BAB 12 - Demi Kakak

457 48 14
                                    

PINTU rumah aku biar tidak berkunci sebelum kembali ke dapur dan sambung memasak. Perlu segera siapkan semuanya. Sekejap lagi Akiq akan datang untuk hantar Tupperware yang dia peram hari itu. Akiq baru saja mesej aku.

Udang masak lemak cili api aku masukkan ke dalam mangkuk. Ikan goreng yang masih berasap panas aku letak atas meja. Ayam sambal juga ada untuk Haikal yang memang tak boleh hidup sehari tanpa ayam. Dia boleh mogok tak makan kalau tak ada ayam. Jag dicapai sebelum aku termenung sekejap depan peti sejuk memikirkan air apa yang patut aku bancuh hari ini.

Asyik sarsi dan sirap saja, bosanlah pula. Sudahnya oren Sunquick juga yang jadi pilihan. Kalau ada buah oren ini mesti lagi sedap. Tapi tak ada! Mungkin aku perlu ajak Haikal ke supermarket untuk barang sikit nanti. Gaji pun dah masuk. Hehe.

Ibu dan ayah keluar sekejap. Pergi ke rumah jiran di bawah saja. Tak lama lagi baliklah itu. Haikal pula sedang tidur di dalam bilik. Hari ini sabtu dan aku sudah jemput Akiq untuk makan bersama kami sebagai ganti hari yang aku tak sempat sediakan bekalnya.

Sedang sibuk di dapur, tiba-tiba aku dengar bunyi pintu dibuka. Hai, panjang umur Akiq. Sampai dah dia.

“Masuklah dulu. Duduk dekat ruang tamu. Jangan risau, Haikal ada juga. Awak jangan tutup pintu itu. Saya tengah bancuh air,” laungku sambil masukkan ais ke dalam jag.

Tapi tanganku terhenti bila aku baru terfikirkan sesuatu yang aneh. Pintu ditutup semula. Aku dapat dengar bunyi pintu. Kenapa Akiq tutup pintu dan main masuk saja tanpa ketuk pintu atau beri salam? Dia bukan lelaki seperti itu…

Baru aku nak berpusing, tiba-tiba mulutku ditekup. Ada tubuh lain sedang berdiri di belakangku. Rapat memagari aku dan meja. Aku cuba pusingkan badan, tapi tak berjaya bila ada tangan yang naik menahan pinggangku. Panik mula berdesup naik ke kepala. Tanpa fikirkan apa-apa, aku terus cuba menjerit sekuat hati dan meronta

“Lepas!!!” jeritku walau suara tenggelam di sebalik tekupan pada mulut.

Tubuh cuba aku lonjak ke belakang dengan harapan yang orang di belakang akan jatuh terduduk, tapi aku gagal. Kudratnya jauh lebih kuat berbanding aku.

Percubaan untuk menjerit sekali lagi gagal bila mulutku ditekup semakin kejap. Suara tenggelam. Aku semakin resah dan panik. Aku mula agresif. Segala anggota tubuh digerakkan bagi menyakitkan tubuh di belakang. Usaha akhirnya berjaya bila kakiku terus memijak kuat kakinya. Jarak antara kami semakin bertambah sebelum aku gunakan peluang itu untuk berlari ke ruang tamu.

Separuh jalan, tubuhku ditangkap semula. Tapi kali ini, tubuhku menghadap tubuh jembalang itu. Mataku membulat.

“Pak su?!” Dan suaraku tenggelam semula bila mulutku kembali ditekup.

Pak su! Pak su yang peluk aku! Apa yang pak su cuba buat? Jangan kata…

“Diam! Kau melawan, aku tikam perut kau.” Sebilah pisau dapur diacu ke perutku. Aku kejung.

 Allah...

“Mana semua emas ibu kau?” soal pak su.

“Pak su, tolong jangan…”

“Jangan apa?! Aku akan selesaikan kau dulu. Lepas itu, baru aku selesaikan barang kemas ibu kau pula. Kau tahu? Aku dah lama bernafsu pada kau, Hani.”

Ya Allah! Apa patut aku buat? Aku tak berani untuk melawan. Pisau yang diacu itu adalah pisau dapur kami. Aku tahu betapa tajamnya pisau itu.

Aku mula menangis teresak-esak bila pak su bangun sebelum tanganku ditarik untuk menyeret aku terus ke bilik. Aku cuba meronta, tapi tak berjaya. Sehinggalah bila pintu bilik Haikal terbuka dan Haikal muncul di muka pintu. Nampak saja aku yang sedang bergelut dengan pak su, riak Haikal terus berubah. Marah.

AKIQ [REVAMP]Unde poveștirile trăiesc. Descoperă acum