Bab 12

38.9K 1.9K 426
                                    

🌹

"LUQMAN," ujar Humaira sepatah. Dia melirik ke arah jejaka itu melalui pantulan cermin sisi kereta. Bersama kening yang bertaut.

Kelihatan figura Luqman bersama Dahlia yang semakin menjauh dari pandangan ketika kereta yang Azriel pandu mula meluncur laju.

Apa yang pasti, ketika itu dia sedang musykil. Mengingat kembali cara Luqman yang sepertinya menyembunyikan sesuatu, dia bertambah ragu.

"Dia orang sini?" ajunya. Ingin memastikan bahawa jejaka itu sememangnya dia kenal. Entah dari mana. Dan entah bila. Dia pernah melihat wajah itu. Seperti tidak begitu asing baginya.

"Inspektor Luqman? Haah, orang sini. Kenapa?" balas Azriel sekadar bersilengah. Stereng kereta diputar sebelum akhirnya kediaman rumah Luqman benar-benar sirna ketika itu.

"Saya... Saya macam pernah terjumpa dengan dia sebelum ni. Itu pun, kalau saya tak silap orang," terang Humaira. Tidak semena-mena, Azriel terus memandangnya. Pandangan yang cukup menggambarkan sebuah rasa ingin tahu.

"Dekat mana?" Azriel bertanya, sebelum dia berdehem. Mengusir kegusaran pada hatinya. Cuba mengawal ekspresi wajahnya yang tiba-tiba sahaja berubah. Untung suasana pada ketika itu gelap.

"Itali. Awal tahun lalu sebelum saya balik Malaysia. Sebelum arwah Zaharah kemalangan. Tapi, mungkin saya tersilap orang." Fikirannya masih segar. Wajah itulah yang pernah dia lihat tempoh hari.

Ketika itu, dia bersama-sama Zaharah. Berjalan-jalan menyusuri keindahan bandar besar Itali. Sehingga dia tidak sengaja berlaga bahu dengan seorang jejaka. Ketika dia mengingat-ingat kembali, raut jejaka itu begitu mirip dengan Luqman.

Bukan hanya ketika di Itali sahaja. Namun, dia sepertinya sudah melihat jejaka yang hampir sama dengan Luqman lebih daripada sekali.

Bermula daripada tubuh yang tegap dan tinggi, mata yang kecoklatan, sehinggalah paras wajah yang putih bersih. Mungkin yang berbeza hanyalah pada gaya rambut Luqman sudah berubah.

Mahu membersihkan fikiran, dia menganggap itu hanya sebuah kebetulan.

Karl Azriel mengusap belakang tengkuknya. Sebelum jemari kasarnya bermain-main pada stereng kereta. Bibirnya diketap.

"Itali," gumamnya. Tidak sedar bahawa Humaira mendengar itu.

"Kenapa?"

"Huh? Tak ada apa. Mungkin, kau tersilap orang," dalihnya. Azriel merenung jauh ke hadapan. Cuba mencerna sebaik mungkin apa yang baru sahaja Humaira sampaikan.

"Cantik tunang dia." Humaira tersenyum. Suka bila mengingatkan kembali wajah anggun Dahlia. Sesuai dengan Luqman yang berkacukan Arab.

"Bini aku lagi cantik," bidas Azriel.

Sita wajahnya mengatakan itu. Seperti bersungguh-sungguh meyakinkan Humaira. Buatkan gadis itu sekadar tergelak kecil.

"Tapi betullah. Dahlia serasi sangat dengan inspektor Luqman. Bila dia orang nak kahwin?" Humaira sekadar berbasa-basi. Menghilangkan rasa musykilnya terhadap Luqman. Untuk kesekian kalinya, wajah dingin Luqman bermain-main di ruang matanya.

"Tunggu kita dapat anak dulu. Lepas tu, kahwinlah dua sejoli tu." Selamba Azriel menjawab. Buatkan Humaira menepuk bahu jejaka itu. Orang serius, dia gula-gulakan pula.

.....

TING! Ting!

Deringan notifikasi terus-menerus menjerit. Skrin telefon pintar itu terang bernyala setiap kali beberapa mesej diterima. Rasanya, bukan sedikit mesej yang masuk. Sedari tadi dia mendengar irama yang sama. Buatkan Laura Humaira sedikit terganggu. Dia menoleh ke kiri. Tepat di mana telefon itu terletak.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now