[34]

275 55 12
                                    

JIP yang hanya mampu terbang rendah itu meluncur laju. Pemandangan sekeliling telahpun bertukar menjadi dataran rumput yang luas terbentang. Gunung-ganang terlihat di kaki langit. Suria memancar sepenuhnya.

Azaka menekan pedal minyak sambil terus memberikan tumpuan pada jalan yang tidak sekata itu. Sesekali jip kelabu tersebut melantun-lantun akibat permukaan tanah yang tidak rata. Namun ia sedikitpun tidak mengganggu Auvo yang sedang nyenyak tidur di kerusi penumpang hadapan.

Nell yang berada di kerusi penumpang belakang melihat ke luar tingkap. Wajahnya terasa sejuk ditiup angin luar yang kencang. Ada sekumpulan kuda liar sedang berlari di kejauhan, seakan berlumba-lumba dengan burung yang terbang di atas mereka.

Kaio yang duduk di tengah-tengah antara Nell dan Sonny sibuk membelek buku notanya. Lebam pada pipinya semakin jelas. Nell telah berkali-kali meminta maaf padanya subuh tadi. Ternyata budak itu benar-benar rasa bersalah.

"Amende tu?" Soal Nell sebaik ternampak sekeping lukisan yang sedang dipegang erat oleh Kaio, mengelakkannya terbang ditiup angin yang menderu dari tingkap.

"Peta." Balasnya ringkas.

"Peta apa?" Nell semakin ingin tahu.

"Ayah aku lukis. Dia teringin nak ke sini..." Jelas Kaio.

"Oh. Jadi... kau akan ke situ jugak?"

"Yup... lepas aku tolong hantar kau jumpa mak kau. Aku akan terus ke utara." Dia melipat semula peta itu dan menyelitkannya ke dalam buku nota, lalu menyimpannya semula ke dalam beg.

"Sorang?" Soal Nell lagi.

"Sonny akan temankan aku... kan sayang!" Kaio tersengih ke arah Sonny. Rakannya itu terasa agak menyampah dan terus melekapkan fon kepala di telinga. Kaio ketawa puas kerana berjaya menjengkelkan kawannya itu.

Nell berasa tergerak untuk mengikut Kaio namun serta merta membatalkan niatnya sebaik terlihat kesan lebam di pipi budak itu. Nell mengalihkan matanya ke arah Azaka yang sedang memandu. Lebam pada wajah perempuan itu tidaklah seteruk Kaio.

Azaka menepuk bahu Auvo beberapa kali. "Bangun, orang tua. Kita kena turun kat sini..."

Gadis itu menghentikan jip itu di sebalik sebuah batu besar yang agak tersorok, kemudian menutupnya dengan kain dan dahan-dahan kering. Mereka tidak akan dapat masuk ke Tasik Garuda dengan kenderaan yang jelasnya milik tentera.

Di hadapan mereka, sayup-sayup kelihatan sebuah tasik yang besarnya seakan lautan dengan sebuah bandar kecil yang padat di pinggirnya. Terdapat tembok batu yang melingkungi kawasan tersebut. Ada beberapa buah kenderaan yang sedang keluar masuk .

Mereka mengangkut barang masing-masing sebelum mengatur langkah ke arah bandar kecil yang jauhnya lebih kurang 2 kilometer. Sepanjang perjalanan, mereka berselisih dengan beberapa kenderaan yang membawa barangan keluar masuk dari bandar itu.

Akhirnya, mereka sampai di hadapan pintu gerbang. Ada dua orang pengawal yang sedang menunggu di situ. Enam orang lagi sedang memeriksa kenderaan-kenderaan yang hendak masuk ke dalam.

"Selamat pagi." Tegur Azaka kepada salah seorang pengawal yang agak tegap susuknya.

"Nama..." Dia menghulurkan tablet yang memaparkan borang pendaftaran keluar masuk pelawat kepada gadis itu.

Auvo mara ke sebelah Azaka dengan longlai sambil menguap. Rasa mengantuk masih lagi bersisa. Lelaki itu menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan segulung wang kertas, lalu menghulurkannya kepada pengawal yang berjambang hitam itu.

Not-not berharga itu pantas disambut oleh pengawal tersebut. Tablet yang dihulur tadi segera dikepit semula di antara lengan dan perutnya. "Selamat datang." Lelaki bermata buntang dan berbibir tebal itu tersenyum lebar dan tunduk sedikit.

PARAGONWhere stories live. Discover now