[18]

336 68 6
                                    

BANSHEE Hitam, kapal terbang dron berbentuk tiga segi terbang rendah. Dron tanpa pemandu ini dilengkapi dengan dua meriam lazer yang dipasang di bahagian kiri dan kanan badannya, betul-betul di bawah sayapnya yang pipih dan runcing. Sepasang lagi meriam yang lebih kecil berada di atas kokpit.

Tiga buah kapal terbang yang serupa meluncur laju menuju ke arah Pengkalan Tentera Astora yang berada di Benteng Agung setelah selesai menjalankan misi mereka untuk hari ini. Pengkalan berbentuk heksagon itu tersergam megah di sebuah lereng bukit dan dilindungi dengan tembok kukuh, lengkap dengan sistem pertahanan yang sememangnya sukar dibolosi.

Pintu hangar terbuka. Tiga buah Banshee Hitam masuk dan bergerak ke ruang masing-masing. Perlahan-lahan ia mendarat dan mematikan sistem enjinnya.

Tentera-tentera, juruterbang, mekanik dan pegawai teknikal memenuhi ruang yang menempatkan berpuluh-puluh buah kapal terbang lagi. Beberapa orang tentera dengan uniform kuning memeriksa dron-dron yang baru pulang tadi. Tiga orang pegawai berlari-lari anak ke arah mereka.

Salah seorang pegawai masuk ke dalam dron T021. Nombor berwarna putih itu jelas dicat pada muncung pesawat itu. Sebentar kemudian, pegawai lelaki itu keluar semula dengan sebuah komponen perak berbentuk kubus di tangannya.

"Kita dah jumpa kotak hitam Spektrum II yang terhempas tu." Dia menyerahkan objek itu kepada rakannya.

Pegawai wanita yang berkaca mata itu mengangguk faham. Segera dia membawanya ke pusat operasi. Maklumat yang diperoleh dari kotak hitam tersebut disambungkan terus ke unit pemprosesan mega, dan disalurkan terus ke ibu pejabat.

Di ibu pejabat, Keadaan unit operasi agak sibuk. Bilik operasi berbentuk heksagon itu dipenuhi dengan skrin-skrin yang lebar di setiap dinding. Sebuah meja bulat besar berada di tengah-tengah bilik. Terdapat imej hologram beberapa buah bandar di atasnya. Lapan buah meja separa bulat yang dilengkapi dengan skrin-skrin holografik berada di sekelilingnya. Beberapa orang kakitangan menjalankan urusan masing-masing di setiap meja.

Seorang kakitangan tentera sedang asyik membelek maklumat yang baru diterimanya dari kotak hitam. Wajahnya berkerut meneliti paparan di hadapannya. Pantas dia menekan alat komunikasi yang dilekatkan di telinga.

"Tuan Rengeiz, Banshee Hitam berjaya dapatkan maklumat terbaru dan analisa daripada kotak hitam kapal terbang kargo yang terhempas di Lembah Besi. Saya rasa tuan patut tengok. Saya yakin kita dah jumpa siapa pelakunya."

Di sebuah bilik yang lain, seorang lelaki separuh umur berambut pendek putih sedang duduk bersandar di kerusi kulit empuknya. Wajahnya kacak dan dicukur bersih. Hidungnya tirus. Bibirnya nipis dan panjang. Kening tebalnya rapat dengan matanya yang dalam. Lelaki tegap itu memakai sut hitam yang digosok rapi tanpa satu pun kedutan. Kasut kulitnya dengan corak ular berkilat apabila terkena lampu siling.

Anak matanya yang berwarna keemasan dihalakan ke arah pemandangan bandar di sebalik cermin besar. Bandar yang begemerlapan di waktu malam itu seakan lautan cahaya jika dilihat dari kedudukan pejabatnya yang terletak di atas bukit.

Perlahan-lahan dia memusingkan kerusi dan menghadap meja. Sebuah skrin hologram melengkung timbul. Maklumat-maklumat memenuhi skrin sebelum beberapa buah video ditayangkan secara serentak. Situasi di dalam kapal terbang sebelum ia terhempas dimainkan tanpa henti.

"Dapatkan Hader dan Talon. Aku nak budak ni hidup-hidup."

PARAGONWhere stories live. Discover now