[43]

196 45 0
                                    

BILIK pejabat separuh bulat yang luas dan besar itu tidak punya banyak perabot. Cermin melengkung setinggi siling melebar memenuhi separuh bahagian bilik itu, memperlihatkan kawasan metropolis Kota Nova Omega yang maju.

Pintu bilik terkuak kasar. Alrik Marquess menerpa masuk ke dalam. Langkahnya dihayun laju dan rakus menuju ke meja kerja yang berada di hujung ruang. Derap kakinya bergema memenuhi tempat itu. Safan, si setiausaha yang kurus kering terkocoh-kocoh mengikut lelaki itu dari belakang.

"Maaf, tuan. Saya cuba halang dia. Tapi dia masih berdegil." Jelas Safan kepada seorang lelaki. Dia sedang duduk membelakangi mereka di atas sebuah kerusi empuk coklat gelap yang menghadap ke arah cermin besar.

Alrik berdiri tegak di hadapan meja kaca di hadapannya. Mata hijaunya dipanah tajam ke arah kerusi itu.

"Aku nak bercakap tentang perkara yang berlaku semalam.” Tegas Alrik.

“Kau boleh buat temujanji untuk itu, Presiden Marquess." Balas Safan dengan nada yang kian meninggi. "Atau kau boleh telefon saja lain kali.”

“Korang dah serang dan bunuh rakyat aku kat Tasik Garuda. Takkan kau hanya harap aku bercakap dengan kau melalui telefon, Safan.” Ada kemarahan yang nyata dalam suaranya.

Safan mulai rimas. "Berani kau datang ke sini dengan spekulasi mengarut kau tu?!"

Lelaki tegap berambut putih yang sedang duduk di kerusi itu mengangkat tangannya sedikit. Safan faham akan arahan itu. Si setiausaha menolak cermin matanya ke atas sebelum tunduk sedikit, lalu melangkah pergi.

Lelaki tampan yang memakai kot berwarna hitam itu menyisip kopi di tangannya. Dia itu menelan air panas tersebut perlahan-lahan, menikmati setiap perincian rasanya.

Alrik yang masih berang terus menghamburkan rasa amarahnya. "Disebabkan pemikiran kau yang gila tu, kau sanggup korbankan orang-orang yang tak berdosa! Aku nak kau hentikan semua benda ni sekarang!"

Lelaki di kerusi itu masih diam, seolah-olah langsung tidak mengendahkan Alrik yang sedang berapi.

"Pandang aku, Devon Rengeiz!!” Alrik menghentak kuat meja kaca itu. Gegarannya telah membuatkan sebuah bingkai gambar dengan foto seorang perempuan jatuh menghempas lantai.

Kerusi empuk itu beransur-ansur beralih menghadap Alrik. Rengeiz meletakkan cawan kopinya di atas meja. Jari-jemarinya disilangkan dan diletakkan di atas perut. Mata keemasannya menyorot ke wajah Alrik yang sudah merah menahan gelodak di dada.

“Itu tuduhan yang berat.” Suaranya dalam dan tenang. 

Alrik tersengih penuh sinikal. "Aku tak bodohlah. Tak ada orang lain yang akan buat kerja macam tu selain kau. Aku tak tahulah apa lagi yang kau nak musnahkan, siapa lagi yang kau nak hapuskan lepas ni. Tapi aku nak kau dengar sini baik-baik, kalau kau tak hentikan semua ni, aku sendiri yang akan buat kau berhenti!”

Rengeiz menutup matanya beberapa saat dan merenung lelaki itu semula. “Presiden Marquess, kalau kau minta maaf sekarang, aku akan ampunkan kau.”

Alrik ketawa bernada ejekan. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. "Ampunkan aku? Kau ingat kau tuhan? Kau harap aku takut dengan ugutan tu?” Dia mendekatkan badannya ke meja. “Untuk pengetahuan kau, semua rahsia kau ada kat tangan aku. Kalau aku nak, aku boleh bocorkan bila-bila masa saja dari sekarang..."

“Aku sedang bagi kau ehsan.”

“Heh, pergi mampus dengan semua tu! Kau rasa lepas apa yang kau dah buat selama ni, aku peduli? Aku dah tak tahan lagi nak bersekongkol dengan binatang macam kau ni!” Bentak Alrik.

Rengeiz menghembus nafas perlahan.

Tanpa disentuh, Alrik tiba-tiba menjadi kejang. Dia rebah ke lantai. Lelaki itu terjegil dan ternganga. Tiada suara kedengaran meskipun lelaki itu seperti begitu sakit dan terseksa.

Rengeiz bangun dari kerusinya. Dia berjalan tenang ke arah pemain piring hitam di hujung meja. Alat itu dipasang. Muzik klasik memenuhi ruang. Rengeiz memejamkan matanya sebentar, menghayati irama piano dan violin yang mendayu-dayu.

Lelaki itu melangkah santai dan bersandar di hadapan meja. Alrik yang sedang meronta di kakinya itu dipandang tanpa perasaan.

"Kau masuk ke sini. Kau beri aku arahan. Kau rancang untuk jatuhkan aku. Aku masih berikan kau peluang. Banyak peluang. Peluang yang kau sia-siakan.”

Perlahan-lahan, lelaki itu tunduk dan mengutip semula bingkai gambar yang telah jatuh. Serpihan kaca luruh berderai. Dia memandang foto itu sebentar sebelum perhatiannya beralih ke arah Alrik.

Alrik yang sedang bergelut dengan kesakitan membalas pandangan lelaki itu. Dia hanya mampu terkapai-kapai menahan menahan keperihan yang menjerut setiap inci tubuhnya.

Beransur-ansur, kaca-kaca yang bertaburan di lantai terapung rendah. Satu persatu masuk ke dalam mulut Alrik dan menyiat-nyiat lidahnya. Alrik menggelupur dalam kebisuan. Kemudian, objek-objek tajam itu bergerak ke dalam kerongkong lelaki malang itu.

Rengeiz mencerlung Alrik dengan renungan yang dalam. “Jangan risau, aku akan hantar orang-orang aku pergi ‘menjaga’ anak perempuan kau nanti.”

Alrik dengar semua itu dengan jelas, namun dia tidak berdaya langsung membalasnya. Lidahnya hampir putus. Darah mula menyumbat saluran udaranya . Semakin lama, dia semakin lemah ditekan oleh satu kuasa yang maha kuat.

Rengeiz duduk semula di atas kerusi empuknya. Paparan kombinasi skrin dan butang muncul di atas permukaan meja kaca. Pantas telunjuknya menekan butang berwarna merah.

Tidak sampai beberapa saat, sepasukan askar seramai 8 orang telah menyerbu masuk ke dalam bilik itu. Tanpa perlu diarah, mereka terus memberkas Alrik dan menggari lelaki yang tertiarap itu.

Alrik yang sudah terkulai diseret keluar dari bilik itu dengan ganas. Dia tahu bahawa nyawanya bakal berakhir. Dari mula lagi dia sangat jelas bahawa dia bukanlah lawan Rengeiz. Dia juga sudah dapat meneka kemungkinan nasibnya akan jadi begini.

Rengeiz meletakkan semula bingkai foto itu di atas meja. Dia mencapai minumannya dan kembali menghadap ke luar tingkap, meneliti kenderaan-kenderaan dan manusia-manusia kerdil yang sibuk mengejar dunia.

Penjahat sebenar bukanlah dirinya, tetapi mereka, manusia-manusia bernafsu haloba yang tak pernah puas. Manusia-manusia zalim yang telah menghancurkan segalanya.

PARAGONWhere stories live. Discover now