[47] Tanah Lama

218 39 3
                                    

KAIO memandu Panthera dengan laju

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

KAIO memandu Panthera dengan laju. Di hadapan mereka, cahaya-cahaya lampu jalan semakin jelas. Pemuda itu dapat melihat samar-samar tembok yang luar biasa tinggi dan tebal. Ketinggiannya lebih kurang 200 meter. Sebuah pintu besi agam terpasang kukuh pada tembok itu.

Sonny masih lagi membalut abdomen Auvo yang dipenuhi kecederaan. Dia sempat melirik ke arah Rintana yang setia menyentuh dinding besi Panthera dengan kedua-dua belah tangannya. Budak perempuan itu terlihat sedikit lelah.

Auvo mengarahkan tangannya ke arah pintu gerbang besi tersebut. Ia beransur-ansur terbuka. Mereka menuju ke hadapan dengan penuh debaran. Sedikit demi sedikit, mereka dapat melihat kawasan di sebelah sana.

Semakin banyak trak-trak askar dan helikopter-helikopter yang datang menyusul di kawasan sempadan itu. Kaio menekan pedal minyak hingga hampir menyentuh lantai. Mereka harus meninggalkan kawasan 'panas' itu sejauh mungkin.

Panthera menyelusuri jalan tar yang sudah hampir dilitupi rumput kering sepenuhnya. Mereka melintasi sebuah papan tanda besar yang sudah condong, berkarat dan remuk. Di atasnya tertulis 'Selamat datang ke Tanah Lama'.

Hampir 1 jam kemudian, kelibat-kelibat tentera sudah tidak kelihatan. Rintana berhenti menggunakan kuasanya. Budak itu terduduk keletihan. Dia sedikit tercungap-cungap, namun tersenyum sedikit apabila melihat Sudha yang menunjukkan ibu jari kepadanya. Sudha menghembus nafas lega kerana mereka berlima, terutama anak perempuannya telah selamat.

Malam kian pekat. Walaupun dengan cahaya yang terhad, mereka masih mampu melihat jalan yang dituju dengan samar-samar. Semakin banyak pasir-pasir halus yang berterbangan bersama laluan kenderaan mereka.

"Semua pelan kita hancur sebab perempuan tu... kalau lah aku dah Sonny tak bodoh sangat pergi ambil dia kat tepi jalan haritu..." Kaio bernada kesal.

"Jangan salahkan diri kau. Kitorang pun tak dapat nak cam dia. Lustina memang licik." Balas Sudha

"Tapi... kenapa dia tak bunuh je kita terus?" Aju Sonny yang sudah bersandar di dinding. "Dia boleh je letak racun dalam makanan yang dia masak tu."

Muka Sudha berkerut memikirkan telahannya sendiri. "Aku rasa, ada arahan yang buatkan dia tak boleh bunuh kita. Kalau tak, itu benda pertama yang dia akan buat. Mungkin ada antara kita yang diperlukan Rengeiz hidup-hidup. Jadi, Lustina cuba dapatkan kepercayaan kita sebelum dia perangkap kita bila kita leka."

"Diorang berjaya tangkap Wulan..." Rintana bersuara sedih.

Suasana menjadi sepi. Ruang itu jelas dipenuhi dengan kegelisahan dan kekecewaan yang tidak terungkap.

"Macam mana dengan Nell dan Azaka?
Kita kena selamatkan diorang jugak." Kaio tidak boleh berhenti memikirkan tentang dua orang itu.

"Kau ada idea yang bernas ke?" Sudha merapatkan wajahnya sinisnya kepada Kaio. "Kalau takde, kau teruskan memandu. Kita kena selamatkan diri kita dulu sebelum selamatkan orang."

"Jadi, kalau diorang mati pun kau tak kisah?" Celah Sonny dengan nada memerli.

Auvo yang sedang tersandar di sudut kenderaan memandang ke luar tingkap seketika.

"Azaka akan cari jalan. Nell tu pun bukannya lembik sangat." Suara Auvo yakin. Tetapi hatinya juga penuh dengan ketidak pastian.

_________________________________________

Nell melangkah keluar dari helikopter yang sudah membuat pendaratan kecemasan 5 minit yang lalu. Jauh dari situ, terlihat kepulan asap daripada dua buah lagi Pepatung Perak yang telah terhempas dan meletup kerana berjaya ditembak Azaka dalam adegan kejar-mengejar yang berlangsung selama hampir satu jam. Kegelapan malam hanya diterangi sedikit oleh api dari Pepatung Perak yang sedang terbakar itu.

Gurun gersang terhampar seluas lautan, seakan tanpa penghujung. Tiada sebarang tanda-tanda kehidupan di situ selain ngarai-ngarai dan batu-batu gergasi yang berceracak menghias kawasan terpencil tersebut.

