BAB 8 - Mengenal Baiknya.

469 49 5
                                    

"MUKA itu sakit lagi ke?"

Aku yang sibuk goreng ayam terus pusing pandang belakang. Nampak Haikal sedang tersengih pada Akiq yang baru saja keluar daripada bilik tidurnya. Akiq memang ambil berat tentang Haikal. Sudah macam adik-beradik aku tengok. Haikal pula memang suka dengan Akiq.

Pembetulan, suka apa yang Akiq ada! PlayStation 5, TV yang begitu besar dan canggih, kolam renang persendirian, gym persendirian di tingkat atas, bilik tetamu yang selesa tahap gaban, tandas persendirian di setiap bilik yang datang sekali dengan sebiji bath tub, pendingin hawa hampir di setiap ruang, rumah yang begitu cantik dan menarik dan paling penting, peti sejuk dua pintu yang tak pernah kurang walau satu barang. Sentiasa penuh terisi dengan makanan.

"Sakitlah sikit, Abang Akiq. Tapi dah okeylah. Bolehlah nak makan atau senyum macam biasa," jawab Haikal, mesra.

Aku sambung dengan tugasku. Memasak. Ini sajalah yang aku mampu buat untuk balas jasa Akiq dan Mak Cik Ira yang membantu kami selama tempoh 'perang' antara ibu dan babah berlangsung. Ini hari kelima kami di sini. Aku cukup segan dan tak selesa. Rasa nak cepat-cepat keluar atau sewa saja rumah murah-murah. Aku rasa kami menyusahkan orang.

Tapi Mak Cik Ira bertegas tak izinkan kami keluar selagi ibu dan babah tak selesaikan masalah mereka. Senang cerita, kami masih di sini kerana pak su masih di rumah itu.

"Mama dan Mak Cik Raudah mana?" Suara Akiq menyoal lagi. Dapat aku dengar bunyi geseran kerusi yang ditarik.

"Ibu dengan mak cik pergi rumah sana itu. Mak cik teman ibu untuk berbincang dengan babah. Harapnya ibu halau jugalah pak su itu. Menyakitkan hati je. Kalau diikutkan, nak je Haikal pergi balai polis. Tapi sebab babah, tahan jelah."

Ye, tiada sebarang laporan dibuat. Baik ibu yang keretanya disimbah cat merah dan baik Haikal yang ditampar sampai pecah bibir. Semuanya demi babah. Masih beri muka supaya babah boleh nilai baik-baik dan buat keputusan yang sebaiknya. Ibu pergi berbincang dengan babah sekarang pun selepas tahu yang babah tak lagi mahu jadi pembayar buat semua baki hutang itu.

"Dahlah. Tak payah fikir sangat hal itu," kata Akiq.

Ayam yang sudah siap digoreng aku pindah ke pinggan. Nasi lemak dengan aneka lauk. Antaranya ayam berempah, ayam sambal, telur mata kerbau, sambal sotong dan sambal petai. Aku masak tak banyak untuk setiap lauk, jadi boleh pelbagaikan lauk yang ada.

"Abang ada dapat tak telefon hari itu? Haikal bagi dekat mak cik sebab abang tengah kerja." Kerjaku terhenti sesaat bila dengar Haikal menyoal Akiq tentang telefon. Mesti iPhone yang aku pulangkan itu.

"Ada. Ada dekat dalam bilik."

Baguslah! Dia dah dapat semula telefon itu. Risau juga aku kalau Haikal simpan jadi hak sendiri.

"Apalah orang itu. Tolak tuah. Kalau dapat dekat Haikal, confirm dah melompat."

Eh, eh budak ini...

"Kalau Haikal nak, abang boleh bagi."

Terus terpusing aku bila dengar balasan Akiq. Mulut meluas pandang Haikal yang terus tersengih lebar sambil pandang aku seperti tahu-tahu saja inilah reaksi aku. Mata berkilau! Punya gembira bila dapat tawaran itu.

"Betul ke ini, abang?!" soal Haikal. Terus lompat turun daripada duduk.

Akiq angguk sekali. "Nanti abang bagi."

Haikal terus lompat dan peluk Akiq pula. Bila sedar yang dia sudah terlebih teruja, terus pelukan dirungkai dan Haikal mula terlompat-lompat sendiri. Akiq pula hanya pandang dengan senyuman nipis di bibir. Betul-betul gaya abang mithali tengok adik!

AKIQ [REVAMP]Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora