BAB 4 - Personaliti Berbeza.

426 39 0
                                    

        “CEPATLAH sikit. Nanti jalan sesak pulak.” Ibu memanggil aku yang sedang lilit selendang depan cermin.

Aku datang bulan hari ini, jadi aku terlajak tidur sampai lupa yang hari ini kami perlu keluar untuk beli barang dapur. Mengamuklah ibu tadi bila tengok aku masih tidur. Ye, kami keluar beli barang dapur dua minggu sekali. Bila masing-masing makan macam bela saka, inilah dia.

“Kejap. Siap dah ni.” Jarum terakhir disematkan sebelum mata melilau cari kunci kereta di ruang tamu.

Aik, tak ada pun. Di kabinet TV, tak ada. Di tempat sangkut kunci pun tak ada. Dah mana pula perginya kunci kereta ni?

“Ibu, kunci kereta mana? Kakak cari tak ada pun.” Aku mengadu pada ibu yang berdiri di luar rumah, menunggu aku sedari tadi untuk bersiap.

“Lah, tengoklah dekat tempat sangkut kunci tu.”

“Tak ada jugalah, ibu.” Aku cuba angkat bantal-bantal yang ada atas sofa, lihat bawah pelapik meja dan sebagainya, tapi masih tiada.

“Lah, dah ada kaki pula kunci tu ye?”

Ibu ini loyar buruk pula dah!

“Apa yang ada kaki tu, Raudah?” soal satu suara yang aku kenali. Mak Cik Ira!

Aku berjalan ke muka pintu. Mak Cik Ira memang selalu datang rumah bersembang dengan ibu sejak kebelakangan ini. Ibu kata, dulu Mak Cik Ira dan arwah suaminya yang duduk di penthouse itu. Ketika itu, suami Mak Cik Ira tengah sakit, jadi mereka jarang keluar. Sebab itulah aku tak pernah tengok.

Selepas suami Mak Cik Ira meninggal, mak cik balik duduk dengan mak dia. Anak bujang dia yang baru balik dari London pila duduk di rumah itu, sekali gus ambil alih syarikat arwah bapanya. Ibu kata, semuanya jadi masa aku tengah sambung belajar. Sebab itu yang lain kenal mereka, tapi aku tak.

“Ini kunci kereta hilang pula,” jawab ibu.

Berdiri saja aku di muka pintu, mak cik terus kuntum senyum untukku. Senyum dibalas manis sehinggalah aku perasan yang di belakang mak cuk ada si baby besar. Tak nampak macam pakaian kerja. Hanya berseluar jeans dan berbaju T.

“Lah, nak pergi mananya?” Mak Cik Ira menyoal lagi.

“Nak pergi Aeon itu. Nak beli barang dapur cadangnya. Tapi kalau macam ini, alamatnya tak jadilah.”

Aku berundur selangkah masuk ke dalam rumah bila mata beberapa kali menangkap Akiq yang seakan mengerling aku. Tak selesa. Bila masuk sikit ini, dinding jadi penghalang pandangannya untuk sampai ke tubuhku.

“Lah, saya pun nak pergi beli barang dapur juga. Beli barang dekat kedai runcit bawah sana, tak lengkap. Itu yang hari ini ajak Akiq bawa ke supermarket. Dah sehala ini, jom jelah pergi sekali."

Ayat hujung itu buat aku terus berkerut dan sedikit melopong. Pergi sekali? Maksudnya sekali dengan baby besar itulah kan?

Ibu, tolonglah kata, tak apalah, saya tunggu suami saya hantarkan nanti. Tolonglah!

“Boleh juga kalau tak menyusahkan.” Nak menangis aku rasa bila dengar jawapan ibu. Ah, kenapa!

Sudahlah aku semakin awkward dengan dia sejak jadi saksi adegan sang buaya darat dengan sang kekasih tersakiti dan ibu yang tak merestui. Lagi-lagi selepas dilabel sebagai isteri! Seminggu aku tak keluar bersiar-siar di taman sebab takut kena counter attack dengan teman wanita dia tahu? Balik kerja, terus berkurung dalam rumah.

AKIQ [REVAMP]Where stories live. Discover now