Bab 21

40.9K 1.8K 248
                                    

🌹

"ASALAMUALAIKUM, syurga Humaira." Begitu luruh hatinya ketika itu. Separuh nafasnya bagaikan tidak dapat ditarik lagi. Separuh raganya umpama ikut beterbangan.

Rindu. Satu patah kata yang cukup menggambarkan apa yang bertaut di dalam hati. Ketika pemandangan dihadapannya itu ditatap kuyu, semilir kasih mula berpuput redup. Bergulung-gulung rasa hiba menyapa. Bahkan, senja turut melihat betapa besarnya keheningan yang ada di dalam hati.

Syurga pertama yang dia ada sudah sirna. Tidak sempat diri itu memeluk tubuh sang ibu yang sudah tenat dimamah usia. Tidak sempat dia menyeka duka yang mengalir melalui retak-retak di pipi sang ibu.

"Maafkan Humaira. Maira tak sempat tunaikan permintaan ibu." Permintaan ibu yang seharusnya dia tunaikan sembilan bulan lagi. Ibu tidak sempat melihat 'dia'.

Humaira terduduk. Berusaha ditahan ratapan yang seharusnya meluap-luap ketika itu.

Lama begitu, dia memejamkan kedua-dua kelopak matanya. Dikatup serapat mungkin. Cuba memujuk diri untuk kuat. Untuk bernafas lega seperti dulu lagi.

"Maira tak sempat minta maaf dekat ibu. Tapi Maira nak berterima kasih. Terima kasih sebab tumpangkan Maira sembilan bulan dalam kandungan ibu. Terima kasih sebab ibu dah bertarung nyawa semata-mata nak lahirkan Maira." Detik itulah, tangisannya pecah. Sebak yang mencengkam tidak dapat dia bendung.

Hanya mereka yang tahu erti sebuah kehilangan yang akan memahami. Pedihnya sebuah kenyataan. Takdir Allah. Siapa kita mahu menentang? Kehilangan susuk ibu, adalah ketakutan semua insan yang bergelar anak. Sama seperti dia ketika itu. Terlalu cepat ibu pergi.

Hilang lelah. Datang duka.

"Sekarang semua penat yang ibu tanggung InsyaAllah terbalas. Ibu rehatlah. Maira sentiasa titipkan nama ibu dalam setiap sujud Maira." Ibunya sudah pergi dengan damai. Biarlah jiwa yang punah itu tertidur. Dia redha. Ikhlas.

"Maira tak lama lagi akan jadi seorang ibu. Menimang zuriat. Tapi Maira tak sempat nak kongsi kebahagiaan Maira dengan ibu. Maafkan Maira." Tidak henti-henti dia mengayun kata maaf.

Hatinya dihempas sayu. Kasih sayang ibu tidak pernah luak. Tidak pernah ada kurangnya. Sehinggalah rambut ibu memutih. Sehinggalah kulitnya dipintali dengan seribu kedutan. Tumpah kasihnya tidak terkutip.

"Jangan menangis macam ni. Kesian dekat ibu," pujuk Azriel setelah lama berdiam diri di samping Humaira.

Di satu sisi yang lain, Encik Yazid dihenyak bungkam. Sedari tadi diam tidak berkutik. Jangankan bersuara, mengangkat wajahnya saja terlihat enggan. Terlalu kecewa dan pastinya merasa kehilangan.

"Tunggu Maira, ibu. Suatu hari nanti, Maira akan jumpa ibu di syurga Allah." Itu kata-kata terakhir Humaira kepada arwah sang ibu sebelum dia berpamitan.

"Abah, kita balik sekarang, ya? Dah lama sangat kita dekat sini. Kita balik rumah Maira. Maira masakkan untuk abah. Abah mesti penat, kan?" pujuk Humaira seraya menyeka air matanya. Hilang sinar pada wajah abahnya ketika itu.

"Kita balik, abah. Abah perlukan rehat," pujuk Azriel pula. Mengundang rengusan Encik Yazid dalam diam. Lelaki tua itu sekadar memekakkan telinganya ketika Azriel berbicara. Seperti berputik sekelumit rasa benci.

"Baliklah, Maira. Abah tak rasa yang abah nak tinggalkan rumah. Tak nak bagi rumah tu kosong. Abah baik-baik aje," kata Encik Yazid. Tenang nadanya. Namun terselit getaran yang cukup menggambarkan walangnya.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now