[22]

291 54 4
                                    

NELL dan Azaka berlari menuju ke dalam lorong kecil di antara bangunan-bangunan rumah flat yang sememangnya padat itu. Lumut-lumut serta air yang menitis di dinding membasahi pakaian mereka. Lumpur dan sampah sarap yang membusuk di lantai tidak dipedulikan.

Mereka akhirnya keluar dari lorong-lorong yang berselirat itu. Azaka terus bergerak pantas menuju ke arah jalan besar. Nell terus mengekori gadis itu dan tidak mahu kehilangannya.

Hujan turun renyai-renyai. Jalan mulai lecak. Kenderaan yang lalu-lalang memercikkan air ke bahu jalan. Mereka cuba mengelak. Menara jam yang tinggi kelihatan sudah semakin hampir. Di situlah letaknya Stesen Komuter Zon 14.

Tidak semena-mena, sebuah kereta terbang muncul sebaik mereka melintas persimpangan. Kereta hitam dengan cermin serba gelap itu mendarat betul-betul di belakang mereka. Lima buah lagi muncul selepas itu.

"Nell, lari!" Laung Azaka. Dia tahu kereta sebegitu tidak akan muncul di kawasan ini melainkan ianya milik seseorang yang berpengaruh. "Sekarang!!" Dia menjegil ke arah budak itu.

Panik, Nell menurut arahan Azaka. Dia terus membuka langkah seribu ke arah stesen komuter.

Pintu kereta-kereta itu terbuka. Beberapa orang lelaki berpakaian serba hitam keluar. Mereka terus menerpa.

Azaka pantas membuat satu jungkir balik dan menendang kepala lelaki yang berada di hadapannya. Lelaki itu terus tersembam ke lantai.

Seorang lagi mara dan menghayunkan kaki kanannya. Azaka dapat menghalangnya dengan tangan kiri. Dengan sedikit lompatan, gadis itu menghentakkan lutut kanannya ke tulang rusuk lelaki tersebut.

Lelaki seterusnya tiba-tiba muncul dengan satu lonjakan. Azaka sempat mengelak. Tumbukan lelaki itu hanya terkena angin. Sebaliknya tapak kaki gadis itu deras hinggap di mukanya. Lelaki itu terdorong ke belakang. Pantas Azaka menambah satu lagi tendangan di dadanya.

Azaka menoleh ke arah stesen komuter. Dua orang daripada lelaki-lelaki tersebut sedang mengejar Nell.

Gadis itu mengetap gigi. Tangannya pantas mencapai sepucuk pistol yang berada di sisi pehanya. Dua das tembakan dilepaskan ke arah lelaki-lelaki itu. Serta-merta mereka jatuh ke tanah.

Langkah Nell terhenti sebaik terdengar bunyi tembakan. Dia kaget apabila mendapati mayat dua orang lelaki berpakaian hitam terbaring di belakangnya.

Fokus Azaka kembali kepada lelaki-lelaki yang berjaya ditumpaskan tadi. Tiga das tembakan dilepaskan. Tubuh-tubuh mereka berhenti bergerak.

Keadaan di sekeliling hiruk-pikuk apabila bunyi senjata api kedengaran bertalu-talu. Penduduk-penduduk yang sedang lalu-lalang bertempiaran lari. Jeritan dan laungan seperti histeria berselang-seli dengan tangisan manusia-manusia yang ketakutan. Kereta-kereta berhenti di tepi jalan. Ada yang turun dari kenderaan dan lari menyelamatkan diri.

Lama-kelamaan, tiada sesiapa lagi yang berada di kawasan itu melainkan mereka.

Lapan orang lagi lelaki berpakaian hitam muncul.

Azaka mengeluh. Dia mencapai sesuatu daripada beg galasnya dan mengangkatnya tinggi, sengaja menayangkan kepada lelaki-lelaki tersebut. Langkah mereka terus mati.

Gadis itu tersenyum sinis. "Selamat tinggal, budak-budak."

Dia menekan punat bom tangan yang berada di dalam genggamannya. Bom berbentuk ceper itu terus dilemparkan ke arah mereka. Azaka terus berlari deras ke arah sebuah lori yang berada di tepi jalan dan bergolek ke bahagian belakangnya.

BOOOMMM!!

Satu dentuman kuat tercetus. Serpihan batu bata dan kaca-kaca tingkap berterbangan.

PARAGONWhere stories live. Discover now