[5]

428 78 0
                                    

ENAM bulan berlalu sejak kejadian itu.

Matahari terik. Angin mati. Trak kecil Nell bergerak perlahan menyusuri jalan sempit yang tidak berturap. Debu-debu berterbangan di sepanjang laluannya. Burung-burung gagak hitam berlegar di langit, mengelilingi sebuah lautan pokok jagung yang berwarna perang.

Budak itu menghentikan kenderaannya di sisi jalan. Pandangannya diarahkah kepada ladangnya yang tidak seberapa besar itu. Tanaman-tanaman layu tunduk menyembah bumi. Beberapa ekor burung gagak bertenggek di atas bahu orang-orangan yang telah usang. Seekor sedang mematuk-matuk helaian jerami yang terburai. Kawanan yang lain berkumpul di atas sebatang pokok besar yang sudah tidak berdaun, yang merupakan satu-satunya pokok yang ada di situ. Kawasan itu kini sudah menjadi milik mereka.

Bahang panas di kejauhan seakan-akan gelombang air yang bergerak perlahan. Langit tidak berawan. Dataran Besar, sebuah negara yang dulu terkenal dengan hasil ternakan dan ladang-ladang yang subur, kini hampir menjadi gurun sejak terkena wabak misteri itu. Kemarau telah memburukkan lagi keadaan. Tanah yang dahulunya menghijau, kini telah garing dan merekah.

Seekor gagak hinggap di bonet hadapan traknya. Untuk beberapa ketika, burung itu memandang Nell dari sebalik cermin tanpa bergerak. Budak itu membalas renungannya dan mula menyedari sedikit keanehan pada haiwan itu. Anak matanya berwarna ungu. Gagak itu terbang sebelum sempat Nell menelitinya dengan lebih lama.

Pada masa itu, trak-trak tentera kelihatan dari jauh. Nell terus menekan pedal minyak dan memecut ke ke klinik sebelum mendapat masalah daripada mereka.

Nell dan Irena kini lebih kerap berada di klinik peninggalan Martin untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Semakin banyak pesakit yang menghujani. Mereka cukup tahu bahawa di sini tiada penawar, tetapi inilah satu-satunya tempat yang dapat memberikan sekurang-kurangnya sedikit kelegaan kepada kesakitan mereka.

Televisyen kecil yang berada sudut bilik menunggu masih menayangkan berita tentang pemecatan Presiden negara ini atas pelbagai kesalahan, termasuklah rasuah dan ketidakupayaan beliau mengatasi wabak yang kian parah ini. Dia bersama-sama kebanyakan orang bawahannya telah dibicarakan dan akan dipenjarakan. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan sebahagian besar rakyat yang tidak percaya akan berita tersebut. Kumpulan-kumpulan pemberontak menjadi lebih agresif.

Suasana sedikit sibuk di bahagian bilik rawatan semasa Leon pulang. Nell yang berada berhampiran pintu hadapan mengekori Leon dengan anak matanya. Rakannya itu hanya melirik sekilas ke arah kaunter yang dipenuhi orang sebelum naik ke rumahnya yang berada di bahagian atas klinik.

Senyap-senyap, Nell menyusuli Leon. Dia terus membuka pintu bilik rakannya. Leon yang ketika itu sedang mencari sesuatu di dalam laci mejanya terus terperanjat.

"Nell, lain kali ketuk pintu dulu..." Leon kelihatan tenang semula.

Nell hanya diam memerhatikan lelaki itu dengan pelbagai perkara yang berlegar di dalam kepalanya.

Leon berhenti menyelongkar lacinya apabila terperasan akan reaksi Nell itu. "Ada apa?"

"Kebelakangan ni kau selalu hilang. Kau pergi mana?"

"Cari benda untuk kita makan, dan ubat-ubat untuk klinik ni. Ada masalah ke?" Leon mula berasa tidak selesa dengan pertanyaan itu.

Nell mengeluarkan sebuah pemacu pena dari kocek seluarnya. "Kau cari ni, kan?"

Air muka Leon terus berubah. Pantas dia merampas benda itu dari tangan Nell. "Lain kali kau jangan pandai-pandai kacau barang aku," ujarnya berbaur marah. Benda itu terus dimasukkan ke dalam beg yang digalasnya. "Aku ada hal. Kalau ada apa-apa masalah kat klinik, kau telefon aku." Leon segera keluar dari biliknya tanpa mengendahkan Nell yang berdiri di situ.

"Kau dah sertai pasukan pemberontak, kan?" Soalan yang telah lama ditahan Nell akhirnya terbit juga.

Langkah Leon terhenti sebelum sempat dia menuruni tangga. Dia menoleh kepada Nell yang sedang merenung tepat ke arahnya.

"Aku dah tengok semua benda dalam tu. Walaupun semuanya dalam bentuk kod yang aku tak faham, aku dah dapat teka sesuatu." Nell merapati rakannya beberapa langkah.

Leon mendongak ke siling. Matanya dipejamkan seketika. Dia tidak dapat membohongi Nell. Mereka sudah seperti adik beradik. Nell sememangnya sudah dapat membaca dirinya.

Leon mendepani rakan baiknya itu. "Kau nampak kan apa yang sedang terjadi di sekeliling kita? Kau pun nampak apa yang terjadi pada keluarga aku kan? Wabak dasyat ni makin bertambah buruk. Tiap-tiap hari makin ramai yang mati. Dalam keadaan macam ni, apa usaha yang kerajaan dah buat? Aku dah makin muak dengan alasan-alasan yang diorang bagi."

Leon berpaling semula ke arah tangga. "Sebelum aku sendiri mati sebab wabak ni, aku kena buat sesuatu. Aku dah penat dengan semua ni. Aku dah tak sanggup nak hidup macam ni."

Nell tidak bersuara disebabkan jawapan itu. Dia memandang belakang Leon dengan lama.

"Bagi aku ikut kau." Terkeluar permintaan itu dari bibir budak itu.

Leon menoleh pantas. Matanya membesar ke arah budak itu. Lelaki itu cepat menggelengkan kepalanya. "Tak boleh!"

"Aku pun tak nak duduk di sini dan sekadar tengok semuanya hancur. Aku pun nak buat sesuatu untuk kita semua. Tolong, Leon... bawa aku sekali. Biar aku berjuang sama-sama dengan semua orang." Nell bertegas.

Leon menatap mata budak itu. Dia tahu, Nell sememangnya degil. Tetapi dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada budak itu.

"Siapa cakap kau tak buat apa-apa? Kau ada keistimewaan luar biasa. Kau Parabrid. Kau takkan jatuh sakit. Dengan kelebihan yang kau ada, kau dapat tolong orang-orang kampung yang lain."

"Tapi... " Hati Nell meronta-ronta untuk pergi bersama.

" Nell... kau dah macam adik aku. Kalau boleh, aku memang nak kau ikut aku. Kita bebaskan negara ni sama-sama." Dia menggenggam kedua-dua belah bahu Nell. "Tapi sekarang bukan masanya."

Nell tidak membalas.

"Akan sampai waktunya nanti, kau akan gantikan kami berjuang untuk negara ni. Tapi buat masa sekarang, kau kena sabar dulu, bantu mak cik kau dan bantu orang-orang kat sini." Leon memegang kepala budak itu. "Boleh kan?"

Nell akhirnya mengangguk perlahan.

Leon merangkul budak ke dalam dakapannya. "Jangan bagitau Mak Cik Irena. Aku tak nak dia risau..."

"Jaga diri..."gumam Nell dan membalas pelukan itu seeratnya. 

PARAGONWhere stories live. Discover now