[48]

220 36 15
                                    

DERAP-derap kaki Memenuhi lorong yang sempit itu. Kelihatan seorang lelaki sedang berjalan di tengah koridor dan diekori oleh 4 orang tentera beruniform biru tua. Lorong itu seakan sebuah terowong berbentuk heksagon, dengan dinding yang berwarna putih serta jaluran-jaluran cahaya kekuningan di sepanjangnya.

Lelaki yang berketinggian 175 cm itu berhenti di hadapan sebuah pintu besi. Rambut panjang lurusnya berwarna merah dan dibiarkan lepas. Kulitnya cerah dengan hidung dan mulut yang ditutup dengan topeng hitam. Hanya mata biru jernihnya sahaja yang kelihatan. Wajahnya runcing. Dia memakai jaket bomber putih serta seluar berwarna jingga.

Lelaki itu mengimbas ibu jarinya pada panel sekuriti yang terdapat di sebelah pintu. Pintu yang berbentuk bulat di hadapannya terbelah dua dan menyelit ke dalam dinding. Di dalam ruang itu, terdapat lebih ramai tentera yang beruniform biru tua sedang berkawal. Mereka tabik hormat sebaik melihatnya.

Berpuluh bilik-bilik kurungan berada di sepanjang kiri dan kanan laluan. Tahanan-tahanan di situ dapat dilihat jelas di sebalik kaca tebal. Nombor-nombor besar separa lutsinar tertulis di atas permukaan kaca-kaca tersebut. Selain itu, ceper kecil berwarna merah terpasang pada tengkuk para banduan.

Lelaki itu merapati bilik tahanan bernombor 30 yang sepenuhnya putih. Seorang perempuan sedang duduk berteleku di bucu katil. Rambut panjang perangnya menutupi seluruh wajah. Dia memakai jumpsut berwarna merah yang merupakan baju seragam penjara. Perempuan tersebut hanya berkaki ayam.

Selepas lelaki itu memasukkan beberapa nombor pada panel hologram yang timbul di hadapannya, penghadang kaca itu melungsur laju ke atas. Dia melangkah masuk ke dalam dan berdiri di sebelah perempuan itu.

"Kau tak akan begitu sakit kalau kau tak melawan." Lelaki itu membuka bicara.

"Kenapa kau buat aku macam ni, Sarai...?" Suara perempuan itu perlahan dan menggeletar, namun berbaur amarah.

"Aku hanya ikut arahan." Jawab lelaki tersebut tanpa perasaan.

Perempuan itu menggenggam seluarnya. "Tergamak kau buat semua ni... kau sia-siakan kematian keluarga kau..."

Sarai hanya melemparkan pandangan kepada insan lemah di hadapannya tanpa sebarang balasan. Kemudian, dia memberikan isyarat kepada 4 orang tentera yang berada di belakangnya.

Dua orang tentera mengilas tangan perempuan itu ke belakang lalu menggarinya, manakala dua orang lagi terus menarik kasar perempuan itu. Wanita itu meronta, tidak rela dibawa pergi. Malangnya, cengkaman tentera-tentera itu terlampau kuat. Mereka terus rakus menyeretnya mengekori Sarai.

Akhirnya, mereka tiba di sebuah makmal yang luas dan berbentuk bulatan. Kawasan itu juga keseluruhannya putih. Silingnya setinggi 5 meter dan menyala begitu terang. Ada cermin gelap melengkung yang panjang di bahagian atas ruang tersebut. Di sebalik cermin itu terdapat sebuah bilik kecil yang digunakan untuk memantau keadaan di dalam makmal.

Beberapa buah meja yang dipenuhi panel elektronik terdapat di dalam makmal. Enam skrin besar tergantung pada dinding. Monitornya memaparkan maklumat yang sedang diteliti oleh beberapa orang jurutera dan saintis di situ. Mereka berseragam putih dengan logo UMBRA pada bahagian dada, serta seluar dan kasut hitam.

Beberapa orang lagi saintis sedang mengemas barangan-barangan yang bertaburan dan bersepai di lantai. Makmal itu seperti baru sahaja disepahkan oleh seseorang. Banyak alatan yang rosak dan pecah.

Seorang perempuan lewat 50-an juga berada di dalam bilik itu. Wajah bulatnya tampak muda dari usia. Dia berkulit cerah. Rambut kuning kecoklatannya disanggul kemas di belakang leher. Bibirnya tercalit gincu merah garang. Dia tidak begitu tinggi, hanya sekitar 150 cm sahaja, tetapi cuba menutup kekurangan itu dengan kasut tumit tinggi. Pakaiannya formal dan kemas, lengkap dengan kot kelabu.

PARAGONWhere stories live. Discover now