Azaka rakus menyelongkar kotak besi yang berada di bahagian belakang helikopter. Dia memasukkan beberapa paket makanan serta senjata ke dalam sebuah beg yang ditemuinya di situ. Beg itu digalas, lalu sebuah botol air bertali disandangnya. Perempuan itu mencapai kotak ubatan dan segera keluar mendapatkan Nell.

“Jom.” Azaka bergerak pantas sambil memerhatikan kompas di tangannya. 

Setelah jauh dia berjalan, barulah perempuan itu tersedar bahawa Nell tidak berganjak langsung dari tempat tadi. Budak itu hanya terpacak tegak memerhatikannya.

“Cepat. Kita tak boleh lama kat sini.” Azaka sekali lagi mengajak.

Nell masih lagi memandang perempuan itu. Wajahnya berkerut dan kelat. “Aku tak pasti samada aku patut percayakan kau.”

Azaka terdiam. Pandangan budak lelaki itu dibalas beberapa detik.

“Aku akan jelaskan semua. Tapi kita tak ada masa untuk tu sekarang. Kita kena bergerak.” Ujar Azaka.

“Setelah apa yang aku dengar dan tengok, macam mana kau fikir aku boleh percaya sepenuhnya kat kau?” Suara Nell perlahan namun serius.

Azaka memejamkan matanya. Satu keluhan berat dilepaskan. Perempuan itu dapat membaca emosi Nell yang semakin tegang. Dia berjalan semula ke arah budak itu dan berdiri di hadapannya.

“Nah.” Azaka memberikan beg galas tadi kepada Nell. “Semua senjata api ada kat dalam.” Dia menunduk dan menarik pisau belati yang terselit di butnya. Senjata itu juga turut dihulurkan kepada budak itu. 

Nell mengambil barang-barang itu dengan sedikit persoalan. 

“Sekarang aku tak boleh apa-apakan kau. Kuasa aku pun dah tak de.” Azaka menyelak lengan jaketnya dan menayangkan ceper merah yang tertanam tangannya. “Kalau aku cuba cederakan kau, kau boleh tembak aku.” Kemudian, perempuan itu menyerahkan pistol yang terselit di pinggangnya. 

“UMBRA yang suruh kau tangkap aku?” Kesangsian masih menguasai Nell.

Azaka mengusap mukanya. Dia memaki hamun Lustina di dalam hati. Perempuan itu tahu, keadaan akan menjadi lebih sukar. Nasihat Sudha kembali di ingatannya.

“Lagi lama korang berahsia, lagi buruk padahnya.”

Azaka merasakan amaran itu hampir menjadi kenyataan.

“Dengar sini. Aku tak tau apa yang Lustina dah cakap kat kau. Tapi kalau kau rasa aku ni ancaman untuk kau, aku nak kau fikir balik. Kalau aku memang ada kaitan dengan UMBRA, buat apa aku nak menyusahkan diri aku untuk bawak kau merentas semua tembok-tembok tu. Lagi senang aku suruh je diorang datang ambik kau kat Bandar Tembaga lagi.” Azaka memberikan justifikasi.

Nell berdiam diri. Dia berharap kenyataan itu benar. Namun separuh lagi dirinya mengatakan bahawa ini mungkin hanya taktik perempuan itu.

“Aku cuba bagitau kau segalanya masa dalam hutan tempoh hari. Tapi masa tu kau nampak macam belum bersedia. Sekarang ni, kita kena pergi dari sini sebelum dikesan. Bila dah jumpa tempat yang betul-betul selamat, kau tanyalah apa yang kau nak.” Jelas Azaka lagi.

Nell menatap tepat ke wajah Perempuan itu. Saat ini, dia kembali ingat akan surat-surat yang pernah ditulis oleh mak ciknya itu. Jika benar Azaka ini berniat jahat, mengapa mak ciknya begitu berharap pada perempuan ini? Atau Irena juga sudah tertipu?

Azaka melekapkan kedua telapak tangannya dan mengangkatnya separas muka. “Tolong, kita pergi dari sini?” 

Budak itu tidak membalas, namun dia mula melangkah ke arah yang dituju Azaka tadi. Dia mengambil keputusan untuk mengikut kehendak perempuan itu kali ini, tetapi dengan waspada. Azaka menghembus nafas lega lantas mengekori Nell dari belakang.

Malam yang semakin larut seakan mati. Hanya ada bunyi tapak kasut mereka yang menunjal pasir. Hampir 100 meter mereka berjalan, Nell terdengar sesuatu yang berat terjatuh di belakangnya. Budak itu segera menoleh.

Azaka telah tertiarap tidak bergerak.

PARAGONWhere stories live. Discover now