunakan untuk membuka pintu. Kayu baseball? Penyangkut baju? Ah, setan! Semuanya tidak berguna!

Damien cuba bertenang. Rambutnya dikuis ke belakang kepala, serabut! Dia menoleh ke arah tingkap yang baru ditutup tadi. Damien tahu apa yang bermain di fikirannya, walau dia sedar risiko yang bakal menimpa. Dia berada di tingkat tiga. Jikalau dia tidak boleh lompat, jalan lain pula akan dicarinya.

Dia bergerak ke arah rak buku setinggi 7 kaki bersebelahan meja belajarnya. Ruangan paling atas digeledah, dicapainya satu kotak besar.  Ada beberapa barang lama yang disimpan. Segulung tali tebal dikeluarkan.

Kaki melangkah ke arah tingkap, langsir tingkap dinaikkan. Tangannya pula menarik kunci tingkap dan membukanya serta-merta. Dia menyangkut salah satu hujung tali itu pada pemegang bawah tingkap lalu menyimpulkannya dengan ketat.

Satu lagi hujung tali itu dilempar ke luar. Damien memanjat tingkap separas dadanya itu. Kedua-dua belah kakinya cuba diseimbangkan. Dia menggenggam erat tali yang digantung itu. Perlahan-lahan kakinya diturunkan dan dilekapkan pada dinding luar rumah itu.

Satu langkah,

Dua langkah,

Tiga langkah,

Empat langkah,

"Damien."

Damien menoleh ke bawah dan sekelip mata sahaja badannya ditarik laju oleh dua tangan asing menyebabkan dia hilang keseimbangan.

***

'Bbuk!'

"Argghhh!"

Suara Ellise memecah kesunyian malam. Dia mengerang kesakitan sambil kedua-dua tangannya memegang lutut kirinya, menahan sakit. Pedih! Amat pedih!

Dia jatuh tersungkur ketika berlari di tengah malam buta ini. Siapa sahaja yang dapat melihat batu-batu di tengah jalan itu dalam samar-samar begini?

Lututnya mencecah jalan tar dan terseret laju. Seluar di bahagian lutut terkoyak. Terasa bagaikan daging dalamnya disisih dengan sebilah pedang tajam. Ellise mengerang. Butir berair keluar dari tubir matanya.

"Ell."

Satu suara lembut menyapa di telinga kanannya. Ellise tersentak.

"N- Nenek Gwen?"

" ... " Senyap.

"Nenek?"

Mana nenek? Bukankah tadi suara nenek yang menyapanya?

Ditolehnya ke belakang beberapa kali, namun langsung tiada kelibat sesiapa. Ellise menggagahkan diri untuk bangun berdiri semula. Disapu kedua-dua belah tapak tangan. Tahulah dia bahawa lutut kirinya itu berdarah kerana terasa cecair pekat pada tangannya itu.

Ellise berjalan ke arah sebatang pokok besar berdekatan. Dia duduk melepaskan nafas yang tercungap-cungap selepas penat berlari tadi. Peluh di dahi disapu dengan belakang tangan.

Dalam hatinya pula terdetik di manakah Nenek Gwen berada. Pandangan ditoleh ke belakang, dari laluan dia berlari tadi. Entah berapa kilometer dia melangkah tadi, sumpah, dia penat.

Ellise terduduk di atas akar-akar banir pokok besar itu. Keluhan dilepaskan, dan dengan sepantas kilat, kepalanya dihempas dengan semacam batu keras dari belakang.

***

Ttok ttok ttok !

Damien tersedar. Dibuka kedua-dua belah matanya perlahan-lahan. Agak perit apabila cahaya silau dari tingkap menusuk matanya itu.

Kepalanya terasa berpusing. Dia memegang dan mengurut kepalanya yang terasa berat itu. Mimpinya malam tadi terasa lain. Seperti bukan mimpi yang biasa kerana auranya sampai ke realiti.

"Damien!" Declan memanggil.

Damien menoleh pada pintu yang masih terkunci itu. Nafasnya dihempas kasar apabila menyedari kehadiran abangnya.

"Bangunlah, bersiap, dan turun ke bawah!" Declan mengarah.

Damien tidak menjawab. Jam dinding dikerlingnya, sudah jam 8.24 pagi. Dia menarik selimut lalu menutupi seluruh badannya. Masih dia rasakan sejuk yang menggigil pada badan akibat demam. Dia berura-ura untuk menutup mata dan menyambung lenanya, namun ketukan pada pintu semakin kuat berbunyi.

Nah, seperti mimpinya semalam.

Damien merengus kasar lagi. Dia bangun perlahan-lahan sambil memegang kepalanya yang masih memberat itu. Kakinya perlahan-lahan melangkah ke pintu.

Damien membuka pintu dan memandang muka Declan dengan riak tidak puas hati.

"Apa hal?" Declan bersuara dahulu.

"Apa hal dengan kau? Tak reti nak bangun? Ingat dah mati." Declan bersuara pula.

Damien tak membalas. Bukan kerja dia untuk bertekak dengan abangnya pagi-pagi. Dia tak mahu menambah sakit yang sudah menyelubungi dirinya ketika ini.

"10 minit. Mummy sedang tunggu kau di bawah." Declan berkata sambil merenung anak mata adiknya, Damien.

"Kenapa Mummy tak naik dan jumpa aku sendiri?" Damien bertanya sayu. Sudahlah dia dalam demam.

"Kau masih fikir kau ialah anak kecil yang perlu dimanjakan, ya?"

"Aku tak cakap macam tu." Damien berkerut dahi, bengang dengan kata-kata Declan.

"Maybe kau fikir macam tu." Declan akhiri kata-katanya lalu beredar turun ke bawah, menuruti Mummy di dapur.

Seraya itu juga Damien menutup pintu biliknya dengan kasar. Dia terus mencapai tuala dan kakinya melangkah ke bilik mandi.

***

The BLAKUGOSWhere stories live. Discover now