[20]

295 64 0
                                    

SUDAH hampir satu jam dia berada di dalam bilik bacaan. Kaio tekun di meja kayu besar yang terletak di tengah-tengah bilik itu. Cahaya lampu meja menjadi peneman di kala malam yang kian larut.

Jari-jemarinya memegang kemas sebatang pensel, pantas melakar sesuatu di atas kertas. Dia menguap. Matanya sudah mulai berat, namun dia harus menyiapkan lakaran itu sementara ideanya masih mencurah-curah.

Dia menolak kerusi dengan punggungnya dan bangun. Lelaki itu melangkah ke arah rak di sebelah kanannya, membelek buku-buku lama yang tersusun kemas.

Seketika kemudian, jari telunjuknya pantas menguis keluar sebuah buku berkulit keras yang sudah lusuh. Kaio menghembus habuk tebal yang menutupi tajuk buku tersebut. Warna emas pada huruf-hurufnya juga telah hampir hilang.

Matanya terpandang sebuah buku tulis lama yang turut berada di atas rak itu. Perlahan-lahan dia mencapainya. Dia merenung buku itu seketika sebelum melonggarkan tali yang mengikat buku itu.

Muka surat buku yang kekuning-kuningan itu diselak satu-persatu. Lakaran-lakaran mekanikal memenuhi setiap helaian. Kaio terus menyelak lagi buku itu sehinggalah dia terjumpa sekeping kertas berlipat yang terselit di dalamnya. Kertas itu diambil, kemudian dia membuka lipatannya dengan cermat.

Sebuah peta lukisan tangan terpampang di hadapannya. Pelbagai butiran dan maklumat dicoretkan pada gambar itu dan beberapa nota dicatatkan di bahagian kanan kertas. Kaio merenung peta yang sudah berkali-kali dilihatnya. Kenangan-kenangan bersama ayahnya muncul kembali.

"Mungkin dah sampai masanya saya tunaikan amanah ayah..."

Lelaki itu mencapai telefon bimbitnya. Nama Azaka ditekan. Satu mesej dihantar.

_________________________________________

Jalan raya sesak. Suasana bingit dengan pelbagai bunyi. Kekurangan tumbuhan dan asap-asap karbon monoksida di sekeliling membuatkan bahang makin terasa biarpun hari sudah gelap. Malam yang hitam disirami dengan lampu-lampu daripada kenderaan-kenderaan di atas jalan raya. Bangunan-bangunan yang usang dan tinggi turut melimpahkan kilauan. Papan-papan tanda kedai dan lampu kelip-kelip memenuhi segenap ruang pada bangunan-bangunan tersebut.

Di Bandar ini, manusia berpusu-pusu ke sana dan ke mari. Segerombolan mereka melintas persimpangan besar jalan sebaik lampu pejalan kaki bertukar hijau. Sebuah televisyen gergasi tergantung pada bangunan yang betul-betul menghadap lintasan belang itu.

Sonny bersandar pada dinding bangunan yang berhampiran dengan lampu isyarat tersebut sambil memerhatikan orang ramai yang sentiasa terkejar-kejar entah ke mana. Lubuk rezeki berada betul-betul di hadapannya. Biasanya ketika mereka bersesak di hadapan lampu isyarat, ketika itulah dia dengan pantas dan senyap mencapai apa sahaja barang berharga yang dapat ditangkap oleh pandangannya. Namun hari ini entah mengapa, dia tiada rasa untuk melakukan semua itu.

Iklan kereta terbang terbaru terpampang di merata-rata, memenuhi kebanyakan papan iklan bersaiz mega. Sonny hairan mengapa iklan-iklan tersebut perlu ditayangkan di sini di mana rata-rata penduduknya cuma tinggal di rumah pangsa dan setinggan. Tidak ada di antara mereka di situ yang mampu membeli kereta tersebut walaupun membayarnya seumur hidup.

Televisyen besar yang tergantung menghadap simpang itu masih lagi menyiarkan berita tentang serangan yang dilakukan oleh pemberontak di negara-negara utara. Khabarnya keadaan masih terkawal dan kerajaan berjaya membuat pihak pemberontak berundur buat sementara waktu. Nama Pako Sairus, lelaki yang dipercayai mengetuai pasukan pemberontak 'Mavericks' itu diulang-ulang beberapa kali.

Orang ramai hanya berlalu tanpa benar-benar menghiraukannya. Mereka tahu, kebanyakan laporan yang disampaikan itu lebih banyak dimanipulasi oleh pihak kerajaan. Mereka sendiri sudah tidak pasti yang mana benar dan yang mana palsu.

Jam tangannya menunjukkan pukul 11 malam. Sonny mendongak ke langit. Bintang-bintang langsung hilang dilitupi silauan lampu-lampu dan asap-asap kilang yang berkepulan tanpa mengira malam atau siang. Hari ini genap 15 tahun dia terpisah dari seluruh ahli keluarganya. Dia tahu, suatu hari nanti dia juga perlu keluar dari sini.

Beberapa buah kapal terbang tentera muncul di ruang udara. Sebuah kapal terbang 'Pemerhati' turut mengekori dari belakang. Kapal terbang berbentuk bujur dan nipis itu terbang dengan agak rendah dan lampu-lampu di bahagian bawahnya menyuluh ke serata bandar, ibarat mata yang memerhatikan segalanya.

Sonny benci kapal terbang itu. Sudah banyak kenalan di kawasan perumahannya yang miskin itu telah ditangkap kerana kapal terbang tersebut.

Dalam diam dia bertekad, dia perlu lari dari kepompong ini.

PARAGONWhere stories live. Discover now